Friday, November 21, 2014

SEKSYEN 7 SHAH ALAM JALAN-JALAN CARI TUDUNG

Assalamualaikum...

Minggu lepas saya ke seksyen 7 Shah Alam mencari tudung kiriman emak dan adik. Esok adik saya yang belajar di Adtec itu akan pulang ke Sabah bercuti semester.
Sebelum ini saya hanya lalu di tepi-tepi jalan seksyen 7 untuk ke I City dan PKNS Shah Alam, baru kali ini singgah dan merayau ke kedai-kedai tudung yang berderet di situ. Kalau tak sempat ke Jalan TAR bolehlah singgah sini, banyak juga pilihan sampai rambang mata dibuatnya. Dekat saja dengan rumah kami jika dibandingkan dengan turun ke KL. Tapi kalau nak beli banyak/borong...alang-alang turun KL, puas hati.

Sambil cari dan beli tudung...sempat lagi saya singgah di laman seni street art lorong belakang, tapi untuk cerita laman seni itu saya tulis di entri seterusnya. Sekarang mau cerita bab tudung dan kain-kain dulu. Wisma Jakel, Gulati's dan Burger Bakar Abang Burn antara yang selalu disebut-sebut kalau nak pergi Seksyen 7 Shah Alam, senang sangat nak cari tempat ni.

Ok, terus kepada gambar-gambar di bawah.


 


























Kalau naik bas dari bandar Klang tambang RM1 dalam 15 minit dah sampai sini, ikut bas Seranas yang menuju PKNS. Dekat sangat dengan bandar Klang. Saya beli tudung dagu mengikut permintaan emak dan adik, pusing-pusing cari akhirnya beli dekat Real Hijab bermacam jenis dan warna tudung dagu, tak dagu dan lilit-lilit (shawl). Kebetulan Real Hijab tengah promosi 3 helai RM100 sampai hujung tahun 2014 kata jurujualnya. Harga asal RM70 dapat 3 helai RM100 kira ok lah tu... kena dengan bajet emak dan adik.

Korang layanlah tengok gambar ya... nak pilih tudung yang semurah RM10 ke RM puluh-puluh ke ratus suka hati kamu...

Tanda-tanda awal kita memasuki kawasan seksyen 7 antaranya stesen minyak dan bangunan KFC yang besar gedabak tu (dari bandar Klang lah), tapi senang cerita memang mudah cari tempat ni. So? Nak cari tudung berjenama tak berjenama tempat ini juga satu pilihan, InsyaAllah untuk raya puasa tahun 2015 saya nak cari tudung kat sini lagi kalau tak sempat atau tak larat ke Jalan TAR, selain PKNS Shah Alam.

Yang menarik perhatian di sini...majoriti peniaganya Melayu, muka-muka Melayu ada di mana-mana ditambah lagi lokasinya berdekatan dengan pintu masuk Uitm... mood Melayu begitu menonjol sekali, ops ini bukan racist tau! Saya cuma tulis apa yang saya nampak di hadapan mata saya.

Ok, tata titi tutuuuu...jumpa lagi di lain babak.


love,
monalizahrais
kapar,klang
21 nov 2014 friday

 
 

Thursday, November 20, 2014

BURGER IKAN MY STYLE ^____^ HOMEMADE

Assalamualaikum...

Jarang sungguh dapat berblog sekarang...entah apalah yg disibukkan sangat tu.Namun begitu blog ini tidak pernah saya lupakan, cuma kurang konsisten update cerita-cerita yang hendak dikongsikan kepada pembaca yang tidak saya kenali.

Ok lah...sejak terrr...pandang burger bakar abang Burn di facebook, tiba-tiba mood burger menjelma, belum ada kesempatan lagi makan burger bakar yang terkenal tu, akhirnya terrr...buatlah burger homemade.Godek-godek resepi di kepala Encik Google, merayau sana sini di laman maya dan akhirnya menjadi juga burger ikan dan ayam mengikut citarasa saya.

Lain orang lain citarasanya. Saya beli bahan-bahan mentah dekat Mydin jerrr...jujur saya bukan peminat burger, tapi keinginan mencuba itu wujud dan sesekali juga saya ada membeli burger ayam/daging special, kadang-kadang saya rasa sedap kadang-kadang rasanya macam biasa-biasa saja di tekak saya.
Alangkan burger bakar abang Burn itupun bukannya jauh sangat dari rumah kami, tapi tak pernah lagi ke sananya,nak juga ke sana satu hari nanti...

Sebelum ini hendak beli cheese pun saya tak tahu nak pilih yang mana...kerana keinginan membuat burger hasil air tangan sendiri begitu kuat yang mendorong saya 'mesti buat dan siap punya', hehehe...

Terus kepada gambar di bawah, langkah demi langkah membuat burger homemade my style laa...
Sorry ya, panjang sangat mukadimah di atas, al maklum melepas rindu lama tidak menulis di blog.








 














Keratan rentas burger ikan.


Sayang sekali tak dapat upload gambar bahan-bahan mentah, sudah dicuba banyak kali tetap tak dapat upload.Jadi saya tulis saja bahan-bahan kat bawah.

Bun burger (saya beli yg 10 pcs RM2.70)
Burger Ikan/Ayam jenama Ramly 
Daun salad
Tomato
Kobis 
Timun
Lobak merah
Keju (cheedar cheese)
Seasoning saya guna apa yang ada kat rumah saja (salad dressing jenama lady's choice dan sos cili kipas udang macam dalam gambar di atas)
Mentega jenama Daisy
Telur (kalau suka boleh buat ala-ala burger special kan)
 Hirisan bawang (saya tak letak malas hiris)
Bab sayur mayur tu pun ikut suka (dihiris halus-halus)

Saya suka seasoning selain yang di atas...kalau ada sos lada hitam dan ajishio yang dalam botol kecik comel tu...apa pun ikut citarasa masing-masing lah ya.


Kebanyakan dari kita mesti pernah beli burger yang jual kat tepi jalan mesti biasa tengok abang/kakak yang jual burger tu masak dan susun burger, jadi rasanya tak perlu saya terangkan secara detail cara-cara membuatnya, biarlah gambar berbicara.


Ok, jumpa lagi di lain cerita, semoga ada manfaat kepada anda yang membaca cerita ini, InsyaAllah ada versi burger yang lain nak letak lagi dalam blog ini, sekarang masih mood amatur, silap salah harap diampun, hihihi...

love,
monalizahrais
kapar,klang
20 November 2014 
 
 

Tuesday, October 14, 2014

RAYA HAJI 2014 5 OKTOBER 2014

Assalamualaikum...

4 Oktober 2014 birthday suami saya, keesokan harinya kebetulan Raya Haji untuk takwim 2014/1435. Jadi saya mencadangkan kepada suami supaya 5/10/2014 itu diadakan majlis kecil doa selamat sempena harijadi beliau sehari sebelumnya. Kami menjemput family terdekat yang menetap sekitar Lembah Klang, adik saya yang belajar di Adtec tu kami suruh baca doa selamat.

Dan... hari Sabtu suami sudah cuti raya sehingga hari Isnin, kebetulan raya haji tahun ini jatuh hari Ahad, jadi tentulah Isnin pun cuti sekali. Kami berbelanja di Pasar Besar Klang, dekat Meru. Ramai orang, sesak sampaikan kereta banyak parkir di tepi jalan, biasalah mood hari raya kan. Harga daging melonjak naik, daging batang pinang sekilo bermula harga RM28 - RM30.
Kami beli tulang rusuk dan tulang belah kaki berharga RM12 sekilo, belilah 3 kilo untuk masak sup tulang, kegemaran Encik Suami saya.

Maklumlah, hari 'kebesaran' dia kan... haha...

Berikut antara menu yang dimasak (aku ler yang masaknya, tak ada orang lain yang nak diharapkan, hehehe...).

 Nasi impit segera, masak 2 peket dapatlah 33x2=66 pcs semuanya. Durasi memasak 1 peket 33 pcs tu +- sejam 1/2 ke dua jam. Dua trip masak sebab tak ada kuali atau belanga saiz XL punya, yang ada saiz medium saja.


 Nasi pulut untuk ketupat palas, saya masak sekilo dapat buat +- 30 pcs aneka saiz ketupat palas sebab saiz daun ada yang besar dan kecil.



 Bintang utama - sup tulang saya masak selama 4 jam untuk empuk sepenuhnya. Mula masak jam 7 pagi dan siap jam 11 pagi.



 Sambal belacan kaw2 pedas, saya pakai cili api hidup 21 pcs. Belacan + perahan limau kasturi + garam gula dan cili api. Sudah pasti dibuat di lesung batu baru sodap dan menyengat!


 Inilah bahan-bahan untuk menyiapkan juadah istimewa hari jadi suami + hari raya haji 2014.



Ketupat palas yang sudah siap direbus.


Bawang goreng buat sendiri.


 Test dulu sup tulang ini sebelum tetamu sampai.


 
Acar simple saja - timun + nanas + carrot + sedikit cuka dan garam gula.


Ini pula rendang ayam, menu di hari raya kedua. Balance timun, carrot dan nanas pun saya buat acar di hari raya kedua.


Yang tiada dalam gambar, tak sempat snap sebab tetamu dah sampai - ayam goreng, ikan bakar dan minuman mangga.
Selesai bacaan doa, Alhamdulillah berselera sungguh tetamu saya makan, happy tengok diorang makan bersungguh. Tetamu kami ada yang hanya makan ikan sahaja, ada yang tak makan daging dan sayur, tu pasal menu perlu pelbagai, kalau tidak kesian pula nanti ada yang termenung menghadap makanan kalau menu terhad.

love,
Monalizah Rais
Jln Kapar,Klang
14 Oktober 2014 - Selasa.

 

KLINIK GIGI DI KLANG

Assalamualaikum...

Ini siaran tertunda, adik saya sakit gigi dan disebabkan tak tahan sakit tambahan exam semakin dekat, cabut gigilah jawabnya. Masalahnya ialah saya tidak tahu di mana klinik gigi di Klang, sebenarnya tak perasan sebab tak pernah sakit gigi sebelum ini. 

Cari punya cari akhirnya saya dan adik pergi ke klinik gigi berhampiran perpustakaan awam dekat Jalan Tengku Kelana, Klang. Dan klinik gigi ini berdekatan dengan Klinik Kesihatan Aneka. 

Dari Bandar Klang Diraja, kalau naik bas ambil yang menuju Banting dan turun betul-betul di persimpangan jalan naik bukit menuju laluan masuk ke klinik ini. Kalau tanya orang sekitar Jalan Tengku Kelana pun, kebanyakannya tahu tempat ini. Tambangnya RM 1 sahaja dan kurang 5 minit...dah pun sampai.

Kami datang Sabtu, tapi staf nurse tu cakap datang pagi Isnin. Ok, dan Isninnya pula kami datang waktu petang, di suruh datang hari Rabu sebab Selasa bersamaan cuti umum 16 Setember 2014 Hari Malaysia. Salah kami juga tak dengar betul-betul cakap nurse, suruh datang PAGI Isnin datangnya petang.

Ok, ini jadual kalau nak cabut gigi. Kami pun baru tahu tentang jadual ini. Kami sangka cabut gigi itu jadualnya seperti office hour, rupanya tidak. Jom tengok jadual yang diberi nurse.



RM 1 untuk daftar dan RM 1 lagi untuk cabut gigi. Harga bedah gigi, tampal atau pasang gigi berbeza cuma masih murah untuk warganegara Malaysia. Yang bukan warganegara, mahal sedikit harganya.

Semoga ada manfaat kepada anda yang memerlukan perkhidmatan pergigian di sekitar daerah Klang (klinik kerajaan). Senyum...

Love,
MonalizahRais
Bt. 3 Jln. Kapar,Klang
14/10/2014 Selasa. 

 

Monday, September 8, 2014

ADAB DI LAMAN MAYA

Assalamualaikum...

Sedikit dapatan di facebook, ada page dan ada juga seorang ustaz bercakap tentang adab di laman maya. Tapi petang ini saya menulis tentang adab di laman maya bukan hendak mengulas pendapat mereka. Sekadar bercerita pengalaman sendiri serta pendapat tentang adab kita di laman maya. Sekarang ini handphone semurah kurang dari RM200 dengan mudah kita berfacebook, tweeter, whatsapp, instagram, we chat dan... tak larat sebut, bermacam-macam aplikasi ada di playstore... memang stor aksesori kegunaan kita bersosial di laman maya. 

Ok, sebelum adanya whatsaap, di facebook ada 'group' lingkungan yang lebih kecil dan terarah. Sama ada kita dijemput bertandang ke 'group' atau tiba-tiba sahaja nama kita terrrr.....masuk dalam 'group' tersebut. Selalunya berkaitan dengan bisnes MLM (multi level marketing). Kita pun tiba-tiba hairan notification kita sentiasa merah dengan angka, kadang-kadang-kadang sehingga terlepas mesej-mesej penting.

Yang buat bisnes kecil-kecilan tu ok lah juga, bab 'group' tu yang tak tahan. Berduyun-duyun 'jemputan kenduri' idea di rumah 'group' yang kita sendiri pun tak kenal atau tak pernah dengar pun.

Kemudian... munculnya aplikasi whatsapp kerana ia menggunakan nombor telefon kita, terbentuklah kumpulan yang lebih kecil, ahli-ahlinya rakan sekolah rendah/menengah/satu pejabat/persatuan. Kadang-kadang lebih bersifat peribadi. Orang luar yang tidak dikenali confirm tak boleh masuk punya.

Sebelum itu, dalam ruang facebook yang sangat besar lingkungannya sehingga boleh mencecah rakan 5000 orang (tidak termasuk follower/subscribe), dan bagi page pula tidak terhad follower/subscribe, terlalu banyak orang yang tidak kita kenali. Bagi pendapat saya... walaupun kadang-kadang kita terbaca status orang lain yang seakan-akan ditujukan khusus kepada kita...tapi mungkin ianya cuma kebetulan, kerana masing-masing pun ada rangkaian rakan-rakan fb yang ramai. Akhirnya status itu akan menjadi umum walaupun ada yang terasa hati.

Tentu berbeza dalam lingkungan yang lebih persendirian contoh whatsapp 'group' rakan sekolej/satu course yang sama/ batch yang sama. Terlanjur cakap amat mudah mengesan siapa yang disindir dan siapa yang tersindir. 
Sekali dua mungkin rakan-rakan lain boleh tahan lagi tapi terlalu kerap terlalu banyak pertentangan sehingga masing-masing teguh dengan pendirian masing-masing tidak mahu mengalah... akhirnya ada yang undur/leave kumpulan begitu sahaja. Lebih parah kalau ianya berterusan di luar laman maya, tak pasal-pasal bermusuh sepanjang hayat.

Kadang-kadang isu yang dibincang hanyalah setakat isu-isu semasa tapi itulah.... cara kita memandang sesuatu perkara itu tentunya dari sisi yang berbeza. Perbezaan ini yang kadang-kadang menimbulkan rasa tidak puas hati/tersinggung. Peranan admin  memang penting dalam sesebuah 'group' tapi tidak semua perkara dapat dikawalnya kerana fikiran milik masing-masing.

Mula-mula saya join whatsaap apabila ada rakan-rakan satu universiti hantar mesej di inbox fb saya menyuruh saya join group batch kami. Ok, saya pun setuju. Mula-mula segalanya berjalan lancar bermacam topik dikongsi, ada masanya seperti ada kuiz di kumpulan kami, sampaikan sebelum tidur saya terpaksa silent handset, bunyi mesej tak henti-henti.

Sehinggalah pada satu hari, saya amat-amatlah tidak setuju dengan pendapat seorang ahli group yang bagi saya bukan sahaja berbaur lucah tapi seperti menghina wanita yang sudah berkahwin, saya dengan rela hati leave group tersebut apatah lagi setelah menyedari ada rakan lain yang leave group kami, mungkin dia juga tersinggung seperti saya kerana kami sama-sama wanita yang sudah berkahwin.

Ceritanya begini... salah seorang rakan kami yang masih bujang dan usia sudah mencecah 40 series, sudah tentu akan ada pertanyaan tentang kahwin, manatau sudah ada calon, dan jangan lupa jemput kami, kata kami rakan-rakan satu group. Ok, itu masih ok lagi. Kemudian akhirnya dia berterus terang dengan kami katanya dia tidak berminat berkahwin kerana terlalu sibuk dengan kerja. Pun semuanya ok lagi. Sehinggalah dia berkongsi info tentang satu program kursus kahwin yang katanya ada unsur lucah disampaikan seorang penceramah.... maka bermula rasa tidak senang hati di kalangan rakan-rakan yang membaca entry nya itu, maksud saya cara dia menyatakan 'kelucahan' itu terlalu berterus terang mengalahkan kami yang sudah berkahwin, seolah-olah dia ada pengalaman 'ehem-ehem' diikuti dengan pendapatnya kononnya apabila berkahwin perempuan menyusahkan suami, menjadi bebanan banyak membazir wang, bela kucing lagi baik berbanding berkahwin, katanya.

Kesimpulannya saya serta merta leave group tersebut, tambahan pula dialah admin group kami...dengan kenyataannya yang seperti memandang rendah wanita berkahwin padahal dia juga lahir dari rahim seorang wanita iaitu ibunya yang telah berkahwin dengan bapanya, sanggup dia bercakap sebegitu.

Berbeza pendapat tentang apa sahaja isu, saya tak kisah sangat, setuju atau tidak itu hak masing-masing bersuara, tapi kalau memandang sesuatu perkara disertai dengan menghina memang saya tidak setuju. Setelah leave kumpulan tersebut saya berasa sangat lega, itu yang terbaik. Kenapa kita perlu terlibat perkara yang sia-sia? 

Sekarang saya join group rakan-rakan sekolah rendah dan famili kami - adik beradik ipar duai. Kedua dua group ini saling memahami tidak ada isu-isu yang menyindir atau tersindir, semuanya sporting. 


Adab kita berbicara di laman maya mencerminkan siapa kita di dunia realiti. Walaupun mungkin bukan 100% sama, sebahagian diri kita terserlah di laman sosial. Ada yang pendiam jarang update status di laman sosial tapi sangat peramah apabila bertemu di luar. Ada juga yang aktif di laman maya padahal dia seorang yang pendiam di luar laman sosial. 

Hampir semua aspek kehidupan kita sekarang bergerak pantas, apabila alam fikir yang kompleks itu semakin difahami melalui terjemahan laman sosial maya... atau semakin rumit. Sesekali kita merindui zaman sebelum adanya facebook segala macam bentuk aplikasi sosial di laman maya ini. Kalau yang memang lahir setelah adanya facebook etc, lain pula cabarannya.

Kadang-kadang saya merasakan kemajuan IT dan bermacam teknologi terkini seolah-olah mengarut, maksud saya dari persepsi tradisional, tapi itulah realitinya. Masa bergelar pelajar UM dulu, ketika itu set komputer kita kan besar gedabak... laptop pula mahal harganya paling murah pun RM 7000, malah ada yang mencecah RM10 000 tapi sekarang melihat komputer tersadai di rumah sewaktu balik kampung bulan lepas... alahai pandangan saya pelik, sisi pandang saya sudah berubah kerana aliran kemajuan IT itu. Harga laptop saya, jenama Acer berukuran 9 inci panjang x 6 inci lebar hanyalah  RM 1200 sahaja, dibeli beberapa tahun lepas dan kekal cergas staminanya sehingga sekarang.

Beberapa tahun sudah, melihat pengunjung restoran segera menghadap komputer riba... sesuatu yang biasa tapi sekarang ianya sudah jadi luar biasa kerana kita rata-ratanya menggunakan aplikasi smartphone yang senang dibawa ke mana-mana, ada wifi sendiri melalui langganan bulanan, boleh telefon dan internet sekali jalan... malah boleh letak dua sim card dalam satu handphone sahaja. Dahulu saya guna 2 telefon, satu untuk berhubung dengan rakan dan famili dan satu lagi untuk internet sahaja, sekarang saya guna satu sahaja smartphone untuk telefon, internet malah kamera sekaligus. Paling cikai pun... kalau bajet kurang untuk internet, connnect saja sama wifi di mana-mana premis makanan segera/restoran mamak, tahan tak tahan saja duduk lama-lama kat situ.

Sekarang... terlihat orang membaca buku/majalah di mana-mana sudah termasuk dalam kumpulan minoriti berbanding 'membaca' smartphone. Lihat saja dalam LRT/komuter... hampir 100% pengguna merentas pelbagai peringkat usia semuanya 'tunduk' dan 'patuh' membaca smartphone.
Nasib baik di luar kawasan bandar kebiasaan ini masih kurang, kalau tidak mahunya ada yang jatuh longkang ke, jatuh motor ke... haaa..

Monopod dan selfie mula-mula dulu pun pelik juga sekarang sudah dianggap biasa. Selepas ini entah apa lagi kepelikan yang keluar dan akhirnya beransur-ansur menjadi sebati dalam kehidupan kita. Jangan tak tahu, monopod sekarang selain shutter, ada tambahan aksesori lagi! 3 in 1 lens, bukan mata kita saja yang pandai pakai lens, smartphone pun terror juga pakai lens you!!!! Jelous Encik Kamera, semakin ramai pesaingnya, hiiii....

Oklah stop dulu sini, Maghrib dah ni, nanti sambung lagi... tata..


love,
monalizahrais
kapar,klang. 



 



 

 



 
 



 




 

KETUPAT LEMAK BERKRIM DISUKAI RAMAI

Assalamualaikum...

Di kampung bahan-bahan seperti santan kelapa, daun pandan, serai, aneka sayuran dan buah-buahan malah ayam kambing lembu adakalanya percuma, orang tua kita yang membela binatang ternakan dan berbudi kepada tanah. 

Tentunya situasi ini berbeza apabila kita duduk di bandar-bandar besar...sampaikan daun pisang atau sedikit sahaja daun kari semuanya mempunyai nilai Ringgit Malaysia. Kadang-kadang ada jenis daun yang saya tak kenal ada juga dijual.

Ok,terus kepada cerita ketupat lemak berkrim disukai ramai. Seakan satu tradisi, ketupat mesti ada di rumah kami setiap kali hari raya, tak kisahlah raya puasa atau raya haji mesti ada dibuat. Tak banyak tak kisah, janji ada. Jenis ketupat pulut dan dimasak bersama santan pekat. Bertambahlah seronok apabila daun kelapa sehinggalah ke santan/susu kelapa semuanya percuma, hanya diambil dari sekeliling rumah/kampung kami. Kena pula tu ada mesin parut kelapa...lagilah senang.

Bayangkan semasa hari raya baru-baru ni, kelapa berlonggok di bawah kolong rumah melebihi 100 biji sehinggakan adik saya menjual sebahagiannya di Pekan Muhibbah berhampiran. 

Semasa saya kanak-kanak, ada beberapa jenis ketupat yang saya tahu buat, antaranya ketupat empat segi tepat, ketupat empat segi sama, ketupat jantung, ketupat burung dan ketupat ayam. Arwah nenek dan arwah bapa yang ajar. Faham-faham sajalah kan budak-budak senang diajar dan mudah faham. Sekarang akhirnya hanya satu jenis ketupat yang saya masih ingat cara membuatnya - ketupat empat segi, tapi sejak menjadi perantau, saya boleh membuat ketupat palas, belajar dari youtube, senang sangat nak buat dan mudah juga didapati daun palas dari Pasar Besar Klang. Tahun lepas raya haji saya buat ketupat palas berlaukkan rendang daging.

Ketupat yang sudah siap dianyam dan diketatkan.




 Ready untuk dimasak sehingga santan pecah minyak.


Resepi Ketupat Lemak Berkrim Disukai Ramai.

1 kilogram beras pulut putih = santan dari 2 biji kelapa (saiz besar) atau 3 biji kelapa (kelapa saiz kecil).

Beras pulut direndam dalam santan pekat (yang ditambah sedikit garam dan gaul rata) selama setengah jam.Pastikan pulut tenggelam sepenuhnya dalam air santan.

Siap direndam 1/2 jam, beras pulut diisi ke dalam ketupat yang sudah diketatkan, jangan isi penuh, isi sebanyak 80% dari keseluruhan ketupat, atau agak-agaklah kan bagi longgar sikit sebab ketupat ini akan kembang apabila masak nanti.

Selesai mengisi ketupat, air santan tadi dituang sekali dalam periuk besar/kuali besar untuk merebus ketupat ini sehingga masak. (Guna dapur turbo cepat masak tak payah tunggu lama sangat)


Memang tangan kita akan basah sebab pulut ini direndam dalam santan, tu yang sedap tu, tapi pastikan tangan kita bersih sebab nak masak ketupat ni mestilah air tangan kita bersih juga kan hehehe...nak bagi isi ketupat guna sudu pun ok juga, ikut keselesaan anda.

Masa raya puasa bulan lepas, saya buat ketupat pulut guna 3 kilo beras pulut dan santan dari 9 biji kelapa. 92 biji ketupat siap tapi saiz ketupat ada yang besar dan ada juga yang kecik sebab dapat daun kelapa yang kecik jugalah, maklum hari raya habis semua pokok kelapa di kampung kami diserbu oleh orang-orang kampung, mood membuat ketupat gitu...tempoh memasak 1 jam 30 minit. (bergantung kepada saiz ketupat kalau banyak yang kecil cepatlah masaknya)

Ketupat yang saya buat tu untuk famili di KK, tidak termasuk yang emak buat untuk raya kami di kampung.

Oh ya, lagi satu yang paling PENTING - Setelah air santan hampir kering dan ketupat pulut lemak sudah masak, angkat keluar ketupat ke dalam jerayan (besen besar atau bekas besar yang berlubang-lubang tu) untuk tos sisa-sisa santan yang sudah pecah lemak. Setelah ketupat SEJUK, lap ketupat satu demi satu supaya tahan lama boleh sampai 3 ke 4 hari.  (lap guna kain or tisu ikut yg mana selesa)


Sisa-sisa santan yang pecah lemak tu yang semacam putih telur masak tu memang akan banyak terlekat di badan ketupat, selain berminyak. Bab lap ketupat ini memang leceh, tapi itulah prosesnya untuk menghasilkan ketupat lemak berkrim disukai ramai, hihihi...

Kalau rajin nak guna pulut hitam (pastikan yang berkualiti) pun boleh atau campurkan beras pulut putih dengan sedikit beras pulut hitam, pun best juga, ikut rajin kitalah nak macam mana kan?


Itu style ketupat kami di kampung,ada juga saya buat nasi impit guna daun ketupat dan beras biasa, tapi selera famili saya lebih kepada ketupat lemak berkrim disukai ramai ini, mungkin sebab ianya lebih 'berperisa'. Lambat sikit habis yang nasi impit tu walaupun dipadankan dengan kuah lontong.

Disebabkan saya terbiasa dengan masakan Melayu di Malaya ini, jadi sedikit sebanyak cara masakan saya ada ciri-ciri tersebut setiap kali beraya balik kampung di Sabah.

Cubalah buat! Senang saja tu, Try buat sedikit sahaja untuk permulaan, dalam sekilo atau 1/2 kilo beras pulut putih, lagi beberapa minggu ke hadapan kita akan berhari raya haji pula...alahai masa sentiasa sahaja pantas bergerak.

Ok bye ... tata...jumpa lagi di lain cerita.


Love,
monalizahrais
Kapar,Klang.
 

 
 






 

Saturday, August 30, 2014

RAYA 2014

Assalamualaikum...

Lama sungguh tidak update cerita di blog ini. Sebabnya saya aktif di facebook dan Instagram. Gadget terkini yang saya gunapakai smartphone jenama Acer model V370, ada kamera hadapan dan belakang, mudah untuk selfie bukan?

Oklah cerita raya 2014. Tahun ini saya pulang Sandakan seminggu sebelum Hari Raya Aidlfitri. Raya ke 4 saya gerak ke Kota Kinabalu. Suami sudah sedia menunggu di sana, dia balik Kota Kinabalu lewat sedikit 27 Julai 2014, sehari sebelum hari raya pertama. Kemudian kami pulang semula ke Sandakan, seterusnya berangkat ke Kuala Lumpur semula.

Tarikh balik saya ke Sandakan 20 Julai 2014 dan pulang semula Semenanjung Malaysia 13 Ogos 2014. Seperti tahun-tahun sudah, rasa sedih dan rindu dengan keluarga di kampung halaman masa nak balik KL itu sukar dielakkan, ianya berlaku secara spontan dan semulajadi. Beberapa minggu ke hadapan perasaan itu akan beransur-ansur pulih seperti biasa. Pun begitu, ingatan terhadap keluarga di kampung sentiasa refresh di ingatan.

Telefon, fb dan whatsapp menjadi pengganti diri berhubung dengan emak, adik beradik dan anak-anak buah yang sentiasa comel itu.

Di KK, anak buah kahwin dan tentunya suasana meriah, dengan makanan lazat, bersanding, riuh rendah keluarga berkumpul dan yang seumpamanyalah, faham-faham sajalah suasana kahwin dan hari raya, apabila bergabung situasi ini ianya lebih meriah daripada biasa.

InsyaAllah tahun hadapan jangkaan semasa Hari Raya puasa,adik saya akan melangsungkan perkahwinannya, mengikut persetujuan mereka bertunang selama setahun. Doakan semoga semuanya berjalan lancar. Sekarang seperti masa terasa berjalan atau berlari? Rasa sekejap sangat bercuti di kampung halaman waktu Hari Raya beberapa minggu sudah. 

Apapun saya bersyukur kepada Allah, dengan izinNya saya dapat balik kampung setiap tahun bermula tahun 2000 sehinggalah sekarang, sekurang-kurangnya setahun sekali, syukur Alhamdulillah. Harapan saya untuk tahun-tahun seterusnya, saya dapat balik kampung lebih kerap daripada biasa atau dapat peluang untuk kami suami isteri bermastautin semula di Sabah, harapan yang sentiasa segar di alam impian kami, tentunya diiringi kehidupan yang aman damai bahagia. (hehehe...)


 


 Gambar ini diambil di Lapangan Terbang Sandakan, Sabah bertarikh 13 Ogos 2014 (Rabu) yang lepas. Selfie dengan my loving mom.

Bila lagi kan mau selfie sama emak sendiri, jangan malu-malu dong, hehehe....

Ok, setakat ini dahulu sesi 'memanaskan tulisan' di blog saya. InsyaAllah akan disambung lagi, banyak cerita ni yang hendak dikongsi, setelah +- lapan bulan tidak menulis di blog. tata...

Love,
Monalizah Rais,
Bt. 3 Jalan Kapar,
Klang, Selangor.

30 Ogos 2014 (Sabtu)
4 Zulkaedah 1435