Wednesday, September 28, 2011

SELIPAR



RM 10 saja harga selipar ni. Dibeli di kedai di kawasan Sinsuran, KK. Berjalan-jalan sambil bersantai, selalunya saya akan pakai selipar, senang untuk cuci kaki. Lagi pula kalau berjalan dengan keluarga. Sudah namanya bersiar-siar, paling pun tepi pantai dan bergambar sakan.

Biasa-biasa saja...tapi ok lah


Monday, September 26, 2011

MATA OH MATA


Mulanya saya tidak peduli. Biasalah tu kan, sudah tentu banyak pelancong dan pengunjung berlegar di kawasan Waterfront, Kota Kinabalu. Siapa orang KK mesti tau punya ini tempat. Saya dan suami sibuk mengambil gambar di kawasan tersebut. Satu yang saya perasan, warga KK ini jika dibandingkan dengan orang Sandakan - cara percakapan mereka agak lembut dan sopan.

Opps! macam lari dari tajuk pula. Begini ceritanya, kadang-kadang tu macam menunggu giliran juga mau bergambar kan. Jadi di bulatan yang ada arca ikan parang tu, maksud saya dari kedudukan arca ikan comel tu (sudut yang terbaik untuk bergambar berlatarbelakangkan ikan parang) ada tiga gadis sedang bergambar.

Setelah mereka beredar dari situ, saya dan suami pun ambil posisi untuk berposing. Tidak jauh dari jarak kami tu, sekumpulan anak muda sedang bersiap sedia untuk menggantikan tempat kami untuk acara bergambar jugalah.

Salah seorang gadis yang tiga orang tadi tu...dia asyik pandang curi saya dari jauh. Walaupun saya dan suami sudah siap berposing di ikan comel tu, matanya tidak lepas memandang saya. Saya pasti dia melihat saya kerana suami sudah jauh di hadapan berjalan di tepi tembok tetapi saya masih berlegar di kawasan berdekatan, sibuk mengambil gambar laut, awan dan deretan bangunan.

Mungkin perasaanmu saja bah tu. Bisik hati saya. Saya terus berjalan dan bagaikan ada sesuatu yang memanggil, spontan saya menoleh ke belakang dan dia masih memandang saya. Pandang curi ya. Cara dia memandang seolah-olah seperti mengenali saya, teringin juga hendak menegur tetapi puas saya memikirkan...muka gadis ini tidak pernah saya jumpa sebelum ini.

Tapi saya pernah melihat muka yang seirasnya di laman muka buku. Kalau kita taip nama orangkan, selalunya akan terpapar muka buku nama orang lain jugakan. Aneh dan lucu jugalah, sudahnya saya buat macam tiada apa-apa dan ingatan itu hilang begitu sahaja sebaik saya dan suami pulang ke rumah kakak ipar.

Beberapa hari kemudian ketika dalam perjalanan pulang semula ke Sandakan, ingatan saya terimbas semula peristiwa tersebut. Secara tidak langsung ingatan saya membawa kepada banyak peristiwa lain yang seakan-akan saling berkait dan berlaku secara kebetulan.


RUMAH IDAMAN


Secara kebetulan saya ada gambar ni, jadi diletakkan di blog ini untuk cerita tentang rumah idaman. Sekadar gambar hiasan saja tu (tapi orang dalam gambar tu...aku ler...). Gambar ini diambil pada tarikh 20 September 2011 - dua hari sebelum saya dan suami pulang semula ke Klang, Selangor. Lokasi di rumah Agnes Keith, Sandakan, Sabah.

Sewaktu berkunjung ke rumah kakak ipar, seperti biasa topik balik Sabah antara tajuk utama yang dibualkan. Isu yang sama juga seringkali disebut oleh keluarga dari pihak saya. Kakak ipar mencadangkan supaya saya dan suami tinggal di rumahnya, menetap dan bekerja di Sabah.

Rumah yang dimaksudkan - rumah milik kakak ipar yang didaftar atas namanya. Sederhana besar, tiga bilik tidur, satu tandas dan satu bilik air. Kalau dapat tukar nama ok, tetapi kalau sebaliknya...tak payah duduk rumah tu. Saya cakap macam tu dengan suami.

Rumah, tanah dan kereta - pendapat sayalah kan...untuk menyenangkan di kemudian hari, kalau hendak menetap yang memang itulah tempat yang dipilih untuk sepanjang kehidupan sehingga ke usia senja (INSYAALLAH) biarlah hak milik atas nama kita kan.

Bapa tengah sakit kuat dan cuma bayar beberapa ratus sahaja, kunci rumah dapat diambil dan bila-bila masa sahaja berpindah ke rumah tersebut. Betul-betul punya godaan ni! Tetapi saya yakinkan diri sendiri dan suami, yang penting kita berdua terus berusaha untuk balik semula ke Sabah. Ada juga tu rezeki, asalkan tidak berputus harap dan berdoa. Maksud saya macam tu "Sirih Pulang ke Gagang" bah.

Setakat balik setiap tahun semasa perayaan, itu lain ceritalah.

Merantau jauh manapun, kita akan ada perasaan, suara hati kita di sudut yang paling dalam...'suatu hari nanti aku akan pulang dan menetap semula di negeri/negara kelahiranku'.

Tuntutan tugas dan kekangan tertentu seringkali membuatkan hasrat itu terbantut. Cerita kehidupan kita berbeza warna antara satu dengan yang lain kan. Itulah kehidupan. Sewaktu zaman remaja, saya sering membayangkan rumah idaman saya - melihat gunung Kinabalu sebaik sahaja saya membuka tingkap rumah, merasai udara sejuk, nyaman dan menyegarkan dari daerah pergunungan. Melihat aliran sungai jernih bersih bebas dari pencemaran. Mendengar kicauan burung dan cengkerik, mendengar suara alam - hujan turun, aliran air...dan..............kalau disenaraikan terlalu banyak kan?.

Kalau saya boleh memilih, daerah Kundasang @ Ranau menjadi pilihan. Impian...memang indah terukir cantik di alam fikir.

Oh ya, rumah itu tidak dapat pindah hak milik. Jadi kami tolak secara baik tawaran kakak ipar itu. Tentang cerita impian tu pula, bermimpi boleh tetapi jangan sampai lupa yang nyata - ingatan untuk diri sendiri.

Thursday, September 15, 2011

CUTI

Cuti sekejap menulis di blog ini. Sebabnya? Lebih sibuk daripada biasa, tidak dapat diceritakan semuanya. INSYAALLAH selepas semuanya reda akan dimasukkan juga cerita di blog ini.



 

Thursday, August 18, 2011

ENTAH...

Adalah satu hari tu, saya nak pergi ke satu tempat. Dekat saja dengan rumah, jadi saya naik bas sajalah. Tunggu bas lebih dari sepuluh minit. Bukan basnya tiada, tapi bas tidak singgah walaupun sudah dilambai dari jauh. Pemandu tu bagi signal suruh tunggu bas yang seterusnya.

Dalam proses menunggu tu, ada seorang pakcik lingkungan 40-an di seberang jalan hendak melintas. Biasalah, apabila jalan sudah lengang sedikit dia pun melintas dan kami sama-sama menunggu bas.
 Kemudian bas sampai dan saya biarkan dulu pakcik tu naik.

Tiba giliran saya hendak membayar tambang, pemandu mengatakan tambang saya sudah dibayar. Diringkaskan cerita, pakcik yang tidak dikenali itu yang membayar tambang saya.

Saya ucapkan terima kasih jugalah pada pakcik tu. Entah kenapa dia bermurah hati membayar tambang untuk saya. Kami tidak kenal satu sama lain.

Pada masa itu saya cuba untuk tidak melayan fikiran yang macam-macam kerana yang penting saya selamat sampai ke destinasi yang hendak saya tujui.
Mungkin pakcik tu ada sebab tersendiri berbuat demikian. Tiba-tiba saya teringat kisah bapa saya semasa graduation dulu.

Saya tumpangkan bapa di rumah kawan di Pantai Dalam. Masa tu saya tinggal di Vista Angkasa. Ada satu malam tu, lebih kurang dalam jam 11 malam, saya dan bapa menaiki teksi dari UM. Saya turun di Vista dan saya arahkan pemandu teksi itu hantarkan bapa ke PD. Keesokan harinya bapa memberitahu saya yang tambang teksinya free.

Aku : Buli pula percuma kan pak. Selalunya pemandu teksi di KL ni banyak yang tipu, biarpun bukan semua begitu. Mangkali tiada duit kecilmu pak. Itu yang dia bilang enda payah bayar.

Bapa : Banyak juga duit pecahku. Aku tengok juga harga di meter teksi tu. Tapi dia bilang, enda payahlah. Percuma saja untuk kita dua orang.

Aku : Ohhh...syiok juga tambang percuma.

Sekali lagi, mungkin dia ada sebab berbuat begitu.

Tuesday, August 16, 2011

SUNGKAI

Waa....hari ni lapar sangat, berbanding hari-hari sebelumnya. Mungkin banyak tenaga digunakan untuk membuat kerja. Sungkai apa ya? Sekarang semasa tulisan ini ditaip, jam menunjukkan 6:18 pm, berbaki sejam lebih lagi masa untuk berbuka puasa.

Terbayang dalam fikiran hendak membeli sungkai di restoran Ahmad Tomyam yang tidak jauh dari rumah kami. Mungkin setelah siap menulis post untuk hari ini...tukar baju dan pakai tudung, jalan kaki sikit menuju ke restoran tersebut. Bungkus saja...


Lokasi : Alam fikiran...
Nescafe o ais + goreng-goreng @ teh o ais limau + goreng-goreng juga @...

Monday, August 15, 2011

RESEPI RAYA

Sudah tentu resepi yang berkaitan dengan ayam dan daging. Rendang, ketupat, kuah kacang, aneka biskut dan kek antara juadah yang terdapat di kebanyakan rumah kita. Tidak terkecuali duit raya yang sinonim dengan kanak-kanak.

Berada di usia dewasa ini, masa untuk kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Mengikut kemampuan masing-masing. Situasi yang saya suka, berkaitan dengan penyediaan hidangan untuk hari raya. Kuih makmur dan kuih siput...mesti ada dan dibuat setiap kali menjelang raya, untuk digandingkan bersama dengan kuih-kuih yang lain.

Leceh membuatnya tetapi seronok makannya. Saya tidak suka terlibat dengan proses membuat kuih muih dan biskut kerana saya lebih berminat dengan hidangan lauk-pauk. Sekarang saya ligat mencari resepi, mencarinya memang mudah sama ada membeli buku mahupun online saja di internet.

Cabaran utama -  bertambahnya kilogram daging dan ayam yang lebih banyak daripada hari-hari biasa. Hendak seimbangkan rasanya, agar tidak terlebih masin, manis ataupun terlalu pedas. Maklumlah kan, keluarga saya ni besar dari pangkat datuk nenek ke cucu cicit akan berkumpul, tak pun bertandang sekejap ke rumah.

Jadi cabaran juga tu untuk memastikan rasa makanan dapat diterima oleh tekak tetamu yang berbeza generasi ini. Begitu juga dengan air minuman, perlu variasi. Yang kanak-kanak dan remaja lebih menggemari minuman sejuk. Tetapi pangkat orang tua dan datuk nenek ni lain sikit, selalunya kena tanya dulu mau minum apa, perlu letak gula atau tidak, panas sepenuhnya atau suam-suam kuku.

(Amboi! Baru 15 Ramadhan, sudah sibuk-sibuk rancang menu ya)

Tak salah merancang awal, supaya tidak kelam kabut nanti. Kalau pun tidak sama 100% dengan perancangan asal, setidak-tidaknya tidaklah lari jauh sangat dari plan.
Ada juga terlintas di fikiran saya juadah berasaskan makanan laut...fikir, fikir dan terus fikir...