Tuesday, July 3, 2018

JANGAN TEGUR?



Assalamualaikum…


Di luar rumah mendung, ada bunyi guruh… tanda-tanda nak hujan itu ada, rasa sejuk jer suasana. Cuaca di dalam hati tengah ceria, panas bersinar sebab saya nak ulas satu topik, viral di fb sekarang. Idea mencurah-curah, berduyun-duyun datang nak tulis ni, InsyaAllah kita keluarkan semuanya. Saya percaya kita sama-sama ada membaca isu tv plasma pecah, tuan rumah minta ganti rugi dengan tetamu, berita lain ikan di kolam mati lemas sebab anak tetamu pulun habis tuang makanan ikan ke dalam kolam dan cerita anak tetamu rendam kucing sampai lemas padahal sebelum itu kucing dah dikurung siap-siap dalam sangkar. Yang paling advance saya terjumpa kisah tuan rumah dah simpan barang-barang koleksi hobi dia yang mahal dalam laci siap berkunci laci tu… tapi di luar jangkaan rupa-rupanya anak tetamu ‘sangat kreatif’ dapat cari kunci laci, keluarkan dan ambil barang-barang menjadi hak milik.


Setakat tv pecah, pinggan mangkuk gelas pecah, air tumpah, kuih bertabur saya tak hairan sangat…tapi mendengar kisah ikan mati, kucing lemas…itu agak baru bagi saya, ternyata walau hanya sekadar budak tapi rupa-rupanya siapalah kita hendak memikir benda-benda begitu mampu dilakukan oleh anak-anak yang sedang melalui zaman kanak-kanaknya.
Saya masa kecil yang paling rare saya pernah terbuat ialah terrrrpijak bayi. Mujur bayi itu selamat tak jadi apa-apa. Ketika itu kami sekeluarga berhari raya di kampung halaman, saya dan sepupu-sepupu melayan perangai keanak-anakan kami sepuas-puasnya…jarang jumpa kan, so bila dah jumpa kita semacam ada tenaga ekstra, super excited semangat bermain itu lain macam.


Membaca respon netizen tentang isu tv pecah, ikan mati, kucing mati lemas, isi utamanya sudah tentu berkait adab berhari raya di rumah orang. Rata-ratanya ramai bersetuju peranan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak mereka, dan sekiranya anak mereka melakukan kesalahan, perlu bayar ganti rugi dan minta maaf. Yang menjadi kemarahan netizen apabila ibu bapa tak kisah sangat perihal perangai anak-anak mereka di rumah orang, buat tak tahu siap menangkan anak lagi.


“Budak-budak biasalah tu…namanya pun budak-budak”
“Kau belum ada anak lagi, memang tak faham perasaan mak bapak, tunggu kau ada anak nanti”
“Kau belum kahwin…apa kau tahu”


Itu antara ayat-ayat yang biasa kedengaran apabila yang menegur itu berstatus bujang atau dah kahwin tapi belum ada anak. Ayat di atas tak salah…memang ada betulnya tapi bergantung kepada situasilah. Kalau saja-saja orang lain atau saudara sendiri tiba-tiba komplen macam-macam pasal anak awak sekadar membawang tanpa ada cerita kukuh memang mengundang kemarahan jawabnya.


Tapi kalau dah terang bersuluh budak tu buat perangai tak elok...tunggu mak bapaknya tegur tapi tak ditegur juga kemudian orang lain tegur, awak marah nampak sangat awak tu yang tak betul…tak dapat terima kenyataan anaknya salah.


Saya ambil beberapa poin menarik yang saya baca di ruangan komen. Tv mahal sebaiknya lekat kat dinding supaya kejadian tv pecah dapat dielakkan. Ketika membaca komen ini saya teringat kata-kata sendiri ketika suami bercadang hendak beli tv besar setelah kami pindah bermastautin di kampung halaman suatu hari nanti. Spontan saya katakan sebab kita ini ‘big family’ ada banyak budak-budak… kita lekat jer lah tv tu di dinding supaya budak-budak tak kacau dan tv pun tak pecah.


Komen  lain ada yang syorkan kalau nak buat open house …jangan buat dalam rumah, tempah khemah buat di halaman rumah macam majlis kahwin tu. Bagus juga cadangan ni…atau sebelum jemput tetamu datang rumah, pastikan kita simpan siap-siap barang berharga di stor, apa sahaja barang yang berpotensi rosak dan dipecahkan simpan siap-siap.

Komen lain… katanya corak makan minum kanak-kanak yang terlalu banyak gula turut menyumbang kepada sikap hyperactive dan sukar dikawal.


Next..ada ibu bapa yang berkongsi pengalaman ketika umur anak-anak mereka tengah melasak dan sukar dikawal…duduk rumah saja atau kalau terpaksa beraya di rumah orang, tinggalkan anak-anak di rumah, atau kalau terpaksa juga bawa anak-anak sekali beraya, agak-agak budak tu dah naik tantrum…cepat-cepat minta izin pulang sebelum jadi apa-apa di rumah orang. Katanya lagi, anak kita sendiri kita tahu tahap kenakalannya pandai-pandailah urus, jangan menyusahkan orang lain.


Rumah adalah sekolah pertama anak-anak, membawa maksud didikan anak-anak itu bermula dari rumah, bermula dari cara mendidik orang tuanya mengajar adab berkunjung ke rumah orang. Yang ini saya setuju…


Zaman kami kanak-kanak pada tahun 80-an… kena cubit itu biasa, melihat jelingan mak kita sudah faham kita sedang buat kesalahan dan perlu diam. Atau menjadi ‘hutang’ yang akan ‘dibayar’ setelah balik rumah nanti (ditangan-tangankan kena kayu api, hanger, tali pinggang, rotan etc) itu zaman 80-an…sekarang apa yang available pada zaman kanak-kanak kita sudah tidak relevan pada masa kini atau ada yang perlu di kemaskini, di upgrade sesuai dengan peredaran zaman.



Saya nak share sedikit pengalaman menegur anak orang lain.

Kisah satu – lokasi di majlis perkahwinan. Budak-budak ini bermain di pelamin, kesannya hiasan pelamin ada yang tercabut bunganya, kain alas terangkat dan senang cerita pelamin itu ‘rosak’ sedikit hiasannya. Agak lama juga budak-budak ini bermain…lebih kurang dalam setengah jam. Saya yang melihat ‘babak’ ini tertanya-tanya mana mak bapak budak ni, pengantin dah nak naik pelamin sekejap lagi. 


Akhirnya saya ke hadapan (saya tuan rumah)…saya angkat budak-budak ni letak bawah, kemaskan pelamin sambil saya tegur secara bergurau lebih kurang begini bunyinya – “Dik, jangan main di sini ya, ini tempat pengantin sekejap lagi pengantin nak bersanding, nanti giliran adik kalau dah besar nanti dah sampai masa bersanding juga nanti” sambil senyum alaaa sambil bergurau lah tak ada marah-marah jengil mata ke, suara tinggi maki hamun jauh sekali. Cuba teka tuan-tuan dan puan-puan? Apa jadi lepas tu?


Ya ampun rupa-rupanya ibu budak-budak tu ada di depan pelamin tu…betul-betul di hadapan pelamin  menjadi saksi perangai anak-anaknya ‘merosakkan’ pelamin…adeh…common sense ke mana entah…speechless saya dibuatnya. Nak lagi menarik cerita…ibunya semacam marah dengan saya siap bertanya soalan nada menyindir “Anak yang kau angkat ni anak aku.Kau belum ada anak kan? Sudah berapa tahun kau kahwin?”


Sambil senyum saya layankan saja soalannya dan dalam masa yang sama melayan rasa hairan di hati. Alahai kita dah tolong alihkan budak tu…kemaskan pelamin sebab pengantin nak naik dah…pun kena sindir? Dah tu yang kau biarkan anak-anak main di pelamin sampai bertabur hiasan pelamin tu? Tak rasa apa-apa ke? Alalalala…tahu bukan pelamin awak itu pelamin orang lain…tapi faham-fahamlah sendiri…common sense kot…tapi kita jawab dalam hati sajalah (senyum).


Kisah dua – pun di majlis perkahwinan. Kek 10 tingkat berhias merelip mengerlip kebabom cantik gitu…pengantin sedang bersalin pakaian di rumah. Pelamin tempat bersanding di halaman rumah di bawah khemah. Ada banyak budak-budak bermain kejar-kejar di sekitar pelamin dan kek pengantin. Sampaikan kek tu dah bergegar dan ada seorang budak ini mencuit berulang kali kek pengantin…spontan saya pergi dekat budak-budak ni saya cakap “Adik-adik main di tempat lain ya, jangan main sini nanti kek jatuh, lepas kek dipotong nanti kena bagi juga tu”. Ok done menegur dan budak-budak ini pun bermain di tempat lain.


Tiba-tiba ada sorang makcik ini ternampak saya menegur budak-budak tersebut…dia tegur saya balik, katanya “Biarlah jangan ditegur sudah namanya budak-budak memang begitu, kesian budak-budak tu kena marah”, pun saya hairan juga. Bila masa pula saya marah budak-budak tu, saya just tegur suruh main di tempat lain dan budak-budak tu pun faham apa yang saya cakap. Tidak ada jerit marah suara tinggi, kita cakap macam biasa saja pun. Dah kenapa makcik tu pula yang terasa alahai…rasa lucu pun ya. Takkan dia tak nampak budak-budak tu mencuit kek, kek dah bergegar nak jatuh? Hairan bin ajaib.


Tak faham saya…sungguh saya tak faham…so lepas ni kalau kita ternampak anak jiran kita kena culik ke, beromen berasmaradana dalam semak kita jangan kisah sangat…sebab menjadi kesalahan menegur mereka. Biarkan saja, lantak dialah nak jadi apa pun. Kita buat hal kita sendiri. (sarcasm)


Ini kisah semasa raya baru-baru ni…bukan bertujuan lepas geram ya! Jangan salah sangka pula, sekadar iktibar bersama. Anak tetamu yang hyperactive sekali dengan sepupu-sepupunya tiba-tiba membuli kucing kami, memukul dengan penyapu, membaling barang dan menjerit beramai-ramai ke arah kucing kami. Mak bapanya sibuk bersembang di ruang tamu. Saya dan adik-adik spontan menjadi ‘pengawas’ kepada anak-anak tetamu. Dalam keadaan serba salah kami terpaksa menegur, menasihat budak-budak tu jangan kacau kucing kami. Syukurlah Milan selamat.


So, sekali lagi iktibar kita bersama… yang mak bapa jangan cepat melatah kalau ada yang menegur kesalahan anak anda. Sebab kita sama-sama tahu walau anak sendiri tapi belum tentu kita dapat mengawasi 100% pergerakan anak-anak kita. Ahli keluarga yang bujang dan yang sudah kahwin tapi belum beranak ini ada juga peranannya, tolong memerhati dan kalau perlu menegur anak anda. Bayangkan hendak ke tandas atau mandi tinggalkan anak itu sekejap siapa lagi yang diharapkan kalau bukan pengasuh atau ahli keluarga terdekat, betapa lagi sampai masa masuk hospital bersalin atau sakit, siapa nak jaga anak? Peranan bersama orang dewasa di sekeliling budak-budak tu sama-sama penting. Tak kisah bujang atau kahwin.


Kisah seterusnya saya hanya mampu menegur dalam hati sambil istighfar panjang-panjang…terkejut sebenarnya tapi saya tak mampu buat apa-apa. Bimbang kalau menegur kita yang disalahkan.


Dalam bas, masuk budak-budak sekolah umur remaja buat bising bercakap b*d*h si*l sund*l sesama mereka, bergurau kasar. Tak lama kemudian bas penuh padat dengan penumpang, waktu puncak orang kerja pulang rumah. Driver bas menyuruh penumpang yang berdiri supaya memenuhkan ruang belakang bas…spontan budak-budak remaja ini menyumpah seranah pemandu bas dengan kata-kata kesat. Salah siapa? Huhuhu…driver bas cakap elok dan memang macam tu kalau waktu puncak…bas memang padat sendat macam sardine dalam tin.


Syukurlah pakcik tu jenis penyabar orangnya…dibuatnya kena dengan driver bas yang darah muda dan mood kurang baik…agak-agak apa jadi lepas tu?


Saya pergi pejabat pos…ambik nombor dan duduk tunggu giliran. Nombor giliran jauh lagi, tempat duduk semua penuh. Ada seorang budak lingkungan umur 7 tahun pergi main tekan-tekan nombor di tempat mesin nombor giliran tu. Tekan sesuka hati, kertas nombor bersepah di lantai. Betapa ramai orang di situ tapi tiada seorang pun yang mampu/berani menegur budak tersebut. Termasuklah saya tak berani tegur.  Aduhai…saya dan orang sekeliling sudah berpandangan sesama sendiri…mungkin sedang memikir benda sama - mana mak bapa budak ni?


Nak tahu apa jadi lepas tu? Jengjengjeng…bapa budak ada di situ juga bai…siap urusan dia di kaunter yang tak jauh sangat dari mesin tekan nombor tu…sewaktu anaknya menekan-nekan mesin nombor tu…saya nampak dia sekadar melihat begitu saja perangai anaknya tu…sambil buat muka selamba sesudah siap urusan…dia just panggil anaknya, “Jom! Kita keluar” sambil memandang kertas bersepah di lantai macam orang yang tiada perasaan seolah-olah tiada apa-apa yang terjadi. Waduh-waduh awak…tolong saya fikir kejadian apakah ini?


Setiap kali saya balik kampung halaman dan masuk ke dalam ruangan mesin ATM nak keluar duit belanja… saya selalu melihat ‘babak’ mengharukan…saya respek kepada pengawal keselamatan di situ kerana prihatin dengan pelanggan bank yang berkunjung. Contohnya setiap kali barisan panjang dan stuck seketika, cepat-cepat pengawal keselamatan tu pergi ke hadapan barisan periksa kalau-kalau pelanggan bermasalah. Sikap prihatin, common sense tu masih kuat lagi, mungkin sebab kampung halaman saya ini bandar kecik saja. Tapi bukan bermakna di bandar- bandar besar penghuninya semuanya berperangai ‘haram jadah’ cuma kerana kesibukan bekerja membuatkan kita semakin kurang peka bahagian common sense itu.


Saya fikir macam ni, sebelum tegur anak orang lain pastikan kita kenal orang tuanya, kalau jenis mak bapa dia saja betul, orang lain salah…kita pula ternampak anaknya buat salah, biarkan saja sebab akan mengundang masalah atas kita. Sebaliknya jika mak bapa anak itu berfikiran terbuka, adil orangnya dan mampu mendengar pendapat orang lain serta saudara mara (mendengar tidak semestinya bersetuju, tapi mendengar dengan baik juga satu toleransi) bolehlah tegur dengan berhemah. Senang cerita bukan?


Ayat-ayat netizen di laman social kebanyakannya jauh lebih ‘ganas’ berbanding tulisan saya tentang hal ini, pergh memang kena hati kering membaca setiap respon di ruangan komen di fb tu.  Jadi kepada pembaca yang membaca tulisan saya ini…selamat hari raya maaf zahir dan batin ya! (rayakan sebulan). Jangan marah-marah, nanti cepat tua hehe…

love,
mr
Selangor
3 Julai 2018
Selasa 









Wednesday, March 28, 2018

SEBELUM DAN SELEPAS - EDISI MAKAN MINUM TIDUR

Assalamualaikum…
(Ini siaran tertunda, baru petang ini dapat di upload di blog)


Hujan gerimis di luar rumah sudah berhenti, berganti cuaca cerah sekarang. Pagi tadi bangun, sejuk amat, rasa malas menguasai diri ikutkan hati hendak berlingkar saja sepanjang hari, tapi kalau diikut sangat perasaan tu… hmmm apa kerja pun tak siap jadinya, rasa lapar sekejap sekejap lapar, lepas makan beberapa jam kemudian lapar lagi, penangan hujan agaknya. Hujan dan lapar berpisah tiada – ayat kegemaran saya. Ditambah lagi menghadap baca group makan-makan di fb tu sah-sah lapar sepanjang masa.


M*******p sentiasa memanggil-manggil minta dibelek disiapkan cepat, ternyata melayan mood taipsudahkannya tidak mudah, ada cabaran yang tersendiri. Sentiasa berlegar di ruang fikir, siang dan malam. Seperti serangga kecil terperangkap dalam balang kecil, sentiasa mencari jalan keluar. Iringan doa saya sepanjang masa – semoga semua urusan saya dipermudahkan, diberikan ilham, ilmu pengetahuan, kesihatan fizikal dan mental yang cemerlang. Seterusnya ‘tutup’ balang kecil itu akan terbuka sedikit demi sedikit… dan serangga kecil itu akan  dapat terbang bebas. Ok, ok sudah… singgah blog sekejap untuk lapor diri di bulan May 2017.


Sebelum dan selepas (edisi makan-minum-tidur). Membawa maksud cara makan-minum-tidur saya bermula di Sabah dan setelah saya bermastautin di sini – Klang, Selangor. Beza memang berbeza. 19 tahun di Sandakan, Sabah dan sekarang memasuki tahun ke 17 di Selangor/KL.
Untuk memudahkan perjalanan/pemahaman cerita, saya pick up beberapa main poin. Guna bahasa mudah, ringan ala-ala karangan budak sekolah rendah.


@cili, kicap, sos, belacan@


Sandakan – My family hanya makan cili padi yang ditumbuk sendiri, letak air atau cuka. Tidak ada cili kering, cili merah atau cili hijau dalam campuran masakan. Tak pernah beli pun. Banyak guna kicap, sos membawa maksud sos tomato. Resepi sambal belacan kami – belacan, cili padi, garam, ajinomoto dan jus asam jawa ditumis sehingga pekat. Tidak ada masakan bertajuk ‘masak merah’ atau asam pedas atau apa sahaja masakan yang berkaitan dengan cili kering, cili merah atau cili hijau. Malah cili padi itu kami sebut lada padi atau lada. No sebutan cili, hihihi… apa-apa makanan yang ‘bersifat’ berwarna kicap/gelap adalah sedap dan warna merah adalah sesuatu yang sangat ganjil. Dan… kami suka makan kari. Kari ayam/kari daging dan cicah kicap sangat sedap!


Malaya (sebutan kebiasaan kami tentang Semenanjung Malaysia) – berbelas tahun duduk di sini,  tentunya ada banyak pengaruh terhadap selera makan minum saya. Ianya jadi terbalik, pada kebanyakan waktu. Saya sering dan agak gemar mengguna cili kering, cili merah dan cili hijau dalam masakan yang saya masak.


Sambal belacan saya lebih bervariasi dan lebih luas – saya guna beberapa resepi hanya untuk sambal belacan. Basic belacan, bawang merah, bawang putih, garam gula – kemudian dipelbagaikan sama ada campuran tomato dan cili merah/cili biasa atau gabungan cili dan jus limau atau ikan bilis. Selalu masak merah, sambal cili, asam pedas, masakan berasaskan warna merah. Kurang guna kicap.

@telur dan sayur@


Sandakan - Yang paling saya ingat, makan telur tidak boleh perah limau, ini peraturan makan arwah bapa kami. Telur tidak boleh seiring dengan limau. Entah apa sebabnya. Zaman itu jenis didikan orang tua kita hanya boleh menurut tanpa banyak soal. Tidak boleh bertanya. Hanya perlu mengiyakan.


Sayur perlu dimasak sehingga lembut. Saya kurang senang dengan ini, saya tak suka sangat sayur lembik. Tapi kita diam-diam sajalah. Semasa duduk di asrama, isu sayur ini menjadi debat antara warden dan sebilangan ibu bapa pelajar, sampaikan warden terpaksa ‘berceramah’ menjelaskan kenapa sayur di dewan makan perlu dimasak sekejap saja.
Malaya – banyak ulam, sayur tertentu dimakan mentah. Zaman study dulu, housemate saya peminat ulam cicah budu. Setakat timun dan taugeh saya larat lagi nak menelannya, tapi yang lain ambik masa untuk tekak saya terima.


Tapi campuran kerabu dalam nasi kerabu yang selalu saya beli… saya boleh terima. Mungkin formasi lauk pauk bergabung dengan kerabu itu yang membuatkan saya mudah menerimanya. Formasi kegemaran saya – nasi biru + solok lada + daging bakar + telur masin + kerabu sayur + sedikit budu dan kuah sambal yang lemak-pedas-manis + sambal ikan/serunding.


@gunting vs pisau@


Sandakan – tidak ada gunting dapur di dapur emak saya, segala-galanya menggunakan pisau/parang.

Saya balik kampung, beli gunting dapur siang ikan dan gunting cili kering. Pandangan my mom, maksud saya cara pandang dia tu melihat ulah saya siang ikan dan gunting cili kering, adalah sesuatu yang… agak ganjil dan sedikit ‘menakutkan’ hahaha…beberapa hari selepas itu gunting dapur yang saya beli itu sudah hilang. Entah dihilangkan secara sengaja atau terrrhilang… no komen hihihi…(saya rasa saya tahu apa sebabnya *jom senyum*).

Di dapur saya di Klang ini, sewaktu saya menggunting sayur kangkung (bahagian batang kangkung yang semacam straw minuman itu), saya tersenyum sendiri teringat reaksi my mom.


@ayam vs ikan@


Sandakan  - Alhamdulillah dan syukur sangat-sangat… my parents mengajar kami makan minum sihat, eat clean. Momen terbaik dan kekal dikenang sepanjang hayat. Mereka contoh terbaik. Makanan tiruan, segala macam datuk nenek moyang jajan hanya kami kenali ketika bersama-sama rakan sebaya di sekolah, tapi my parents tidak pernah menggalakkan kami makan benda-benda begitu.


Kami makan ikan, ketam udang sotong kerang-kerangan lebih banyak berbanding ayam. Seafood yang dipukat dijala sendiri oleh arwah bapa, terjamin kesegaran dari laut terus ke kuali, tanpa ais, tanpa bahan pengawet. Dan percuma. Cara masak yang sangat sihat dan mudah – bakar, rebus kosong/serai begitu saja. Diregukan dengan sambal belacan atau air asam. Makan dengan nasi panas pergh! menyengat kau sedap amat. Kami adik-beradik jarang sakit, kalaupun sakit cepat sangat baiknya. Mungkin asbab makan minum yang terjaga dan air tangan kasih sayang seorang ibu.


Menu ayam sesuatu yang sangat istimewa, hanya muncul di Hari Raya dan majlis perkahwinan. Menu utama dan sedap – masak kicap dan masak kari. Kepak ayam panggang, sekali sebulan arwah bapa akan beli ini setiap kali gaji. Dapatlah seorang 1 kepak. Berharga 50sen/pc ketika itu.


Pertama kali saya makan KFC ketika umur 16 tahun. Ketika saya dan kawan-kawan ‘merasmikan’ biasiswa yang baru masuk. Masa tu saya rasa KFC tak lah sedap sangat, biasa-biasa saja pun. Mungkin sebab tunas rasa saya sudah sebati dengan sumber protein dari seafood.


Waktu remaja, saya duduk asrama, dalam seminggu ada beberapa kali menu ayam – ayam kicap, nasi ayam, kari ayam. Berselang seli menu ikan. Tapi tetap tidak dapat mengubah kebiasaan saya terhadap ikan. Harga ikan/seafood lebih murah berbanding harga ayam.
Ketika itu saya dan family ada satu kepercayaan, menu ikan termasuklah ikan kering, udang kering adalah makanan orang miskin seperti kami, sebab itu kami kurus sentiasa, dan menu ayam khusus untuk orang-orang kaya yang gemuk.


Kadang-kadang arwah bapa beli ikan di pasar, biasanya dia akan beli ikan saiz besar, kemudian sampai rumah dia yang akan menyiang ikan itu. Amat jarang dia membeli ikan kecil-kecil. Zaman remaja saya, jarang sekali saya menyiang ikan, sebab arwah bapa selalu/suka buat benda ni. Saya just masak saja. Setiap kali saya balik kampung dan kebetulan ada ikan besar… saya akan suruh adik lelaki yang siang ikan.(setelah ketiadaan arwah bapa)


Malaya – ikan lebih mahal berbanding ayam, tapi sekarang harga ikan dan ayam lebih kurang sama  harganya, sejak bermulanya zaman GST, penghapusan subsidi gula minyak dan yang segarisnya.


Kami suami isteri sanggup bangun awal sebelum jam 5 pagi pergi ke pasar besar Meru, Klang beli stok lauk ikan, udang, sotong dan ketam. Stok lauk seminggu. Tak menahan makan ayam hari-hari, sedangkan pasaraya terdekat dengan rumah lebih dekat berbanding pasar besar, tapi sanggup ke pasar besar. Pilihan makanan laut lebih berbaloi-baloi dari segi kesegaran  dan harga yang ditawarkan.


Sentiasa ada rindu di hati teringat-ingat kesegaran seafood yang arwah bapa saya bawa balik dari laut. Kesegaran seafood dan cara masak yang saya nikmati sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja saya itu sekiranya ‘di forward’ pada zaman ini… di atas meja restoran, bukankah itu kelas makanan mewah?


@manisnya gula@


Sandakan – kami terbiasa makan nasi berlauk kemudian sekadar minum air kosong. Tidak ada air manis. Kecuali hadir di majlis kahwin kenduri kendara di kampung itu lain ceritalah.
Mula-mula datang Malaya saya mengambil masa bertahun-tahun menerima makan nasi berlauk kemudian minum air manis. Peringkat permulaan saya biasakan diri dengan minuman ais lemon teh. Dan saya selalu hairan macam mana orang lain boleh makan nasi berlauk lawan dengan minuman nescafe tarik/milo/susu…


Saya pernah makan nasi panas dan tomyam campur. Kemudian saya terminum minuman yang bercampur susu. Maaf cakap, beberapa minit kemudian saya termuntah.
Sehingga sekarang, selepas makan nasi berlauk, saya hanya serasi dengan minuman sitrus – limau/lemon/air kosong atau air kelapa. Selain itu saya akan rasa mual. Selepas ‘tergelintir’ seketika – maksud saya, saya pernah melalui zaman ketagihan gula/minuman makanan manis untuk beberapa waktu sehingga akhirnya paras gula
dalam darah saya mencecah 11 mmol, kemudian saya reversed diet makan minum puasa bekam sehingga gula dalam darah mencecah paras selamat.


Alhamdulillah sekarang, ketagihan gula/ benda-benda manis itu sudah dapat diatasi. Bukannya saya tak sentuh langsung makan minum yang manis-manis, cuma bahagian ketagihan itu sudah hilang.


@garam gula vs garam ajinomoto@


Saya balik kampung tahun lepas kebetulan dapat berhari raya haji di sana. Masak rendang saya just letak garam gula. Langsung tak letak ajinomoto. Tiba-tiba salah seorang adik saya bertanya tentang ini. Dia perasan saya tak letak ajinomoto. Sebab kami sudah terbiasa masakan garam ajinomoto.
Tapi di sini, kadang-kadang saya masak letak garam ajinomoto atau garam gula, mana-mana pun boleh.


@kunyit vs asam jawa@


Asam jawa adalah nadi utama masakan ikan, ayam dan daging versi emak saya. Saya tak suka sangat asam jawa dan perasaan itu terzahir selama saya duduk di Selangor/KL ini. Saya goreng/bakar ikan lumur kunyit dan garam, langgar peraturan memasak emak saya – tidak semua masakan ikan ayam daging saya letak asam jawa, paling ringan pun saya letak cuma sedikit atau sekeping asam keping.


Adik saya hairan melihat saya goreng ikan lumur kunyit dan garam, dia bertanya kenapa saya tak buat macam emak biasa buat? Saya jawab, minyak cepat kotor/hitam dan tak sedap. Tapi masak asam pedas boleh pula tekak saya terima, mungkin sebab bergabung dengan kepedasan cili tu.


@sarapan pagi@


Mee goreng kicap, pisang goreng, kuih kering (seakan roti puri) dan lempeng (kami panggil tumpi-tumpi). Ini sarapan kebiasaan kami di rumah bergabung aroma kopi pekat emak. Sejak duduk KL/Selangor saya jumpa ‘sepupu jauh’ nasi kuning, iaitu nasi lemak. Dan sekarang saya dan suami peminat nasi lemak berlauk. Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya akan masak nasi lemak berlauk lengkap aksesori ikan bilis, kacang tanah, telur, sambal, timun atau sayur dan lauk pauk pilihan.



@pasar@


Ini cerita zaman bujang berkisar tahun 2005. Kisah lama yang diceritakan semula disini. Dapur menjadi lebih dekat dengan saya setelah berpeluang bekerja hampir setahun di pasar besar. Buat kerja kerani membawa ke supervisor. Memulakan kerja seawal jam 3 pagi dan berakhir seawal tengah hari atau lewat petang. Timbang ayam seawal jam 3 pagi, kemudian kami bersegera menyiapkan tempahan pelanggan tetap dan tak tetap. Tidak ada istilah cuti. Hari-hari kerja beb, dan gaji tak banyak mana pun. Tak sampai pun seribu ringgit. Tiada epf socso.


Bermula 3 pagi membawa ke 7 pagi, kami seperti lipas kudung, banyak tempahan perlu disiapkan masa ini, pandai-pandailah adjust masa atau curi masa untuk solat Subuh. Sebab pelanggan kami terdiri daripada peniaga kantin sekolah, penjaja tepi jalan dan pasar malam, makcik jual kuih muih tradisional, catering, pemilik restoran. Puncak tempahan pada waktu cuti sekolah dan perayaan sebab waktu ini ada banyak majlis kahwin, akan ada caterer tempah ayam dan daging dalam skala besar.


Waktu itu sekilo ayam purata RM 4.50 ke RM 5 sekilogram (harga pasar). Paling tinggi pun di bawah RM 6. Peniaga yang beli/tempah ayam/daging dalam skala besar kebiasaannya dapat diskaun 10 sen ke 20 sen sekilogram. Untuk special request contohnya 100 pcs ayam bulat perlu dipotong potongan tertentu/daging 50kg potong dadu/nipis…peniaga perlu bayar deposit untuk elakkan kerugian di pihak kami sekiranya tempahan dibatalkan.  


Di sini saya menghadap segala macam bentuk dan bau rempah ratus masakan, akrab dengan wangian santan, beras, tepung, bawang atau berkenalan dengan bahagian daging yang tak pernah saya dengar sebelum ini – tenderloin (daging batang pinang), chuck tender… ayam potong 4, 8, 12, potong kecik-kecik dan segala macam bahan kering dan basah yang ada di dapur dan peti sejuk kita.


Bahagian menyeronokkan – melalui senarai bahan-bahan yang perlu disediakan untuk customer, kami suka meneka resepi yang mereka buat. Contoh, ada seorang pakcik yang akan datang beberapa kali seminggu, dia order ayam potong 4 beberapa beg (dalam satu beg ayam ada 10 pcs ayam bulat), laici tin, gula, sirap ros, daun pandan, lada hitam. Pakcik ini berniaga pasar malam. Menu nasi ayam bakar dan air sirap.


Santan beku, santan cair, kelapa parut untuk peniaga kuih muih dan nasi lemak. Mesti dihantar di rumah sebelum 7 pagi. Kalau lambat dia akan bising.
Ada seorang kakak ini order ayam potong 8, dia berniaga nasi lemak ayam berempah di tepi jalan. Yang paling saya ingat, dia bagi petua nak sedapkan tomyam katanya letak batang sup yang dipotong kecik-kecik. Dan sedikit taburan daun ketumbar katanya, yang lain saya tak ingat, sudah lupa.


Sebenarnya ada banyak resepi dan rahsia masakan yang peniaga kongsi dengan kami, tapi itulah masa itu saya masih bujang, single available, agak kebudak-budakkan dan tak kisah sangat banyak benda. Sekadar melayan karenah pelanggan kedai yang ramah, apa-apa yang diceritakan kepada saya masuk telinga sebelah kemudian keluar di telinga yang lagi satu, hahaha…facebook pun tiada masa tu. Agaknya kalau sudah ada fb masa tu, mungkin ada gambar selfie saya ketika timbang ayam. Disudahi dengan hashtag #timbang ayam 3 am, #kerja pasar kerja halal, agaknya aduilah terlebih sudah.


Di Sandakan saya sering ikut arwah bapa ke pasar. Fungsi utama saya ketika itu – menjadi ‘security guard’ di tepi pasar Sandakan. Menjaga barang-barang makanan yang sudah dibeli sementara arwah bapa mencari ikan di dalam pasar. Dilarang ke mana-mana. Tunggu sampai arwah bapa siap beli ikan. Zaman sekarang kita tak boleh dan tak dapat buat begitu dekat anak-anak kita, lain benar zaman sekarang berbanding tahun 80-an dulu. Faktor keselamatan.


Selama saya menunggu arwah bapa shopping ikan, saya akan baca berulang-ulang ayat terjemahan berkaitan menipu timbangan di satu sudut pasar. Peniaga ikan yang paling hampir dengan tempat saya berdiri tu…mata dia sentiasa ‘sakit’, tak sudah-sudah berkelip-kelip kenyit mata aduh, gatal! Sebaik saja arwah bapa sampai, sakit mata peniaga tu dah baik dah, tak adanya kelip kenyit, tiba-tiba normal.


@tradisional vs hipster@


Selera saya dan suami jenis tradisional, tak layan langsung menu-menu yang sudah dimoden hipsterkan – donut, roti canai segala macam kuih muih, makan minum yang diwarnakan, biarlah kami kekal tradisional. Zaman berbeza, selera juga berbeza dengan kebanyakan generasi millenium sekarang. Kami ini generasi sebelum ledakan IT info di hujung jari. Dan sekarang sedang menuju zon old school.


Bermula tahun 2000 saya datang ke KL/Selangor, dari zaman bujang sehingga berumahtangga… saya sudah puas merasa aneka makan minum di luar sana. Sekarang amat mudah mencuba buat resepi masakan kegemaran/eksperimen di dapur sendiri. Godek saja resepi di smartphone itu. Selesa memasak sendiri, berusaha untuk eat clean, back to basic. Sesekali kami makan di luar, cuma dari sudut teruja itu sudah agak kurang. Kita menjadi pemilih, hanya makan di tempat tertentu.  


Saya teringat pengalaman makan di p***a h*t beberapa tahun sudah. Kami suami isteri teruja untuk makan udang masak tempura sekali pakej sup cendawan, spageti, roti dan minuman bergas. Total kos menghampiri angka RM50. Sampai rumah rasa tak puas hati, menyesal pula ke sana. Tak patut sungguh, udang tempura tu indah nama dari rupa. Sudahlah 6 ketul udang saja, sebesar jari pula tu, entah di mana silapnya bancuhan tepung tempura konon…berminyak-minyak jadinya.


Sekarang ini yang paling western kami makan, cukuplah sekadar KFC dan chicken chop, diiringi nasi. Hahaha…nampak sangat kampungnya. Tak kisah kampung pun kampunglah, janji bahagia. Kitaran yang sentiasa berulang, kerja, makan minum, bayar bil-bil, pergi ke pasar beli stok lauk pauk, dan beberapa perancangan kehidupan untuk masa hadapan… alaaa… sama macam orang lain juga.


@tidur@


Semasa masih bermastautin di Sandakan… tidur saya jenis tidur awal bangun awal. Kitaran kehidupan yang sederhana.
Di sini KL/Selangor – kalaulah Batman itu memang benar-benar wujud, sebahagian daripada makhluk manusia, mungkin saya akan teruja berjumpa dengannya sambil bertanya… “Boleh kita bersaudara? Adik-beradik angkat, mungkin, kalau Mr. Batman tak kisah.”  Selalu sangat kita tidur lewat atau bergadang sepanjang malam.
Selain baju kelawar (baju tidur) adalah baju kegemaran kebanyakan daripada kita.


Anehnya, setiap kali saya balik ke kampung halaman, spontan saya akan tidur awal,mengantuk yang tak dapat ditahan-tahan, tapi di sini, melihat jam baru 10 malam pun mata rasa segar dan minda pun set begini – awal lagi ni, sambil menghadap tv.


@masa@


Duduk KL/Selangor masa terasa bergerak pantas, laju. Sehari seakan beberapa jam dan seminggu seperti hanya beberapa hari. Kadang-kadang tersilap tarikh dan hari, menyangka hari ini hari Selasa misalnya, rupa-rupanya dah Jumaat. Entah sibuk ala-ala menteri agaknya.


Beza memang berbeza di kampung halaman… sungguhpun matahari sejam awal terbit berbanding di sini, Alhamdulillah saya menikmati setiap saat, jam yang berlalu… ada masanya terasa masa bergerak sangat perlahan. Mungkin sebab sekarang kami bermastautin di KL/Selangor mencari rezeki di sini, balik ke kampung halaman sekali sekala memang tujuan bercuti ‘bonding time’ bersama family…tu yang rasa nyaman je, tak ada tekanan hendak kejar itu ini. Makan minum tidur sembang bersama family, berjalan-jalan di hujung kampung sebelah menikmati laut atau turun ke bandar Sandakan… pun nampak laut.
Menikmati ‘angin’ yang berbeza. 



love,
monalizahrais
Bt.3 Jln Kapar, Klang
Selangor
6 Mei 2017 Sabtu