Thursday, August 9, 2012

PUASA, MAKAN, SOLAT

Assalamualaikum dan salam hari Khamis. Memasuki 2/3 Ramadhan... betapa Hari Raya semakin menghampiri dan bulan mulia ini akan berlalu meninggalkan kita. 10 malam terakhir ini menjadi cabaran yang bukan sedikit untuk kita meningkatkan amal ibadah di samping persiapan menyambut hari lebaran. Ramai di antara kita akan pulang ke kampung halaman masing-masing, terutama mereka yang bergelar anak perantau, mencari rezeki di bandar-bandar besar. Pulang ke kampung di luar dari suasana Hari Raya, rasanya biasa-biasa sahaja, tetapi mood berhari raya itu agak berlainan sekali bukan.
 
Kini, malam Lailatul Qadar hangat diperkatakan di laman sesawang, banyak page dan rantaian maklumat berkaitan malam ini disebarkan, sudah tentu juga apa sahaja isu berkaitan Ramadhan merangkumi hadis dan petikan ayat al-Quran, kita bebas untuk 'like.comment.share' kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Rantaian pahala sentiasa berjalan dari satu 'page to page' yang lain ataupun 'wall to wall'... tidaklah kita ketahui pengiraan pahala yang berterusan ini bagaimana sebenarnya, cuma 'markah' yang berganda malah bonus sentiasa ada untuk dipetik.
 
Ok, puasa, makan dan solat sentiasa kita lakukan sepanjang bulan ini, ianya menjadi satu kemestian yang perlu diberi perhatian. Adakah puasa kita sepanjang hari itu diisi dengan aktiviti berfaedah atau tidur/sentiasa layu lemah tidak bermaya ataupun yang lebih menyedihkan solat tidak didirikan. Alangkah ruginya berpuasa, tetapi solat diabaikan. Solat dan puasa itu dua daripada rukun Islam yang wajib kita lakukan, selebihnya mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan zakat dan mengerjakan haji jika mampu.
 
Ok, daripada cerita umum kita beralih kepada cerita yang lebih kecil skopnya yang saya percaya dialami oleh semua orang yang berpuasa, diulangi sekali lagi orang yang berpuasa secara Islam. Jom kita teliti tentang makan dan solat. Di bawah ada beberapa situasi yang saya alami dan saya terfikir sendiri... cara mana kita menghayati/memilih melihat dari pandangan yang berbeza. Adakah kita terlalu risau sehingga takut tidak cukup tenaga sebaik sahaja berbuka puasa dengan makanan yang beraneka pilihan itu? Malah sentiasa lebih dari cukup, boleh dibeli mudah didapati, jauh bezanya jika dibandingkan dengan sesetangah umat Islam di negara luar yang perlu berjuang berhabisan untuk meneruskan kehidupan dengan sumber makan minum serba tidak cukup.

Sebaik-baik makanan untuk berbuka puasa ialah kurma dan air. Ya, kita pun berbuka dengan kurma dan air tapi selepas itu melantak bermacam jenis makanan bermula dari kuih muih dan berakhir kepada nasi dan aneka lauk pauk. Air pula air berais, memang nikmat sebaik sahaja meneguknya melepasi tekak tapi belum tentu nikmat di perut kita. Sering terjadi dan sudah tentu perut kembung semacam, badan lemas apatah lagi melihat jam untuk mengerjakan solat Maghrib hanya tinggal sedikit masa lagi menghampiri waktu solat Isyak, mengantuk pun ada bukan? Selalu terjadi kalau berbuka puasa/sungkai beramai-ramai, maklumlah kan mood ramai-ramai itu membuahkan selera yang menggebu. Nafsu mengatakan kita mampu menelan semua jenis makanan tersebut kerana kita sememangnya sangatsangatsangat lapar walaupun hakikatnya 'tangki' perut kita hanya sebesar sekian-sekian sahaja.
 
Situasi kedua - berbuka puasa dengan kurma dan air, air biasa sahaja bukan air berais, kemudian menunaikan solat Maghrib. Mudah untuk duduk berdiri terasa ringan sahaja badan tu semasa menunaikan solat Maghrib. Usai solat, sambung balik makan, ketika itu kita makan bukan lagi dalam situasi yang mendesak atau terburu-buru, lebih tenang kesan dari solat Maghrib tadi. Makan pun sekadar kenyang atau sebelum kenyang sebelum bersiap-siap menunaikan solat Isyak diikuti solat sunat terawih. Selang masa antara solat terawih pun boleh rehat lagi, kalau rasa lapar sedikit kuih muih, buah-buahan atau setakat minum air. Ada juga yang hanya makan berat seperti nasi dan lauk pauk hanya selepas usai solat sunat terawih kerana dia tidak mahu membebankan perutnya/mengurangkan khusyuknya untuk menunaikan ibadah tersebut.
 
 
Situasi ketiga? Macam-macam situasi sebenarnya, lain orang lain cabarannya, untuk diri saya sendiri cabaran berpuasa yang utama sering membuatkan saya tewas - MINUMAN SEJUK BERAIS. Makanan saya tak kisah sangat, sedap macam mana pun makanan itu biasanya saya dapat kawal kuantiti/ bilangan nasi tambah dan lauk pauk. Lagipun makan minum saya yang sediakan dan sudah terbiasa dengan situasi itu. MINUMAN SEJUK BERAIS ini perlu saya elakkan sebabnya perut nyata tidak selesa, sungguh! Yang seronoknya berpuasa ini automatik selera saya terhadap nasi itu akan berkurangan. Memasuki 10 hari terakhir ini, Alhamdulillah mengimbas, melepasi seminggu berpuasa saya dapat menjinakkan nafsu minum minuman sejuk ini. Minggu pertama agak mencabar, saya tewas dengan minum lebih banyak air sejuk berais berbanding air panas. Kemudian perlahan-lahan memasuki minggu kedua menghampiri fasa kedua Ramadhan... saya sudah berbuka puasa dengan air panas/suam seperti teh misalnya malah ada ketikanya saya berbuka puasa dengan hanya makan kurma dan air / buah-buahan dan air sahaja. Saya pesan dekat suami jangan beli lagi kuih muih dan air sejuk berais di samping saya mengurangkan minuman sejuk di peti sejuk kami.
 
 
Walaupun tidak dapat mengelak 100% air sejuk berais itu, sekurang-kurangnya saya berbuka puasa... saya pastikan air suam yang masuk dahulu ke perut. Kesannya saya tidak mengalami perut kembung dan rasa tidak selesa seperti semasa minggu pertama berpuasa, malah proses pembuangan air besar berjalan lancar dan lawas. Alhamdulillah. Apabila tekak dan perut saya sudah terbiasa dengan rutin bersungkai (berbuka puasa) dengan air suam dahulu, keinginan untuk minum air sejuk itu berkurangan, sekadar beberapa teguk sahaja. Yang penting masa bersungkai dan bersahur itu saya mesti minum air suam, tak kisahlah minuman teh, milo ataupun nescaffe. Kesannya dapat saya rasai, sudah beberapa kali saya bersungkai seperti itu, selepas solat Maghrib ada ketikanya saya dan suami perlu keluar untuk membeli barang dan jalan-jalan... saya tidak rasa lapar sangat, rasa bertenaga dan ringan sahaja tubuh badan itu, malah rasa mengantuk itu hilang serta merta.

Masing-masing punya pengalaman tersendiri. Keperluan tubuh badan juga berbeza-beza. Zaman remaja saya dahulu, saya budak asrama selama 7 tahun (pernah saya cerita di entri terdahulu - tahun lepas) saya sudah terbiasa berbuka puasa dengan nasi dan lauk pauk, ada diselit juga di tray makanan itu kurma, kuih muih dan buah-buahan. Selalunya kami cuma makan nasi dan lauk pauk, kuih muih dan buah-buahan itu akan dibawa balik ke asrama, dimakan selepas solat terawih. Yalah memang macam tu kalau duduk asrama, takkan makcik dewan kena hidangkan makanan berulangkali kan. Dia pun puasa juga, nak terawih juga.
 
Kemudian... memasuki universiti sehinggalah sekarang menjadi orang awam dan bergelar isteri, merangkap tukang masak keluarga ini, saya bebas menentukan menu makanan dan corak pemakanan. Sebab itulah makan nasi dan lauk pauk hanya selepas solat Maghrib, berbuka puasa ala kadar dahulu. Tetapi semua masakan ini saya siapkan saya masak sebelum waktu sungkai. Jadi maknanya kalau suami saya hendak makan makanan berat sewaktu berbuka puasa... tiada masalah untuk menghidangkannya, maklumlah kan... keperluan badan dan selera kita berbeza-beza, bergantung kepada jenis pekerjaan yang dilakukan pada hari itu.

Ada satu entri menarik di fb, seorang rakan menulis di wallnya, pada ketika itu dia sedang menunaikan umrah, minum banyak air zam-zam berbeza dengan minum air biasa... perut tidak kembung. Malah sentiasa segar, katanya. Ajaib sungguh air zam-zam.
 
Oh ya, sebelum saya terlupa, satu lagi perkara mengikut pemerhatian saya, mereka yang merokok apabila berpuasa akan cepat lemas/letih berbanding mereka yang tidak merokok. Sebab itulah sebaik sahaja azan berkumandang, selepas minum seteguk dua, mereka akan melepaskan gian serta merta, merokok... sebelum sambung untuk menjamah makanan. Selalu kita nampak situasi seperti ini di kebanyakan tempat. Malah, seperti saya yang sukar untuk mengelak minuman sejuk berais, mungkin begitu jugalah perasaan mereka yang sukar mengelak untuk tidak merokok. Apapun... ianya terpulang kepada teguh rapuh keazaman masing-masing. 

Bulan puasa hanya sekali dalam setahun tetapi penuh rahmat, kebaikan, pahala, bonus berganda untuk diraih. Kita tidak tahu Ramadhan yang manakah akan menjadi Ramadhan terakhir kita, marilah kita sama-sama berdoa semoga kita diberi peluang seluas-luasnya menambah
kebaikan semaksimum mungkin dan dapat bertemu pada bulan Ramadhan akan datang...Amin...



 
 


 
 
 




 
 

No comments:

Post a Comment