Tuesday, March 15, 2016

BELUM JUMPA TAJUK



Assalamualaikum...



 Mood cuaca panas sekarang, siang malam panas. Rasa macam duduk dalam oven, nasib baik kita tak jadi biskut yer? Hahaaa… tak pun jadi chapati. Mujur hujan ada sesekali menyelit, sekarang mendung kat luar rumah, sambil berharap tolonglah hujan turun lagi, kasi balance ini cuaca panas. Dengar perkataan El Nino - spontan teringat bunyi ambulans - nino nino nino (eh, macam tu ke bunyinya?).  Tak pun finding nemo, haha... Saya berharap sangat untuk diri sendiri – tolonglah jangan demam aduh! Cukuplah kejadian demam bulan sudah sehingga masuk wad hospital beberapa hari


Oklah jom story morry…

**********************************

 *Sisi pandang berbeza* 



Lokasi – 7 Eleven. Ada beberapa dokumen lama yang perlu difotostat. Nasib baik tersimpan dalam plastik tebal, walaupun berlipat dan ada sesetengah tulisan yang sukar dibaca. Saya suruh adik cashier tu buatlah apa pun, tolong fotostat… janji tulisannya dapat dibaca. Ok, adik tu pun adjust sana sini, fotostat dan hasilnya Alhamdulillah dapat dibaca dengan jelas. Then, kami meneliti dokumen yang dah difotostat itu… tiba-tiba ada seorang pelanggan spontan menegur adik cashier – “Dik! Tak baik tau baca dokumen orang lain, fotostat aje lah.” Kemudian kakak tu beredar keluar. Saya dan adik cashier  hanya berpandangan, speechless. Niat kakak tu baik dan apa yang dicakapnya betul, cuma dia tak tahu ‘cerita penuh’, dia hanya nampak part yang adik tu tengah baca dokumen.



Tahun-tahun awal perkahwinan saya, sering terjadi salah faham antara kami suami isteri, walaupun sama-sama Sabahan, dari sisi budaya tetap beza. Bangsa berbeza, latar belakang keluarga berbeza. Ada sekali tu, malas punya pasal nak gerak ke pasaraya beli lauk (dekat sajapun pasarayanya hahaaa…pun pemalas tahap gaban), makan siang ke malamnya saya hanya masak telur dadar, ikan masin dan sedikit sayur. Sebab saya dah lunch agak lewat, malamnya saya hanya temankan husband makan. Sudah tentu suami tanya kenapa saya tak makan sekali. Saya jawab, dah kenyang makan telur siang tadi, tak nak makanlah. Riak wajah suami saya berubah dan dia terus berhenti makan. Saya terkejut, tanya kenapa. Katanya dia hendak ke pasaraya beli lauk, sebab hanya lauk telur saja isterinya ini tak ada selera nak makan, aduh! Sentap beb! Cepat-cepat saya explain kat dia, hihihi…



Di waktu yang lain… kebetulan kami sedang ‘window shopping’ di sebuah pasaraya, ada jualan murah beg berjenama. Saya sengaja mengusik suami – “Bang, sayang nak belilah beg yang tu,” suami diam-diam saja tanpa sebarang respon. Esoknya, balik dari kerja suami menyuruh saya bersiap-siap membawa saya ke pasaraya tersebut. Sambil menghulur beberapa ratus RM. Katanya jom kita beli beg. Kita bergurau rupa-rupanya tidak pada dia, kata suami dia rasa sedih kalau saya tak jadi beli beg itu… huhuhu…. sekali lagi saya speechless. Sampai sekarang, saya tak berani bergurau bab-bab beli barang ni, sebabnya saya fikir begini, rupa-rupanya dia fikir begitu.



Kami masuk kedai D.I.Y. Husband beli barang-barang kegemarannya, barang-barang hardware, segala macam jenis skru, test pen, skru driver dan yang sewaktu dengannya. Saya beli ‘scrapper’. Teringin nak masak burger kat rumah, tu pasal beli ‘scrapper’ tu. Kan… kalau korang perasan abang kakak jual burger kat luar 7-E tu ada pakai alat ni masa masak burger. Rupa-rupanya sangkaan my husband saya beli ‘scrapper’ tu untuk dia, hahaha… katanya benda ni bagi rata simen, kikis kotoran degil, kihkihkih…waduh-waduh…



Zaman kanak-kanak saya, saya sering hairan kenapa orang dewasa mesti pakai bra dan seluar dalam. Yalah, kita nampak benda-benda tu, mak saudara kita, emak kita kadang-kadang pakai baju depan kita yang budak kecik ni. Sambil saya hairan dan tertanya-tanya… kenapa saya lain, dia lain? Sekarang di usia 30 series ini, anak-anak buah, cucu-cucu emak lebih ‘advance’ berbanding zaman saya, siap tanya lagi, kenapa pakai macam tu, kenapa dia tak boleh pakai bra. Dan saya pun mengulang jawapan yang saya dengar ketika zaman kecik-kecik dulu – “budak-budak tak boleh pakai ni, kena tunggu besar dulu”, berbalas “ooo…” nasib baik anak buah cuma cakap gitu, kalau tanya lagi entahlah nak jawab macam mana, kan…Jangan lupa soalan favourite  budak-budak, adik keluar dari mana? Tiba-tiba dapat adik baru dan kita nampak yang anak sulung tu asyik meragam jealous marah-marah bimbang terkurang kasih sayang mak bapak terhadap dia.



Dalam proses ‘upgrade’ kesihatan diri setelah discaj wad bulan sudah, rupa-rupanya ada satu ‘dunia’ yang selama ini saya nampak tapi ‘tak nampak’. Ada depan mata tapi tak perasan pun. Ibaratnya seperti ini - kau bayangkan kita duduk-duduk di tepi jalan melihat lalu lintas kenderaan di hadapan kita, kita tahu itu kereta, lori, motosikal, cuma kita tidak alert sangat, kereta/lori/motosikal jenis apa, laju ke tidak dan sebagainya. Lainlah kalau kita JPJ atau polis, sisi pandang itu berbeza. Saya ‘merayau’ banyak tempat di laman sosial, google bermacam isu kesihatan dan sudah tentu jumpa macam-macam. Saya follow beberapa page doktor, bidan, yang baik hati berkongsi pengalaman kerjaya mereka, yang seronoknya bab santai dan motivasi yang sesekali mereka selitkan di status-status laman sosial mereka. Cara bercerita, memberi motivasi dari sisi pandang seorang ahli kesihatan – ada stailnya yang tersendiri. Ini satu dapatan yang sangat menarik. 


Ok, jom kita pandang KLCC. Nampak apa? Dan fikir apa? Apa yang berlegar-legar di ruang fikir kita? Sudah tentu berbeza pandangan, lihat saja stail kita bergambar berlatarbelakangkan KLCC tu, yang si tukang gambar ada yang sampai terbaring terlentang semata-mata mendapatkan sisi terbaik gambar.
Kalau tengok Eiffel Tower kau nampak apa pula? Besi? Atau huruf A dalam skala gergasi?

Nampak signboard Giant ingat apa? Giant dalam siri animasi Doraemon atau teringat berat badan yang tak turun-turun walaupun dah bajet diet atau? Kau sambunglah fikir yer sampai berkerut dahi tu (gurau beb).
 

********************

*Fokus* 




Kita ‘pergi’ ke masa lalu sekejap. Ada satu subjek sewaktu zaman belajar di UM - Improvisasi gerak lakon. Terus kepada poin – fokus. Pensyarah menyuruh kami membuat bulatan. Kemudian seorang pelajar berada di tengah-tengah bulatan. Pelajar ini diberi kertas. Kerjanya mudah, hanya fokus kepada kertas, koyakkan kertas sebanyak mungkin, koyak dan terus koyak. Apa pun terjadi di sekeliling, terus fokus koyak kertas. Nampak mudah tapi tak mudah sebenarnya. Dalam proses mengoyak kertas tu, satu demi satu rakan-rakan masuk ke dalam bulatan ‘mengganggu’ tumpuan rakan ini, ada yang menarik baju, menjerit, memarahi, merampas kertas etc. hah! Macam mana nak fokus tu?


Exam kami untuk semester itu dalam bentuk praktikal – berlakon tanpa suara, kita improvisasi gerak lakon – plasticity diri, mimik muka. Saya masih ingat lagi, saya membawa watak ibu tiri yang jahat membuli, memukul anak tiri saya, kesian my friend jatuh bangun kena balun, hahaha…my lecturer cakap muka saya garang sangat masa tu. Kami buat performance di pentas Kolej Kediaman Kedua, Universiti Malaya. Sementara tunggu giliran, gegar dan debar di hati tak sudah-sudah. Berdentum-dentum! Alahai  manisnya kenangan…

Dalam kehidupan seharian… korang fikirlah sendiri, hihihi…maksud saya yang bab fokus tu.

**********************

*mind blowing*



Sebelum itu, jangan kecam saya tau. Kita saja-saja tulis di blog, asah pemikiran, melayan perasaan. Maklumlah, berjiwa penulis konon, dalam bahasa laman sosial – keyboard warrior. Berbeza pendapat itu lumrah, tak setuju atau setuju, hak milik masing-masing. Tak ada siapa larang kita setuju atau tidak. Daerah fikir kita… kita yang menentukan nak fikir macam mana.   Antara tanda-tanda akhir zaman – akan terjadi banyak aktiviti penulisan, ini fenomena yang sedang dan terus terjadi pada zaman kita ini.


Pernah beli tak minuman yang tertulis ‘less sugar’ atau ‘no sugar’? Tapi bila dah minum… rasa manis itu kuat/ada? Boleh percaya tak? Saya secara peribadi… elemen-elemen umpan/pancing yang berbunyi ‘less sugar’, ‘asli’, ‘makanan sunnah’, ‘free cholesterol’, ‘no trans fat’, ‘tanpa bahan pengawet’, ‘fresh’  etc – skala meter percaya itu biarlah paras 50-50 atau di bawah paras beku (amboi, kau ingat ini kutub utara kutub selatan?). Tu strategi pemasaran tu…biasalah beb, zaman sekarang gitulah adatnya berniaga.


Ada seorang hamba Allah, sebab dia nak cuti tapi tak boleh cuti, so benda mudah dapatkan MC dari klinik swasta. Dah dapat MC tu, sampai rumah dia membebel tak sudah, duit habis ratus ringgit untuk ‘sakit perut’ dan ‘cirit birit’. Tak berbaloi-baloi, rugi sungguh katanya. Dah kau yang nak MC sangat, padanlah muka kena cas banyak. Kata hamba Allah ni, doktor itu menipu. Hujahnya, dia cuma cakap sikit jer tapi doktor tu dah cakap macam-macam – teruk sangat sakit kamu ni, saya beri ubat yang ‘power’ supaya cepat baik. Saya gelak kuat-kuat mendengar ceritanya – “padan muka kau”, saya syak doktor tu tengah ‘sindir’ dia ni, ‘sindir’ secara halus, effect dekat cas rawatanlah tapi, mustahil doktor tu tak tahu dia ni pura-pura sakit.


Dalam banyak-banyak kawan yang kita ada, mesti ada yang join perniagaan MLM (multilevelmarketing). Korang pun tahu, cara dia berhujah nak tarik kita join MLM – kita MESTI akan rasa macam ini – APA YANG KITA NAMPAK DAN DENGAR BERTENTANGAN DENGAN RASA HATI KITA. Ada rasa keliru, blur kat situ. Tenang beb! Bab brainwash memang gitu. Pandai-pandai koranglah nak tolak ajakan dorang.  Pinjam sekejap ayat ni - 'we try to hide our feeling, but we forget that our eyes speak'. Tengok Maharaja Lawak Mega lagi selamat, lebih santai berbanding memikir MLM yang lagi satu ni.

********************

*telepati*dejavu*




Melalui carian di rumah pakcik Google, telepati membawa maksud ‘perhubungan melalui fikiran daripada seseorang dengan seorang yang lain tanpa melalui deria yang biasa’. Melibatkan gelombang fikiran. Merasakan sesuatu dari jarak jauh. Communication between minds other than by the known senses. Ianya cara komunikasi yang mudah dan termurah, semulajadi, boleh digunakan untuk tujuan kebaikan atau keburukan.


Dejavu membawa maksud seseorang dapat meneka sesuatu kejadian yang bakal berlaku pada masa hadapan. Seakan-akan ada lintasan di fikiran, sesuatu bakal terjadi. Dikaitkan dengan deria keenam, instint, gerak hati.


Allah lebih mengetahui.


Saya tengah goreng ikan, ingatan terhadap suami tiba-tiba lebih kuat daripada biasa. Masa tu lepas Maghrib dah. Then, telefon saya bunyi, suami call, katanya sekejap lagi dia balik. Ok. sambung balik goreng ikan, siap dan sekejap lagi nak hidang siap-siap, dalam masa yang sama saya asyik terbayang sate dan kuah kacang, berlegar-legar menari tak sudah di daerah fikir saya. Beberapa minit kemudian, suami sampai rumah, buka pintu dan… cuba teka? Suami beli sate dan kuah kacang dah. Saya cakap kat suami ‘mesej fikiran’ dia dah sampai dulu sebelum dia sampai rumah.


Adik saya sakit gigi. Sampai ke tahap menangis, demam marah-marah stress tiada selera makan minum. Tiba-tiba emak call saya, tanya adik sihat ke tidak, emak rasa tak sedap hati katanya. Asyik teringat kat adik saya tu. Agaknya adik saya tengah ingat emak di kampung time sakit gigi dia tu datang.


Next, setahun lebih arwah bapa saya melayan + melawan penyakit kanser paru-paru. Keluar masuk hospital, berubat sana sini + ubat hospital, dengan tahap kanser paru-paru stage 4… akhirnya arwah bapa ‘kembali’ ke ‘sana’. Ni nak cerita, saya ulang alik KL – Sabah masa tu, ikut bergilir menjaga arwah bapa, 3 bulan saya duduk Sabah masa dia mula-mula dikesan menghidap penyakit tersebut (terima kasih suamiku kerana sangat-sangat-sangat-sangat… memahami perasaan isterimu, love you ketat-ketat darling).


Sewaktu berjauhan – saya di KL dan arwah bapa di Sabah… setiap kali sakitnya datang lebih kuat daripada biasa (waktu malam selalunya) saya seolah-olah dapat merasakan kesakitan bapa saya itu, maksudnya saya seperti tahu dia sedang kesakitan yang amat. Esok pagi, saya call emak bertanya keadaan arwah bapa malam yang saya merasakan kesakitannya itu … dan betul. Situasi ini sering berulang-ulang, jauh hanya pada sisi geografi, namun dari sisi ikatan emosi… itu sangat dekat.


Ada satu ketika adik saya kena ‘serang hendap’ guna kayu hoki di asramanya. Waktu malam, dikurung dalam bilik gelap, dipukul beramai-ramai oleh entah berapa orang pelajar terlibat – motif dendam. Seawal pagi lebih kurang jam 5 am saya dapat panggilan tentang kejadian ini. Sebelum itu, pada malam adik saya dipukul beramai-ramai itu, rupa-rupanya semua ahli keluarga saya – orang tua dan adik-beradik tiba-tiba rasa tak sedap hati, gelisah, susah nak tidur.


Emak pernah bercerita,  tengkuknya berasa semacam panas/ kebas atau dia seperti ‘diusik’ sesuatu dan kebetulan di kampung ada yang sedang sakit kuat, emak hanya duduk-duduk di rumah sahaja, tak pergi mana-mana sepanjang minggu tersebut. Selalunya kata emak itu tanda-tanda ada orang ‘nak pergi’. Emak sering terlibat memandikan jenazah di kampung kami dan kampung-kampung berdekatan.


Sedang kita sibuk buat kerja, spontan teringat seseorang dan beberapa saat/minit kemudian telefon kita berdering. Kau mesti pernah mengalaminya, tak gitu?. Oleh kerana kapal terbang dicipta berdasarkan pemerhatian/pengamatan daripada burung yang terbang… sudah tentu laman sosial facebook, tweeter, instagram dan yang segaris dengannya…dicipta berdasarkan konsep… kau sambunglah ayat-ayat seterusnya.


Semua orang mengalaminya – beza tahu tak tahu atau mungkin ‘frekuensi radio’ kita sehala atau tidak. 



love,
monalizahrais
Bt3 Jalan Kapar,
Klang, Selangor
15 Mac 2016 - Selasa 








Wednesday, February 24, 2016

DUDUK WAD 4 HARI 3 MALAM DI HTAR, KLANG - 7/2/2016 -10/2/2016



Assalamualaikum…



Hari ini cerah, panas kat luar. Namun begitu dalam hati tetap redup, nyaman, santai, tenang, angin ‘perasaan’ bertiup sepoi-sepoi bahasa, lalalala… Saya nak berkongsi pengalaman duduk wad di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Sebelum menulis cerita ini, saya ambik masa ‘jalan-jalan’ di ‘bandar’ Mr. Google – seterusnya menelusuri  ‘lorong-lorong kecil’, membaca bermacam cerita orang lain yang pernah mendapatkan rawatan di hospital ini.


 Mungkin cerita ini hanyalah cerita biasa, tetapi dari sudut pandang orang lain kita tak tahu mungkin ianya satu dapatan yang sangat-sangat berguna kepada mereka. Info yang dicari-cari, kalaupun tidak 100% berguna, barangkali sedikit maklumat sangat membantu, siapa tahu, bukan?


Awal Januari 2016, saya mula rasa tak sedap badan, entahlah, saya rasa macam ada yang tak kena.’Isyarat’ sakit semakin kuat. Saya abaikan saja, buat-buat tak tahu, tapi tetap rasa tak sedap badan. Ini lain macam beb!.


Ok, batuk demam dan selsema. Pergi klinik XYZ (klinik kerajaan) dapatkan rawatan, makan ubat, ada perubahan, demam dan selsema dah ok cuma tekak rasa gatal, bila rasa gatal tu naik, mulalah saya batuk. Ubat dah habis, datang semula ke klinik XYZ, jumpa PPP dapat ubat yang sama. Done. Balik rumah makan ubat, buat rutin harian dan Alhamdulillah, baik.

Menghampiri hujung Januari 2016, saya lewat datang bulan seminggu. Awal Februari 2016, tanda-tanda datang bulan itu dah ada, ada keluar darah cuma sedikit, sakit ‘period pain’ lebih sakit daripada biasa, memasuki hari ketiga yang sepatutnya mood ‘heavy flow’ tapi tidak, huhuhu… sakit pinggang rasa macam nak patah pun ada, terguling-guling saya menahan sakitnya, ya Allah…



Akhirnya mengagahkan diri pergi lagi ke klinik XYZ. Aduh malunya nak sebut perkataan senggugut tu dekat PPP lelaki. Nak sihat punya pasal, sebut jer lah. Ok, dapat ubat, balik rumah, makan ubat, ‘period pain’ itu dah surut rasa sakit dan dapat buat kerja.

Tiba-tiba demam datang balik, demam yang menggigil-gigil, ketar satu badan, badan rasa sejuk tapi suami pegang badan rasa panas, sakit kepala rasa berat sangat, kalau berjalan tu ada rasa nak jatuh pun ya. Dan muntah. Datang lagi ke klinik XYZ. Aduh kali keempat menghadap muka PPP. Sampai rumah saya dah termenung panjang dah, berfikir kenapalah saya asyik sakit, fikir itu ini dan macam-macam lagi benda melompat-lompat dalam ruang fikir saya itu.



Masuk hari ketiga, Ahad 7/2/2016, demam masih on off, dan menggigil (pertama kali saya demam menggigil seumur hidup ini).  Suami dah runsing dah, kemudian kami bincang-bincang sekejap, itu ini begitu begini, pergi sekali lagi ke klinik XYZ minta surat dari PPP untuk cek darah. Yang sakitnya saya, tapi gelabahnya suami. Berlaku sedikit salah faham di kaunter sampaikan staf kat situ meninggikan suaranya kepada kami, suara dia kuat beb! Satu klinik boleh dengar.


Terus kepada poin – saya cakap nak minta surat from PPP nak cek darah. Ok, saya tunggu sekejap, masuk dalam then dapat surat, saya dan suami terus ke jabatan kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

******


@flashback@


Tahun sudah suami saya pun demam on off, menggigil. Pengalaman ini seolah berulang semula, cuma kali ini yang sakitnya saya. Cerita ini ada saya rekod dalam entri bertarikh 29 Mac 2015 – bertajuk Jangkitan kuman dan sup ketam.

Masa tu suami pergi klinik swasta, doktor syorkan kami ke klinik kerajaan cek darah. Ok, suami ke Klinik Kesihatan Aneka dekat Jalan Tengku Kelana tu, cek darah, kemudian suami diberi surat terus ke Hospital Htar, Klang.

*******



@ZON KUNING@  07/02/2016 - Ahad

Di Htar Klang, saya bagi surat, PPP cek nadi, dia isi borang kaler kuning sekali kelip dengan surat yang saya bawa dari klinik XYZ,  kemudian saya di suruh pergi ke kaunter 4. Tunggu sekejap, dipanggil nama, diberi semacam ‘nametag’ kertas lekat kat baju, pergi ke ZON KUNING.


Sampai sahaja di ZON KUNING itu, tiba-tiba saya rasa sihat, nak pecut balik rumah masa tu juga, hahaaa… spontan saya teringat kata-kata Faizal Tahir – “Saya banyak masalah. Tetapi setelah melihat kesusahan rakyat Palestin, saya rasa selama ini saya tidak ada masalah”. Tu baru zon kuning, saya dah rasa seperti ini – ‘aku nak balik rumah, aku tak sakit’. Sebelum itu di klinik XYZ, PPP cek tekanan darah saya – naik sedikit katanya dan badan saya masih demam, panas.


Pesakit yang ada kat situ, semuanya duduk di kerusi roda, nampak sangat kesakitan tu di raut wajah mereka. Ada yang sesak nafas, terpijak paku, batuk-batuk, muntah, apendiks… Aduh, saya pula yang segan, rasa macam salah tempat, ada tempat duduk menunggu khas untuk pesakit, tapi saya nak duduk pun rasa segan.


Sampai giliran saya, PPP  cek tekanan darah saya, suruh tunggu sekejap. Kemudian, dia bawa ke satu tempat, entahlah beb aku tak tahu nak sebut bilik apa, semacam tempat ‘saringan’ pesakit/ ruang menunggu/transit sebelum masuk wad. +- gitulah.

Dalam hati –  ‘dram’ dah gendang kuat dah, saat-saat nak ambik darah. Cari urat tak jumpa, darah tak keluar + saya ni jenis takut/seriau tengok jarum, benda-benda halus yang segaris dengannya, malah tengok glove pun saya rasa kurang selesa. Entah apa jenis penakut saya ni, alahai…



Tangan kanan tak dapat, belah kiri dapat ambik darah. Lega sekejap, ‘bunyi dram’ dalam dada tu dah slow dah. Kemudian, saya disuruh baring di katil, ok katil ditolak dan saya ditempatkan di sudut paling tepi. Masuk ‘air ubat’ kat tangan, disuruh berehat. Nurse bagi makan panadol 2 biji, suruh rehat.



Rehatlah sangat… sekejap duduk sekejap baring, kerja saya tengok gelagat doktor, nurse dan pesakit kat situ, dahlah duduk paling tepi, dan… dalam masa yang sama saya juga diperhati, hehehe…(saya tengok dari katil, tidaklah sampai jalan-jalan ke sana sini menyibuk, setakat ulang alik katil – tandas).



Sambil-sambil duduk baring tu, result darah pun dapat – sel darah merah ok, tapi sel darah putih agak tinggi. Untuk ujian air kencing – ok. Next, saya disuruh pergi X-ray. Petang itu menghampiri Maghrib, saya dapat tempat di wad, tingkat 7. Saya dapat katil dekat beranda. Boleh nampak GM Klang, Aeon Bukit Tinggi, Tesco, Taman Andalas, Pusat Bersalin Razif di kejauhan.

********


@telefon, smartphone@


Ada seorang wanita, ibu kepada seorang pesakit, ketika kami sedang diambil darah, wanita ini mengeluarkan telefon dari dalam beg seakan ingin merakam situasi di situ. Syukurlah doktor  menegur perlakuan wanita itu, tiba-tiba dalam fikiran saya – viral pula muka aku ni kat laman sosial nanti.


Ingatan untuk diri saya sendiri dan kita semua, kita datang ke hospital/klinik membawa aib – rupa kita dalam keadaan sakit bukannya cantik sangat, agak-agaklah kalau nak rakam/gambar pun, tengok tempat.  Di restoran kita nak gambar makanan sedap-sedap yang mahal harganya tu, kemudian letak dalam fb, ig, blog, rasanya tak salah, tuan punya restoran lagi suka sebab kita dah tolong promosi percuma.

***********


@masuk wad@

 07 Februari 2016 – Ahad.



Ada orientasi! Datang nurse beritahu tandas belah mana, pintu keluar/kecemasan belah mana, barang kemas rantai, cincin seeloknya simpan kat rumah, pihak hospital tidak akan bertanggungjawab kalau hilang benda-benda alah tu. Saya kena tandatangan semacam ‘akujanji’ usai orientasi tu. Satu jer yang paling melekat dalam kotak fikir saya – saya bersetuju apa-apa tindakan yang patut diambil sekiranya saya pengsan/tidak sedarkan diri ketika mendapatkan rawatan di situ -  antara poin yang ada kat kertas tu.



Bermula Maghrib menghampiri Isyak, saya demam menggigil lagi. Badan rasa macam kena goncang. Tapi tak lama, +- 10 minit kemudian, part menggigil tu hilang, hanya demam saja. Demam saya tu berpanjangan sehingga ke pagi esoknya 08 Februari 2016.



Malam itu malam raya – Chinese New Year, menjelang tengah malam sehingga beberapa jam seterusnya, meriah bunga api, berdentum sana sini. Kena pula saya duduk katil paling dekat dengan beranda, haaa… penuh pesakit-pesakit berkumpul di hujung katil saya menengok bunga api. Saya dah tak peduli bab bunga api atau riuh rendah di hujung katil saya tu. Saya baring, ulang alik tandas – katil pergi kencing, basahkan kepala, lap badan, minum banyak air untuk redakan demam. 5 kali darah saya diambik sepanjang duduk wad sini.  Dan saya yang penakut jarum ini pun buat-buat tak nampak waktu doktor tu ambik darah.

**********************************


@Layang-layang fikir@ & @cermin diri@



Kita duduk, baring, makan, minum atas katil melayan + melawan sakit, dan jangan lupa zikir, doa. Kebetulan saya tengah datang bulan masa tu. Ada seorang makcik ni dia solat atas katil. ‘Layang-layang fikir’ saya mula terbang dibuai angin emosi, ada masanya terbang perlahan-lahan ada ketikanya melayang kuat ditiup ribut perasaan.


Ingat emak, kampung halaman – sayu, sedih, menangis pula tu bercakap dengan emak di telefon, hahaaa… cengeng tak saya?


Setiap sesuatu ada pertama kalinya. Saat kau jatuh cinta pandang pertama, hari pertama persekolahan, melahirkan anak sulung, malam pertama pengantin (what? ops!) dan yang sewaktu dengannya. 15 tahun saya duduk di Semenanjung Malaysia, inilah kali pertama saya sakit dan masuk wad hospital. Sebelum ini saya ke hospital melawat/menjaga orang sakit saja. Setakat sakit demam batuk selsema makan ubat dan sihat, saya hanya ke klinik swasta sebagai pesakit luar – sebelum ini.


Tiba-tiba saya menjadi ‘observant’. Dah tak ada kerja lain nak dibuat apalagi jadi tukang perhati oranglah jawabnya. Dalam masa yang sama ‘layang-layang fikir’ saya terus terbang tinggi rendah. Yang ada cuma doktor India dan Melayu – doktor Cina saya tak nampak, mungkin giliran mereka bercuti/berhari raya, saya masuk wad malam Chinese New Year 7/2/2016 – 10/2/2016.



Malu – saya duduk di katil memerhati katil-katil lain, majoriti level makcik-makcik India, Cina dan Melayu pangkat nenek bercucu, hanya 3 orang pesakit di luar ‘radar’ umur makcik-makcik tu, saya, jiran depan katil dan seorang remaja Cina. Tambah malu lagi, makcik-makcik di tepi katil saya tu bebas kencing manis. Sewaktu nurse periksa gula saya – ada kencing manis! Aduh, level 7 – 11, turun naik. Nasib baik tekanan darah dah normal.



Makan minum – pesakit tidak dibenarkan ambil sendiri makanan. Kita tunggu jer staf tu hantar makan minum kat katil.


 Nurse – pun manusia seperti kita juga. Sambil mereka gerak ke sana sini, ada yang selsema, period pain, paling menyentuh hati yang mengandung bawa perut ke sana sini. Kebanyakannya pakai mask, ada yang dah nak habis syif rasanya, diaorang buka mask dan nampak wajah letih, letih sangat, lebam bawah mata. Mungkin mereka sedang melalui fasa mencabar – seorang ibu dan isteri yang bekerja, mungkin ada anak kecik di rumah.  Yang nampak segar bugar tu nampak sangat anak dara lagi. Aktif dia lain macam, energetic ke sana sini.


Doktor perempuan dan sling bag - saya tak tahu mana satu pelatih dan bukan pelatih, rasanya yang nampak usia 20 series dan banyak bertanya itu doktor pelatih, macam sepakat pula diaorang pakai sling bag saiz kecik, tali kecik gitu. Mungkin untuk memudahkan pergerakan kot. Ada  yang berbaju biasa + menyarung jubah putih tu, nampak cool, mungkin itu doktor yang sudah lama bekerja, pangkat senior.

Suami bergilir menjaga saya dengan adik yang kebetulan cuti CNY, kolejnya cuti seminggu. Saya terperasan sesuatu ketika menyuruh adik saya makan. Katanya segan, saya tanya kenapa segan, balas adik saya dia malu dengan staf nurse muda-muda kat situ. Oh, rupa-rupanya saya sudah tua, umur dah naik banyak – saya tak perasan/tak terfikir langsung tentang nurse cantik atau doktor/doktor pelatih kacak/cantik.  
 Memasuki fasa 30 series, setelah menjadi isteri, perasaan muluk-muluk dan halus, memikirkan pasangan lawan/jodoh itu sudah lama tiada. Beza memang berbeza sewaktu saya berumur 20 series.


Langsir – mengamati warna nyaman hijau muda, terus teringat langsir kat rumah, pun warna hijau. Dan… terus rindu rumah, nak balik cepat, haha…



Tray – makanan hospital hidang dalam tray, nah apalagi beb! ‘layang-layang fikir’ saya spontan ‘terbang’ ke masa lalu, zaman remaja. Duduk asrama 7 tahun, makan dalam tray di dewan asrama, dari tingkatan satu sehingga enam atas.



Awal pagi +- jam 8, ada staf pakai vase kaler oren terang, menolak rak ubat. Terus saya teringat pramugari Air Asia/Malaysia Airlines yang menolak rak makan minum dalam kabin kita tu – ala yang gitu-gitu tuuu… back to reality, yang dekat hospital ini dia tolak ubat daa…dan aku pun makanlah beberapa biji antibiotic.



Ambulans – saya dipindahkan ke wad 8G, naik ambulans, bangunan sebelah saja pun. Teruja  dan ada rasa seram sikit tengok situasi ‘perut’ ambulans tu. Nasib baik driver tu tak pasang siren sekali.

Tulisan doktor dan jiwa halus - saya tak pernah nampak lagi doktor/PPP tulisannya jenis tekan-tekan gitu - menulis sehingga berbekas di halaman bawah. Kita tak faham apa yang dia tulis, serupa kita tak tahu apa yang ada dalam kotak fikirnya. Tulisan cakar ayam (macam yang selalu kita sebut) tapi saya percaya jiwanya halus, sensitif, serupa itu jiwa orang seni. Kalau jiwa tak halus, tak sensitif... macammana nak kesan penyakit, kan?



Ubat dan discaj – yahoo… tengah hari Rabu 10/2/2016, gembiranya rasa hati, syukur Alhamdulillah. Ok, pergi farmasi ambil ubat. Saya bagi slip ubat dekat kaunter, staf tu pandang saya semacam, sambil dia mengisi ubat  penuh satu plastic medium saiz, Ya Allah saya dah seram dah, biar betul ubat banyak tu saya kena makan? Rupa-rupanya… “Dik, adik dari kecemasan atau pesakit luar?”. Saya balas, “Saya daftar di kecemasan, baru keluar wad 8G.” Sambungnya lagi,”Adik kena pergi farmasi yang lagi satu.” Aduh lega rasa hati yang gendang kuat tadi tu. Ok, akhirnya dapat cari farmasi tu dan dapatlah 2 papan ubat antibiotic – cefuroxime axetil. Lepas tu bayar bil hospital – RM 43. Ok, jom layan gambar. 






*****


@Rekod@



12/2/2016, saya temankan suami ke Klinik Kesihatan Bukit Kuda. Pertama kali kami ke sini, sebelum ini kami limpas saja ini klinik. Suami masih mood cuti CNY. Dekat kaunter register tu, suami ambil nombor, tunggu sekejap, sampai nombor giliran, staf minta IC, kurang seminit suami dah dapat kad klinik. Hairan, staf tu tak tanya apa-apa pun. Siap alamat terkini dan nombor telefon suami sekarang.



Kami terfikir sesuatu… mungkinkah maklumat kami di klinik XYZ (kerajaan) bersambung terus dengan Klinik Kesihatan Bukit Kuda? Sebelum ini label ubat yang kami dapat dari klinik XYZ tertulis Klinik Kesihatan Bukit Kuda. So? Korang jangan tipu-tipu bab sakit tau! Tiba-tiba terlebih kreatif, sakit satu jenis saja tapi terlebih rajin ke klinik yang berlainan, semata-mata kemaruk nak tambah stok ubat, rupa-rupanya… korang sambunglah sendiri.



Ada satu dapatan di fb, seorang doktor panel meluahkan rasa kecewanya tentang pesakitnya yang sepatutnya berjumpa pakar tertentu, disertakan surat sokongan darinya, tapi pesakit tersebut tidak hadir, sebaliknya melencong ke tempat lain, jumpa bomoh. Saya terus teringat kalaulah saya tidak jadi pergi ke Htar usai minta surat dari PPP dekat klinik XYZ tempoh hari… nasib baik kita memang pergi, betul-betul sakit beb! 

Di laman sosial, status ‘bunga api’ berkaitan kesihatan memang meriah, ah kau pun tahu tentang itu – pro vaksin vs anti vaksin, rakam video di hospital kemudian viralkan di fb, status garang doktor tertentu yang menangkis ketidakfahaman/kecaman hebat haters, ada yang datang klinik nak ubat + tambah stok ubat dekat rumah tapi makannya tidak, dan macam-macamlah lagi. Terlebih rajin pula yer saya nak tulis kat sini.

*****



@Hikmah/Ibrah@


Ringkasnya saya simpulkan begini – Allah beri saya sakit, sebab Dia nak saya sembuh. Hah? Apa maksudnya itu?


You!, begini ceritanya, beberapa bulan sudah di hujung-hujung tahun 2015, di sudut hati saya yang paling dalam dan paling istimewa… saya  ada memikirkan tentang umur yang semakin naik, tahap kesihatan dan lain-lain ‘tajuk’ yang segaris dengannya.


Allah beri saya ‘hint’ agaknya tentang keinginan-keinginan saya itu, caranya melalui sakit yang dihantar kepada saya bermula batuk demam selsema… siapa sangka membawa ke hospital, terkena jangkitan bacteria, duduk beberapa hari di sana merenung banyak perkara yang saya nampak, tapi ‘tak nampak’. Hanya setelah saya sakit, benda-benda nampak tapi 'tak nampak' itu benar-benar jelas di ruang muhasabah dalam diri saya, melekat sungguh!.



Sewaktu tulisan ini ditulis… setelah 10 hari > discaj wad, berat badan saya susut 4 kg. Saya berharap beberapa bulan ke hadapan saya akan menulis sesuatu tentang corak makan minum, diet saya untuk ‘upgrade’ tahap kesihatan saya. Beberapa minggu sudah saya menonton filem Wanita Berkalung Sorban. 
Antara dialog menarik - “Rom tidak dibina dalam masa sehari”, kata-kata ini mengesankan saya. Untuk mencapai sesuatu, ianya memerlukan proses yang berjalan atas garis masa. Ada banyak ‘traffic light’ yang perlu dilalui untuk mencapai sesuatu target.

So, untuk 'upgrade' tahap kesihatan saya ke level yang lebih baik, perlu melalui proses disiplin diri, mula merancang menu makan minum etc. Tak mau tulis lebih-lebih, buat dulu cerita kemudian.

Ok, stop sini dulu, sambung lain kali. Tatata....


love,
monalizahrais
Bt.3 Jalan Kapar,Klang
24 February 2016 Rabu