Sunday, October 9, 2011

HARI DAN BULAN


sembilan.sepuluh. sebelas
09.10.11
tarikh hari ini

akan datang
sebelas.sebelas.sebelas
11.11.11

tahun hadapan yang berurutan nombornya
sepuluh.sebelas.dua belas
10.11.12 
dan
12.12.12

banyak lagi keunikan nombor di dalam kehidupan kita, selain dijadikan waktu untuk merakam peristiwa istimewa terutamanya perkahwinan, rasanya kaki nombor juga tidak terkecuali mengaitkannya dengan nombor ekor...

PENCURI



Awal pagi Sabtu semalam, sekitar jam lima pagi, kereta jiran sebelah rumah saya hampir dilarikan . Jiran yang lagi satu tersedar dan dialah yang menyergah sang pencuri. Tempat parkir keretanya terletak di hadapan rumah, berjarak cuma beberapa langkah sahaja. Dan tidak kelihatan dari jalan utama.

Tapi kalau sudah namanya pencuri, dia pun buat 'homework' juga sebelum mencuri. Bonet kereta terbuka kemas dan pintu di bahagian pemandu juga terbuka luas. Pencuri membawa bateri untuk menghidupkan kereta jiran. Kereta jiran ini sebenarnya 'sakit', lebih banyak tersadai daripada digunakan.

Bayangkan kalau kereta elok...

Kawasan kejiranan saya ni memang cepat sunyi menjelang malam. Mungkin pencuri menyangka suasana ini peluang terbaik melakukan kegiatannya itu. Tetapi dia silap seperkara, penghuni di kawasan ini bangunnya awal. Seawal 4 pagi sudah terdengar suara air di bilik air.

Tidak terkecuali kaki internet - saya dan suami serta jiran yang menyergah pencuri itu, juga termasuk kategori lambat tidur. Mata masih terang walau embun sudah mula menitis.

Lagi satu faktor tarikan...rasanya berkaitan dengan aktiviti seharian jiran-jiran yang berniaga makanan dan hasilnya dapat dilihat melalui kecil besar rumah mereka yang layak dipanggil kediaman selesa. Sejak hari pertama saya dan suami menyewa di kawasan ini, jiran memang selalu mengingatkan tentang pencuri.

Setelah saya fikir-fikir...menjelang sesuatu perayaan memang akan terdengar cerita berkaitan pencuri. Desakan hidup @ suka-suka @pun entahlah. Pencuri saja yang tahu kenapa dia berbuat demikian.

Semangat kejiranan masih menebal di kawasan ini, mengingatkan saya kampung halaman mak bapa kita kan.

Oh ya, gambar di atas tu sekadar hiasan...



Thursday, October 6, 2011

LUAHAN RASA

Kalau diikutkan hati yang kadang-kadang nakal itu, (ya kah?) apa saja yang dirasa akan diluahkan di blog ini. Tetapi kita tidak boleh buat sesuka hati kan?. Hampir setiap hari saya akan menulis meluahkan apa yang terbuku di hati. Bermacam cerita, tetapi luahan rasa yang sejujurnya saya akan tulis di tempat lain.

Maknanya apa yang ditulis di blog ini hanya cerita yang tidak akan menyinggung perasaan sesiapa sahaja yang membacanya. Mungkin ianya bukan jaminan 100% tidak bersangkut paut dengan orang lain, tetapi seboleh mungkin saya cuba dan cuba untuk mengelakkan hal yang seperti itu.

Manusia, memang tidak terlepas dari kekurangan dan kelemahan. Walaupun begitu, kelebihan yang diberikan perlu dimanfaatkan untuk menampung kekurangan yang ada. Jaringan sosial terutamanya laman muka buku memungkinkan kita untuk meluahkan rasa dengan cara yang tercepat, di hujung jari dan ianya pantas tersebar di ruang maya tanpa sempadan.

Alam maya yang  nampak ghaib tetapi silap percaturan bahananya lebih besar berbanding realiti kita berhadapan dan bersua muka. Kebaikan dan keburukan laman sosial bagaikan bergerak seiring, hanya perlu memilih laluan mana yang disenangi. Pemikiran sesuatu yang sangat kompleks. Setiap orang memiliki corak berfikir yang tersendiri.

Tahap pendidikan dan pengalaman hidup akan membentuk corak berfikir tersebut. Melihat laman muka buku rakan-rakan kita...bermacam cerita dan aneka rasa bukan?. Pelajaran ada di mana-mana bagi mereka yang tahu menggunakan pandangan, sama ada pandangan mata kasar mahupun pandangan mata hati.

Mudah-mudahan kita sentiasa berada di jalan yang lurus yang diberkatiNya, terlepas dari segala bentuk apa jua kejahatan di muka bumi ini meliputi kejahatan yang nyata ataupun yang tersembunyi...

Wednesday, September 28, 2011

SELIPAR



RM 10 saja harga selipar ni. Dibeli di kedai di kawasan Sinsuran, KK. Berjalan-jalan sambil bersantai, selalunya saya akan pakai selipar, senang untuk cuci kaki. Lagi pula kalau berjalan dengan keluarga. Sudah namanya bersiar-siar, paling pun tepi pantai dan bergambar sakan.

Biasa-biasa saja...tapi ok lah


Monday, September 26, 2011

MATA OH MATA


Mulanya saya tidak peduli. Biasalah tu kan, sudah tentu banyak pelancong dan pengunjung berlegar di kawasan Waterfront, Kota Kinabalu. Siapa orang KK mesti tau punya ini tempat. Saya dan suami sibuk mengambil gambar di kawasan tersebut. Satu yang saya perasan, warga KK ini jika dibandingkan dengan orang Sandakan - cara percakapan mereka agak lembut dan sopan.

Opps! macam lari dari tajuk pula. Begini ceritanya, kadang-kadang tu macam menunggu giliran juga mau bergambar kan. Jadi di bulatan yang ada arca ikan parang tu, maksud saya dari kedudukan arca ikan comel tu (sudut yang terbaik untuk bergambar berlatarbelakangkan ikan parang) ada tiga gadis sedang bergambar.

Setelah mereka beredar dari situ, saya dan suami pun ambil posisi untuk berposing. Tidak jauh dari jarak kami tu, sekumpulan anak muda sedang bersiap sedia untuk menggantikan tempat kami untuk acara bergambar jugalah.

Salah seorang gadis yang tiga orang tadi tu...dia asyik pandang curi saya dari jauh. Walaupun saya dan suami sudah siap berposing di ikan comel tu, matanya tidak lepas memandang saya. Saya pasti dia melihat saya kerana suami sudah jauh di hadapan berjalan di tepi tembok tetapi saya masih berlegar di kawasan berdekatan, sibuk mengambil gambar laut, awan dan deretan bangunan.

Mungkin perasaanmu saja bah tu. Bisik hati saya. Saya terus berjalan dan bagaikan ada sesuatu yang memanggil, spontan saya menoleh ke belakang dan dia masih memandang saya. Pandang curi ya. Cara dia memandang seolah-olah seperti mengenali saya, teringin juga hendak menegur tetapi puas saya memikirkan...muka gadis ini tidak pernah saya jumpa sebelum ini.

Tapi saya pernah melihat muka yang seirasnya di laman muka buku. Kalau kita taip nama orangkan, selalunya akan terpapar muka buku nama orang lain jugakan. Aneh dan lucu jugalah, sudahnya saya buat macam tiada apa-apa dan ingatan itu hilang begitu sahaja sebaik saya dan suami pulang ke rumah kakak ipar.

Beberapa hari kemudian ketika dalam perjalanan pulang semula ke Sandakan, ingatan saya terimbas semula peristiwa tersebut. Secara tidak langsung ingatan saya membawa kepada banyak peristiwa lain yang seakan-akan saling berkait dan berlaku secara kebetulan.


RUMAH IDAMAN


Secara kebetulan saya ada gambar ni, jadi diletakkan di blog ini untuk cerita tentang rumah idaman. Sekadar gambar hiasan saja tu (tapi orang dalam gambar tu...aku ler...). Gambar ini diambil pada tarikh 20 September 2011 - dua hari sebelum saya dan suami pulang semula ke Klang, Selangor. Lokasi di rumah Agnes Keith, Sandakan, Sabah.

Sewaktu berkunjung ke rumah kakak ipar, seperti biasa topik balik Sabah antara tajuk utama yang dibualkan. Isu yang sama juga seringkali disebut oleh keluarga dari pihak saya. Kakak ipar mencadangkan supaya saya dan suami tinggal di rumahnya, menetap dan bekerja di Sabah.

Rumah yang dimaksudkan - rumah milik kakak ipar yang didaftar atas namanya. Sederhana besar, tiga bilik tidur, satu tandas dan satu bilik air. Kalau dapat tukar nama ok, tetapi kalau sebaliknya...tak payah duduk rumah tu. Saya cakap macam tu dengan suami.

Rumah, tanah dan kereta - pendapat sayalah kan...untuk menyenangkan di kemudian hari, kalau hendak menetap yang memang itulah tempat yang dipilih untuk sepanjang kehidupan sehingga ke usia senja (INSYAALLAH) biarlah hak milik atas nama kita kan.

Bapa tengah sakit kuat dan cuma bayar beberapa ratus sahaja, kunci rumah dapat diambil dan bila-bila masa sahaja berpindah ke rumah tersebut. Betul-betul punya godaan ni! Tetapi saya yakinkan diri sendiri dan suami, yang penting kita berdua terus berusaha untuk balik semula ke Sabah. Ada juga tu rezeki, asalkan tidak berputus harap dan berdoa. Maksud saya macam tu "Sirih Pulang ke Gagang" bah.

Setakat balik setiap tahun semasa perayaan, itu lain ceritalah.

Merantau jauh manapun, kita akan ada perasaan, suara hati kita di sudut yang paling dalam...'suatu hari nanti aku akan pulang dan menetap semula di negeri/negara kelahiranku'.

Tuntutan tugas dan kekangan tertentu seringkali membuatkan hasrat itu terbantut. Cerita kehidupan kita berbeza warna antara satu dengan yang lain kan. Itulah kehidupan. Sewaktu zaman remaja, saya sering membayangkan rumah idaman saya - melihat gunung Kinabalu sebaik sahaja saya membuka tingkap rumah, merasai udara sejuk, nyaman dan menyegarkan dari daerah pergunungan. Melihat aliran sungai jernih bersih bebas dari pencemaran. Mendengar kicauan burung dan cengkerik, mendengar suara alam - hujan turun, aliran air...dan..............kalau disenaraikan terlalu banyak kan?.

Kalau saya boleh memilih, daerah Kundasang @ Ranau menjadi pilihan. Impian...memang indah terukir cantik di alam fikir.

Oh ya, rumah itu tidak dapat pindah hak milik. Jadi kami tolak secara baik tawaran kakak ipar itu. Tentang cerita impian tu pula, bermimpi boleh tetapi jangan sampai lupa yang nyata - ingatan untuk diri sendiri.

Thursday, September 15, 2011

CUTI

Cuti sekejap menulis di blog ini. Sebabnya? Lebih sibuk daripada biasa, tidak dapat diceritakan semuanya. INSYAALLAH selepas semuanya reda akan dimasukkan juga cerita di blog ini.