Thursday, August 2, 2012

MOOD RAMADHAN

Assalamualaikum, hari ini Khamis hari ke 13 kita menjalani ibadah puasa. Bazaar Ramadhan yang seperti cendawan selepas hujan itu... menjanjikan pelbagai jenis makanan yang ada di antaranya tidak dijual/sukar didapati di luar lingkungan bulan mulia ini. Hanya perlu tanya RM yang ada di dompet dan akaun bank kita sahaja, tebal nipis duit yang ada untuk dibelanjakan di sana. Saya dan suami awal-awal lagi sepakat hanya RM 5 sahaja, RM 2 untuk air bungkus, selebihnya untuk kuih muih (budget sehari).
 
Kalaupun terlebih ianya mencecah sekadar RM 10 sahaja, sebabnya kita sudah set terlebih dahulu hanya RM 5 sahaja bukan. Paling pun terlebih budget, lari kepada buah-buahan sahaja, cuma ada masanya hari yang dilalui agak panjang dan meletihkan... barulah beli makanan yang siap misalnya set nasi campur/nasi ayam. Itupun tidak melebihi RM 15. Saya buat macam ni, sebelum memasuki lingkungan bazaar Ramadhan, saya keluarkan duit siap-siap, dompet duduk dalam beg dan tidak akan disentuh.
 
Itu cerita saya dan suami, tentunya berbeza budget terutama keluarga besar dan punya anak ramai. Selera berbeza jugakan walaupun anak-beranak. Keluarga saya di kampung halaman yang 'big family' itu, kalau bab beli makanan di bazaar ini sekurang-kurang kena sedia RM 50 dalam tangan dan tidak boleh selalu ke sana. Nasib baiklah memasak merupakan aktiviti kegemaran keluarga kami. 
 
Selain ibadah wajib dan sunat, puasa dan terawih yang selalu disebut-sebut itu, isu makanan sesuatu yang tidak dapat dielak untuk saya fikirkan. Makanan terbaik tentu sahaja kurma dan air sewaktu berbuka puasa/sungkai... memasuki bulan puasa sehingga menjelangnya hari lebaran, saya begitu akrab dengan buku-buku masakan aktif menelaah pelbagai resepi untuk dicuba. Sesuatu yang menyeronokkan setiap kali pulang ke kampung halaman, saya teruja untuk memasak masakan istimewa yang jarang/tidak pernah dimasak di rumah. Bukan untuk melayan nafsu makan saya, tetapi memasak untuk kepuasan diri sendiri, melihat kegembiraan ahli keluarga dan tetamu menikmati masakan saya. Pujian itu satu bonus, bukan untuk bangga sehingga terapung tak jejak di awan khayalan... sekadar timbal balik dari penat lelah kita memasak. Sekurang-kurangnya kita tahu, kita mampu untuk memasak dan menggembirakan mereka yang menikmati masakan kita.

Kadang-kadang tu kita yang memasak ini hanya makan sedikit masakan yang kita buat malah ada ketikanya tidak menjamahnya langsung. Bukannya apa, kita sudah 'kenyang' melihat dan menyediakan masakan bermula dari bahan mentah sehingga dihidangkan. Ok, jom kita beralih kepada bab yang sangat menarik, SHOPPING! Semalam saya dan suami ke Klang, kami membeli stok lauk pauk di pasaraya Mydin. Yang seronoknya kalau kita membeli stok lauk di pasaraya ini, jarang... tersangatlah jarang saya melihat ayam, daging, seafood, aneka sayuran dan buah-buahan yang tidak segar. Di pasaraya ini jugalah kita seolah-olah berada di dalam satu bumbung yang menghimpunkan pelbagai warga negara selain negara kita. Hampir sama rata sahaja semuanya golongan 'orang kecil', golongan sederhana dan golongan bawahan/terpinggir.

Malah si peminta sedekah, penjual tisu yang buta itupun sering kita lihat berlegar di pasaraya ini kerana harganya mampu beli. Agak sesak juga perjalanan menuju ke Klang semalam, deretan gerai menjual pelbagai keperluan raya sudah mengubah seketika landskap di Klang. Saya sempat menoleh deretan tudung berharga RM 10 yang kualiti kainnya berharga standard RM 20 ke atas (lihat dari atas motor dan spontan fikiran saya tidak dapat ditahan-tahan mencongak budget baru, hahaha...).  Harga yang diruntuhkan terpampang sana sini, memang berbaloi malah ianya seperti magnet yang menarik duit kita bukan.
 
Di facebook, tidak kurang hebatnya mood Ramadhan ini. Sudah pasti ada pihak yang ditegur/disindir oleh pihak yang lagi satu. Terkini... saya menulis di fb menyatakan pendapat saya agar jangan terlalu sensitif, berprasangka buruk melihat 'wall' orang lain yang dipenuhi status berkaitan makanan dan lokasinya merangkumi waktu sahur dan berbuka. Saya nyatakan siapa tahu  di sebalik paparan entri dan gambar makanan yang sedap-sedap itu, dia memasaknya/membeli untuk disedekahkan kepada orang lain cuma dia tidak menyatakannya di 'wall' fb. 

Tidaklah janggal melihat status seumpama itu, bulan puasa selain ibadah, bercakap tentang makanan. Kampung facebook/laman muka buku... situasinya tidak banyak beza dengan kampung sebenar/taman perumahan yang kita diami. Beza hanya alam maya dan alam realiti. Masing-masing punya fikiran/pandangan berbeza, malah berbeza watak dan perwatakan. Bagi kita mungkin setakat menggoreng telur itu perkara biasa, remeh dan sangat mudah tetapi mereka yang tidak pernah tahu hal ehwal dapur... ianya mungkin sesuatu yang sangatsangatsangat rumit.
 
Kita mengharapkan bulan penuh kemuliaan ini akan menjadi sebab kita meraih semaksimum pahala dan kebaikan. Amin...
 


 


 
 

No comments:

Post a Comment