Thursday, October 6, 2011

LUAHAN RASA

Kalau diikutkan hati yang kadang-kadang nakal itu, (ya kah?) apa saja yang dirasa akan diluahkan di blog ini. Tetapi kita tidak boleh buat sesuka hati kan?. Hampir setiap hari saya akan menulis meluahkan apa yang terbuku di hati. Bermacam cerita, tetapi luahan rasa yang sejujurnya saya akan tulis di tempat lain.

Maknanya apa yang ditulis di blog ini hanya cerita yang tidak akan menyinggung perasaan sesiapa sahaja yang membacanya. Mungkin ianya bukan jaminan 100% tidak bersangkut paut dengan orang lain, tetapi seboleh mungkin saya cuba dan cuba untuk mengelakkan hal yang seperti itu.

Manusia, memang tidak terlepas dari kekurangan dan kelemahan. Walaupun begitu, kelebihan yang diberikan perlu dimanfaatkan untuk menampung kekurangan yang ada. Jaringan sosial terutamanya laman muka buku memungkinkan kita untuk meluahkan rasa dengan cara yang tercepat, di hujung jari dan ianya pantas tersebar di ruang maya tanpa sempadan.

Alam maya yang  nampak ghaib tetapi silap percaturan bahananya lebih besar berbanding realiti kita berhadapan dan bersua muka. Kebaikan dan keburukan laman sosial bagaikan bergerak seiring, hanya perlu memilih laluan mana yang disenangi. Pemikiran sesuatu yang sangat kompleks. Setiap orang memiliki corak berfikir yang tersendiri.

Tahap pendidikan dan pengalaman hidup akan membentuk corak berfikir tersebut. Melihat laman muka buku rakan-rakan kita...bermacam cerita dan aneka rasa bukan?. Pelajaran ada di mana-mana bagi mereka yang tahu menggunakan pandangan, sama ada pandangan mata kasar mahupun pandangan mata hati.

Mudah-mudahan kita sentiasa berada di jalan yang lurus yang diberkatiNya, terlepas dari segala bentuk apa jua kejahatan di muka bumi ini meliputi kejahatan yang nyata ataupun yang tersembunyi...

No comments:

Post a Comment