Monday, April 22, 2013

IKUT SUNNAH NABI

Assalamualaikum...

Bersawang sudah blog saya ini,hanya dijenguk sebentar pada setiap hari tapi jarang di kemas kini 'hiasannya'. Untuk petang yang renyai-renyai ini - ada satu cerita yang menarik perhatian saya, sumbernya dari laman facebook (ah, facebook sentiasa sahaja memberikan idea-idea yang 'awesome').
Ok, ini cerita yang saya copy paste... baca jangan tak baca dan jangan lupa tersenyum-senyum ya!



 
AMALAN BERSIWAK (BERSUGI) MENGGERUNKAN MUSUH

Pada kurun ke-8 Hijrah iaitu ketika zaman Bani Abbasiah, orang Islam ketika itu sedang berdakwah di Samarkand (ibu Negara Uzbekistan). Pada waktu itu, tentera Islam telah berjaya membuka negara-negara yang bersempadan dengan Samarkand yang berhampiran dengan China.

Suatu ketika, mereka tidak dapat menembusi sebuah benteng. Tentera-tentera musuh berdiri di sepanjang pintu dan dinding kota. Tiada siapa boleh keluar dan masuk. Mereka bagaikan sebuah dinding yang tidak dapat dirobohkan. Akibatnya, peperangan berlanjutan. Tiada siapa yang kalah atau menang.

Maka, panglima perang Islam melalukan ‘post-mortem’. Perkara pertama yang ditanya ialah, “Adakah sesiapa dalam kalangan kamu yang tidak menunaikan solat?”

Mereka menjawab, “Tidak.”

“Adakah sesiapa yang meninggalkan satu daripada sunnah Nabi SAW?” soalnya lagi.

Mereka terdiam. Setelah berfikir dan bertanya sesama sendiri, barulah mereka sedar bahawa mereka meninggalkan amalan bersiwak ketika berwuduk dan solat. Lantas, mereka memanjat pokok kurma dan mengambil batangnya untuk dibuat kayu sugi. Setelah itu, azan dilaungkan. Maka, mereka pun segera bersiwak sebelum berwuduk untuk menunaikan solat.

Tatkala itu, seorang pengintip masuk ke khemah orang Islam untuk mengintip. Dia menjadi gementar melihat orang Islam sedang bersiwak. Lalu. Dia pun pulang memberitahu kaumnya, “Sesungguhnya musuh kita bukan sembarangan manusia. Mereka sedang mengasah gigi mereka dengan kayu untuk meratah kita seorang demi seorang. Bersedialah kamu semua untuk diratah oleh mereka.”

Kaumnya percaya. Mereka menjadi gerun lalu mengundurkan diri. Maka, orang Islam berjaya menawan negeri itu dengan mudah dan ramai yang memeluk Islam. Penduduk kota itu, setelah memeluk Islam, menjadikan siwak sebagai satu amalan yang tidak ditinggalkan. Mereka ketawa mengenangkan ketakutan mereka kepada siwak.

Mereka berkata, “Kami dikurniakan Islam dengan berkat sunnah bersiwak. Maka, hidupkanlah kami ya Allah dalam agama Islam dan dalam keadaan sentiasa melazimi sunnah.”

Sumber: Qasas as-Solihin, Syeikh Hamed Ahmad Tahir

Iktibar:
1. Dalam sunnah Nabi, ada kejayaan.
2. Amal sunnah Nabi, Allah beri bantuan.
3. Tinggalkan sunnah Nabi, tiada bantuan daripada Allah.
Wallahu’alam…

Islam Agamaku


Membaca cerita di atas untuk pertama kalinya, saya tersenyum sendirian, bayangan visual tentera Islam bersiwak beramai-ramai terbayang di ruang fikir seperti sedang menonton di layar perak. Bayangkan... sekumpulan lelaki berbaju perang lengkap, muka ganas/serius bersiwak beramai-ramai... bukannya 'berberus gigi' macam yang selalu kita lakukan itu tetapi bersiwak menggunakan batang kurma!. Tentunya lain orang lain juga bentuk visualisasi dalam mindanya.

Ada elemen lucu di situ, tetapi pada pandangan tentera musuh mengikut cerita di atas tentunya memikir yang tidak-tidak, malah menggerunkannya seterusnya membawa kepada kekalahan yang mudah di pihak mereka. 

Membaca cerita ini juga mengingatkan saya kepada satu peristiwa salah faham di tempat kerja suami saya. Kebetulan dia membawa parang ke tempat kerjanya, saya sudah lupa sebabnya tetapi sebaik sahaja rakan sekerja melihat suami memegang parang, dia menyangka suami saya hendak mengamuk di tempat kerja. Diringkaskan cerita, kecoh seketika jugalah bahana salah faham si Bangla tu melihat suami saya memegang parang.  

Sampai di rumah, kami suami isteri pecah ketawa dibuatnya gara-gara insiden yang tidak dijangka itu, hehe...kan.

#kadang-kadang salah faham terjadi dalam situasi yang tidak dijangka.


love,
monalizahrais  


Tuesday, April 16, 2013

SUKA TAK SUKA

Assalamualaikum

Sekejap lagi nak mandi dan bersiap menuju library - pulangkan buku dan pinjam buku yang lain. Dah lewat sehari alamatnya kenalah denda, hehe...sebelum tu sudahkan dulu tulisan ini.

Terbiar lagi blog ini beberapa ketika, tumpuan saya lebih ke facebook, entah mengapa sejak akhir-akhir ini saya gemar SHARE gambar-gambar kreatif, sama ada gambar betul atau yang telah 'dikreatifkan'. Dalam bulan Mac  sahaja - ada tiga buah puisi terhasil secara spontan, tanpa draf, saya terus menaip begitu sahaja dan kurang dari 10 minit, siap. Setelah dibaca beberapa kali terus sahaja saya post dekat wall facebook. 

Sepanjang hari dalam bulan Mac ini juga, setiap hari saya berfacebook, bukannya chatting (saya tidak suka chatting dan hanya melayan perkara penting sahaja itupun dari rakan sekampung satu sekolah) rentetan peristiwa di Lahad Datu itu sehingga sekarang faktor menyebabkan saya online setiap hari. Tidak bermakna saya menghadap 'muka' laptop terus menerus, sambil buat kerja sambil fb. 
Itupun pada waktu siang di waktu malam saya tidak atau bataskan untuk beberapa minit sahaja. Jika dilayan ketagihan berfacebook itu memang tidak ada satu kerja yang akan siap. Contoh terdekat, kebiasaannya saya akan habiskan membaca 6 buku dalam sebulan tapi bulan ini tak sampai 4 buah buku pun malah siap disambung tarikh meminjamnya, gara-gara facebook dan hal-hal yang lain (tapi siap 3 buah puisi!).

Suka tak suka, amboi tajuk, dalam hidup kita ini akan ada orang lain tidak terkecuali ahli keluarga kita yang suka, cinta, kurang suka atau benci dengan kita. Bagi saya itu lumrah, kerana setiap manusia itu mempunyai watak dan perwatakan yang berbeza. Perbezaan ini adakalanya membawa kepada persahabatan atau permusuhan. Cara terbaik cuba meminimumkan situasi yang cenderung kepada permusuhan.

Sudah tentu rasa tidak selesa, tetapi itulah kehidupan. Penuh dengan misteri. Beberapa bulan yang lalu sekitar bulan Ogos atau setepatnya semasa suasana Hari Raya Puasa berlangsung hangat, kami sekeluarga menuju Kampung Simunul, Semporna untuk melangsungkan perkahwinan adik saya di pihak pengantin perempuan. Perjalanan ke sana tentunya melalui beberapa daerah antaranya Lahad Datu dan Pekan Kunak. Dan sekarang siapa sangka akan terjadi insiden pencerobohan sehingga berlanjutan kepada pertempuran, pembersihan, penggeledahan di tempat-tempat yang kami lalui itu. Itulah misteri kehidupan yang di luar jangkaan kita.

Lain cerita, ada sesuatu yang menganggu fikiran saya dan barangkali juga menyedarkan saya sedikit demi sedikit tentang apa yang sering kita paparkan di wall facebook. Walaupun niat kita itu mungkin sekadar berkongsi suka dan duka, apatah lagi senarai rakan-rakan fb kita tu majoritinya rakan satu sekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan di tempat kerja termasuk personaliti tertentu - artis, atlet misalnya. 

Rakan-rakan sekolah kita sejak sekolah rendah sehingga universiti dan rakan sekerja tentunya mengenali siapa diri kita. Tetapi bukan 100% dia mengenali kita atau kita mengenali dia pada masa sekarang. Ada rakan-rakan kita yang terlalu berterus terang tetapi ada juga yang terlalu berahsia. Yang sangatlah rahsia itu selalunya hanya sekeping, seketul gambar itulah gambar yang diletakkan di ruangan 'profile picture'. Puaslah kita melihat membongkar profile nya mencari kalau-kalau ada gambar anak ke, gambar famili ke, namun tidak juga dijumpa. Yang jenis ni memang rahsia sungguh, tandanya dia langsung tidak mahu diketahui keadaan hidupnya yang terkini, dia tidak mahu berkongsi dengan rakan-rakan yang dikenalinya. Hanya di luar facebook, rakan atau famili terdekat sahaja yang mengetahui rentak kehidupannya yang terkini.

Yang terlebih berterus terang itu tak payah ceritalah, tak sah kalau tak letak gambar terkini, malah beribu keping gambar/video tentang dirinya ada di akaun facebooknya, sampai tak larat tengok. Opps! Bukan menyindir ya, merenung kepada diri saya sendiri, sejak tahun lepas saya sudah memperlahankan rentak 'menayang' perkembangan terkini saya di facebook. (Itu di facebook, di blog camana pula tu?)

Sebab itu saya lebihkan kepada SHARE ayat-ayat motivasi, agama dan yang terkini gambar-gambar kreatif, kesimpulannya yang dapat mendatangkan kebaikan apabila dilihat oleh rakan-rakan facebook, tak banyak sedikit pun jadilah. Itupun ada yang menganggap saya temberang dan suka berlagak, menunjuk-nunjuk. Alangkan kita buat baik pun ada yang tidak suka dengan kita, betapa lagi kalau terang-terang melakukan kejahatan, bukan.

Kita kalau hendak berlagak, menunjuk-nunjuk yang kita kononnya ada rumah besar, kereta mewah atau kerja yang gaji tinggi dan sebagainya itu sudah tentu hendak ditunjuk dibanggakan kepada mereka yang kita kenali, siapa lagi kalau bukan rakan-rakan fb tu. Habis tu takkan kita hendak cerita dengan entah siapa-siapa yang tidak kita kenali, mahunya kena lempang tak pasal-pasal nanti ada juga yang kena jerkah, haha...

Berbalik kepada sesuatu yang 'menganggu' fikiran saya itu - ianya sebuah kisah yang panjang, sejak sekolah rendah dan semasa di sekolah menengah. Semasa remaja dahulu, ada seorang junior saya (perempuan) yang sangat rapat dengan saya, ringkasnya segala masalah keluarganya yang sentiasa bergelora itu saya tahu semuanya dan dia pula tidak malu untuk meluahkan kepada saya. Sering dia ikut saya pulang ke rumah setiap kali cuti sekolah kerana belum tentu lagi ada keluarganya yang akan datang mengambilnya (selalunya memang tidak ada) dan saya juga selalu bersamanya setiap kali kami berkunjung ke rumah saudara maranya. Ada satu ketika kami berdua terpaksa tidur di pejabat pengarah, mandi dan makan di kompleks tersebut disebabkan tidak ada orang di rumah sepupunya itu. Tetapi sekarang tempat itu sudah bertukar rupa digantikan dengan bangunan lain. Namun kenangan tetap kekal di ingatan.

Terpisah tanpa berita ditambah lagi saya ke KL melanjutkan pelajaran di UM, bertahun lamanya... akhirnya terjumpa di facebook. Adik ini sudah berkeluarga dan ada anak pun begitu saya masih tidak mengetahui perkembangan terkininya. Walaupun saya minta supaya dia update gambar serta khabar dirinya yang terkini, tapi tidak juga dibuatnya. Pun berahsia juga. Nak kena serbu ni terus datang ke rumahnya balik Sabah nanti, hehe...


Orang lain dok sibuk tayang anak masing-masing tapi adik ini langsung tak update. Itulah yang mengesankan saya. Membuatkan saya terfikir,dalam saya sibuk/ghairah hendak menayang itu ini di fb saya... kita tidak tahu apa sebenarnya perasaan rakan-rakan kita yang lain tu, tersinggung ke tidak, marah atau benci dan sebagainya. Sesekali muncul itu sesuatu yang saspen dan seronok melihatnya, tetapi terlalu kerap itu kadang-kadang kita pun naik bosan jadinya, meluat pun ada. Apatah lagi kalau status update yang entah apa-apa kan...


Ok, lagi satu berkaitan dengan sekolah rendah. Mendengar cerita adik bongsu saya ketika dia di darjah 5 dan 6, membuatkan saya hendak tergelak besar tapi terpaksa kontrol emosi tu sebabnya apa yang diceritanya itu sebenarnya terjadi kepada kebanyakan kanak-kanak. Rasa kasih dan sayang itu pun wujud dalam diri mereka, walaupun mereka tidak memahami sepenuhnya apa itu cinta. (Amboi, amboi... ayat). Adik bongsu saya mengatakan dia minat dengan seorang kawan lelaki tapi kawannya ini hanya sekejap sahaja bersekolah di situ sebelum berpindah ke tempat lain, katanya dia sangat-sangat sedih sebaik sahaja 'pujaan hatinya' itu berpindah sekolah. Dan seterusnya dia bercerita ada juga kawan lelaki yang minat dekat dia tapi dia tak berkenan. Punyalah payah saya hendak berlagak seperti biasa, sebaik sahaja mendengar cerita adik saya itu, tapi takkan tergelak besar pula kan, walaupun saya rasa lucu sangatsangat mendengar ceritanya itu. Jadi peranan kita sebagai seorang dewasa tentunya memberi nasihat dengan cara yang bersesuaian dengan usia 'mudanya' itu.

Sebelum itu... bukan main lagi adik bongsu saya bersungguh supaya 'kisah cintanya' itu hanya rahsia kami berdua sahaja, tidak boleh bocor, lolos diketahui selain kami berdua, terutama sekali emak. Itu tandanya dia percaya dengan saya dan walaupun ianya nampak remeh tetapi saya percaya setelah dia remaja malah dewasa pun tentunya dia akan percaya kepada saya setiap kali hendak meluahkan perasaan 'gundah gulana'nya. Malah dia sanggup menelefon saya di semenanjung ini hanya kerana kemusykilannya berkaitan perubahan yang dialaminya sebaik sahaja dia mula datang bulan.

Zaman kanak-kanak saya terlalu indah. Faham-faham sajalah tahun 80-an sehingga 90-an... majoriti kanak-kanak pada masa itu terbentuk daripada persekitaran bukannya 'terbentuk' peribadi kami daripada laman sosial. Kita bermain bermacam permainan yang 'real' nyata di alam nyata, bukannya 'farmville', 'angry bird' dan sebagainya yang terdapat dalam internet.
 Lebih-lebih lagi lahir dan membesar sebagai anak kampung, tentunya alam semulajadi memainkan peranan terpenting membentuk peribadi kami pada masa itu. Kita menikmati zaman kanak-kanak dengan penuh rasa gembira, bermain bermacam permainan tradisional, bergaduh seketika kemudian berbaik semula. Sama-sama bergelumang lumpur, bermandi hujan, meredah semak belukar, meredah ladang kelapa sawit dan... terlalu banyak untuk disebut. Indah, terlalu indah, syukur kepadaMu ya Allah...

Ok, masih lagi 'membebel' tentang sesuatu yang 'mengganggu' fikiran saya itu. Dan sekali lagi, ianya sebuah kisah yang panjang. Pun sangat mengesankan kepada diri saya sendiri. Adalah di satu hari yang berbahagia itu di zaman kanak-kanak saya... datang seorang 'posmen' mengatakan si anu bin si anu kirim salam, tentunya dari seorang kanak-kanak lelaki yang meminati kita. Ok, biasalah tuuu... kemudian 'posmen' ini mengatakan si anu bin si anu itu sedih siap menangis bagai kerana katanya entah bila lagi dia dapat melihat saya... ketika itu saya baru habis darjah enam dan akan menaiki tingkatan satu. Alaa... beza cuma setahun jer umur, dia muda setahun dari saya. Pun akhirnya satu sekolah dekat sekolah menengah. Tapi sungguh... pesanan 'posmen' ini kekal di ingatan saya... sehingga sekarang. DAN... terjumpa di facebook pada masa kini. 

Saya tidak ingat semua kenangan ketika di zaman kanak-kanak dengan si anu bin si anu ini... tapi part pesanannya melalui 'posmennya'  itu kekal segar di ingatan, hahaha... hidup memang sungguh misteri...dan sekarang dia antara yang selalu 'like' status update saya. Menjengah ke ruangan wall fb nya... ternyata si anu bin si anu ini misteri, penuh rahsia, hanya maklumat basic sahaja - kerja dan status, gambar pun tak sampai 10 keping, gambarnya hanya dua sahaja. Tidak pernah sekalipun saya melihat di ruangan wall fbnya itu status update yang menunjukkan perasaannya terhadap sesuatu atau kritikan dan sewaktu dengannya. Sesekali dia share isu-isu semasa... pun begitu saya yang tiba-tiba menjadi ala-ala wartawan ini tetap jugalah menyelidiknya... tak puas hati gitu yer... misteri sangat kan.

Saya mengikuti setiap page atau status yang dia 'like' atau 'share' - sangatsangat menyentuh hati saya, semuanya berkaitan dengan kanak-kanak, isu buli dan luahan rasa lara seolah-olah mencintai seseorang dalam diam tanpa diketahui oleh orang yang dicintai itu. Saya tak nak komen lebih-lebih, cukuplah disimpan seeratnya dalam daun kenangan, hehe...

Tapi saya sedikit lega kerana dia juga 'like' 'page' yang berkaitan dengan Al -Quran dan Hadis, kata-kata hikmah, motivasi... Alhamdulillah kalaupun dia tengah sedih ada juga penawar jiwa yang dicari. Semoga hidupnya selalu berbahagia walau apapun yang sedang dilakukan dan dilaluinya, amin...

Sedikit kata-kata 'nakal' -  dont worry bah, sa tetap 'cinta' sama kamu...

Gambar di bawah sekadar hiasan, saya copy paste dari facebook. Melihat gambar ini laju sahaja air mata saya mengalir dan ini juga antara gambar yang di 'like' nya...











love,
monalizahrais





















Sunday, April 7, 2013

KLANG KE PANTAI DALAM

Assalamualaikum...


Dari Klang ke Pantai Dalam (PD) kami suami isteri menaiki motor ke tempat adik saya, Mazlan. Banyak perubahan yang dapat dilihat di sepanjang perjalanan. Biasalah tu kan. Pembangunan akan terus berlaku setiap masa, sepanjang zaman. Sentiasa ada peralihan dan sesuatu yang baru. Generasi baru dengan idea baru diterjemahkan melalui pelbagai bangunan yang dapat kita lihat.

Namun saya ingin mengimbau kenangan sekitar tahun 2005 ke 2007. Bangunan seperti Bangsar South City, The Sphere pada masa itu masih dalam pembinaan. Saya berjalan kaki dari Bukit Angkasa ke Flat 17 tingkat, Kerinchi berhadapan dengan Vista Angkasa dibasahi hujan renyai kemudiannya bertambah lebat. Basah lencun saya sebaik sahaja sampai ke rumah. Saya pada masa itu sedang bekerja di Texas Instrument, berdekatan dengan Jelatek. Hal itu terjadi disebabkan masalah komunikasi dan pengangkutan menyebabkan saya terpaksa berjalan kaki.

Suasana di kiri kanan masih dipenuhi hutan lagi, agak sunyi juga...berbeza sungguh dengan pemandangan yang saya lihat sewaktu dua hari kami di sana. 25/03/2012 - 26/03/2012.

Yang seronoknya melihat rumah lama dengan atap lama juga halaman yang luas, agak tradisional berbanding rumah pangsapuri yang tumbuh bak cendawan di sekitar Pantai Dalam dan Kerinchi. Adik saya duduk di kawasan Pantai Permai 5. Masih ada suasana kampung walau cuma sedikit.

Saya melihat juga orang tua yang duduk-duduk di tangga salah sebuah rumah tradisional itu. Agaknya apalah yang ada di fikirannya setiap kali dia melihat bermacam muka baru yang muncul dan menyewa di kawasan perumahan itu. Situasi itu juga saya percaya menjadikannya seorang pemikir sentiasa membandingkan zamannya dengan zaman sekarang.

Siapa sangka kawasan yang satu masa dahulu kawasan paya dan tanah lembut akhirnya berubah menjadi kawasan yang sangat padat dengan penduduk, kewujudan komuniti baru. Semasa bujang dahulu, saya dan suami sebenarnya pernah meninjau di kawasan ini melihat rumah pangsapuri yang pada ketika itu sudah siap tapi belum diduduki lagi. Apabila kami datang segalanya sudah terisi dan meriah. Macam-macam ada. Pada masa itu kami terfikir...agak-agak macam manalah nanti tempat ni ya? Dan sekali lagi jawapannya terlihat dua hari yang lepas...

Datang dan pergi, yang patah berganti tumbuh semula...gambaran yang saya berikan sewaktu berkunjung ke sini. Kawasan yang tidaklah asing bagi saya sebenarnya. Sebagai bekas pelajar Universiti Malaya, kawasan Vista Angkasa, Pantai Dalam dan Kerinchi memang tumpuan pelajar UM untuk mencari rumah sewa.

Selalu dan akan kekal di ingatan saya...Isnin dan Jumaat pasar malam Kerinchi. Rabu dan Sabtu pasar malam di Pantai Dalam. Sehingga semalam sewaktu saya berkunjung ke pasar malam Kerinchi, saya masih mengingati wajah-wajah peniaga pasar malam yang saya kenali sejak tahun 2000. Wah...itu baru 12 tahun entah pada tahun bilakah mereka mula berniaga di situ?

Kekal di ingatan juga kelibat Along Gas...pembekal gas yang nombor telefonnya mesti ada di kebanyakan rumah sewa student UM. Dan semalam juga saya ada melihat dia minum sambil bersembang di kedai makanan di bawah Flat 17 tingkat, Kerinchi. Juga Sekolah Menengah Pantai yang tidak jauh dari situ...dua kali saya mengambil MUET kerana syarat untuk konvokesyen pada masa itu kena dapatkan band 3.

Banyaknya memori...van-van sekolah warna kuning, hanya perlu bayar 50 sen sahaja untuk masuk ke UM sebelum bas UM beroperasi sepenuhnya mengambil pelajar memasuki kawasan kampus. Sekitar tahun 2000-2003. 50 sen juga tambang ke MidValley kemudian RM 1 untuk dua hala perjalanan MV ke LRT Universiti. Kali terakhir saya naik bas ke Mid Valley, RM 1 untuk perjalanan sehala. Saya maksudkan bas RapidKL.

Terlalu banyak kenangan sebenarnya...tak terlarat untuk dinukilkan di sini. Di kepala saya kenangan itu bergerak terlalu laju, jari jemari saya terlalu perlahan tak terkejar untuk menterjemahkannya melalui medium tulisan ini.

Nostalgia sungguh...syukur kepadaMu ya Allah kerana memberikan pengalaman dan kenangan yang sungguh berharga ini dan dapat hambaMu ini abadikan di blog ini...Alhamdulillah...

love,
monalizahrais


Tuesday, March 19, 2013

INDAH, MANIS, SYUKUR ALHAMDULILLAH


Assalamualaikum...


Indah, manis, terlalu indah sebenarnya. Ini antara gambar berkaitan konvokesyen saya pada tahun 2004. Lama dah, dan sangat manis kerana disaksikan oleh arwah bapa saya ketika itu. Mengalir air mata mengingatkan pahit manis zaman belajar bermula zaman remaja sehingga ke peringkat universiti (Universiti Malaya). Sangat mencabar... kerana saya anak sulung daripada lapan beradik dan ketika itu kebetulan hasil sawit kurang memuaskan.

Saya sendiri tidak menyangka akan memasuki universiti sebaik sahaja tamat sekolah, tentunya beban kewangan yang membataskan tetapi kalau sudah rezeki tidak ke mana...
tetap ada laluannya.

Saya bukanlah pelajar cemerlang yang selalu disebut-sebut namanya di kelas atau di sekolah, sekadar pelajar sederhana yang cuba mengimbangi pembelajaran di kelas serta aktiviti ko kurikulum di sekolah, tetapi faktor ini tanpa saya sedari rupa-rupanya memenuhi syarat memasuki universiti.

Gambar penuh, siap dengan bingkainya ada di rumah di kampung halaman. Gambar di bawah ini saya gambar semula - menggambar gambar. Sepatutnya kena scan, then save dalam pen drive. Tu yang ada cahaya dekat bawah gambar tu...

Carilah ilmu, asalkan bermanfaat. Ilmu bersifat sangat luas, tidak hanya terhad apa yang dipelajari di universiti sahaja. Memasuki universiti hanyalah salah satu platform mendapatkan ilmu. Tetapi proses belajar itu tetap berterusan sehingga hujung nyawa. 

Sekarang, dalam situasi tertentu ketika saya 'down' misalnya, menatap gambar-gambar ini seolah-olah dapat memujuk hati yang sedang rawan dan menaikkan semangat yang pudar sekejap itu. Sungguh, tanpa disangka rupa-rupanya rezeki saya sudah tertulis - menggenggam Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Drama). Alhamdulillah.
  

 







love,
monalizahrais

LUCAH

Assalamualaikum, dan salam hari Selasa.

Lain macam saja tajuk petang ini, tapi jangan fikir yang bukan-bukan ya.
Cerita ini memang benar-benar terjadi, pun begitu sudah tentu nama dan lokasinya disamarkan untuk menjaga aib, yang penting 'moral of this story' bahawa janganlah kita melampaui batas sebagai seorang makhluk yang bernama manusia.
 Waduh, macam serius saja bunyinya, tapi ada unsur lucu sebaik sahaja kita membaca cerita ini.
Ok, ceritanya begini...

Di satu kampung yang tidaklah terpencil, tak jauh manapun dari bandar, semua kemudahan asas - rumah, api, air, jalan raya, malah majoriti penduduk kampung XYZ (samaran) sudah mampu membeli kereta sendiri dan memiliki siaran Astro. Namun, adat resam masih diamalkan, amalan tolong menolong, bergotong-royong ketika majlis kenduri kahwin, kematian, kesyukuran masih menebal lagi. 

Terus kepada poin cerita, ada seorang wanita yang bergelar nenek kepada cucu-cucunya. Suaminya sudah lama meninggal dunia. Hidupnya dikelilingi anak cucu menantu. Tidaklah sunyi sangat kan. Tetapi yang pelik dan sukar diterima akal sihat - sayang sekali nenek ini seleranya hendak bersuami muda. Sekitar umur 20-an, 30-an gitu. Bermacam cara yang dilakukannya sama ada baik/jahat untuk meraih cinta golongan pemuda yang telah menambat hati keringnya itu. 

Saya katakan hati kering kerana sepatutnya sebagai seorang yang bergelar nenek kepada cucu-cucunya, mana mungkin dia masih bernafsu apatah lagi terhadap pemuda berusia 20-an dan awal 30-an. Kenapa dia jadi macam tu? Entahlah... kalau nafsu sudah beraja dalam hati... kot. Penduduk kampung yang tahu perangainya ini tentunya bimbang - risau anak-anak mereka 'dipikat' olehnya. 

Kawan-kawannya juga sudah mula menjauhkan diri daripadanya kerana bimbang suami atau anak mereka dikebas oleh nenek ini. Dan pada satu majlis tahlil, di ruangan dapur ketika kaum hawa sibuk dengan persiapan memasak, kebetulan ada sayur TERUNG yang sedia untuk dipotong seterusnya dimasak. Nenek yang tak tahu malu ini dengan selambanya mengangkat terung tersebut sambil tersenyum-senyum seraya berkata - "tengoklah terung ni, cantik, besar dan panjang kan, tengok, aku ada terung cantik."

Mungkin kerana meluat, menyampah ditambah lagi dengan track record nenek ini... beberapa kaum hawa di situ dengan sinis berkata seperti ini - "kami pun ada terung juga, TERUNG ORIGINAL lagi, tak mainlah terung macam tu, kalau dimasak terus lembik."

Sungguh, di hadapan mata saya sendiri menyaksikan lantunan dialog tersebut. Ingatan saya segera terimbas kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha, rasanya semua orang pun tahu kisah ini kan. 
 Semoga kita dijauhkan daripada kejahatan yang nyata dan tersembunyi.

love,
monalizahrais
 
 

Sunday, March 17, 2013

TANDAS DI 1 BORNEO - KOTA KINABALU, SABAH

Assalamualaikum...

Jom layan gambar tandas yang terdapat di kompleks beli belah 1 Borneo. Penjaga tandasnya siap ada laptop lagi, selesai kerja membersihkan tandas... saya melihat mereka sedang melihat entah apa di skrin, sambil gelak-gelak. Waduh-waduh kak, cayalah,  sekarang bukan tentang apa pekerjaan kita, tapi isunya ialah hampir semua mampu memiliki gajet elektronik yang pelbagai fesyen itu. Sediakan saja wangnya...tapi saya tak sampai hati tangkap gambar diorang, nanti disangka saya ni siapa pula kan?

Kalau setakat hendak bercerita tandas biasa, tak payah ceritalah jawabnya, semua orang pun tahu, tapi sesekali masuk ke tandas sebegini pun best juga, siap ada aircond dan sangat selesa. Apapun terpulang kepada citarasa masing-masing.

Bayaran masuk RM 1 seorang, berbaloi tak berbaloi? Tengok gambar dan nilai sendiri...




Interframe jap, hehe...
 


Tu dia... V.I.P washroom... alamak, huruf R sudah hilanglah, ke mana perginya?
Kaunter bayaran sahajapun sudah canggih, di dalamnya apa cerita, jom masuk ke dalam.



Jom santai jap, sementara menunggu giliran.



Lima bintang.
 



Kreatif kan, guna bahan semulajadi yang telah dikeringkan. Ikut pengamatan saya... saya terbayang pokok hiasan jenis palma, seakan-akan pokok kelapa, lebih kurang macam tu laa. Daripada terbuang begitu saja, lebih baik dikitar semula menjadi elemen kreatif, sungguh... kreatif individu yang membuat pasu sebegini.
 


Pandangan tepi pasu bunga.
 







V.I.P tak V.I.P? V.I.P kan?
 


Sambil duduk-duduk santai di kerusi tu, sempatlah snap pemandangan di hadapan mata kita...
 


Ini pun nak gambar juga? Isk, isk...

 


Tengok tong sampahnya, siapa punya kerja ooo... letak benda-benda tu.



Kaler lembut jer... hiasan dindingnya, rasa macam hendak duduk lama-lama dalam ni. RM seringgit per entry, so satu minit 10 sen, hehehe....
 


Ini tandas perempuan, agaknya kalau dekat tandas lelaki dan kena pula tu tengah tayang perlawanan bola sepak... atau program masakan kat tandas wanita? Gurau jer... kenapa tv ni off? Itulah yang bermain di fikiran sebaik sahaja masuk ke sini.



Pemandangan yang ada di bahagian sinki. Bunga cantik dan di dinding tu siap ada gambarajah membasuh tangan dengan betul.



Masuk tandas... dan inilah suasana di dalamnya, selesa tak selesa? Ada sinki, tisu tandas, sabun dan sebelah sinki tu bolehlah letak handbag kita, dapatlah 'membuang' dengan selesa.



Hand dryer, tapi bagi saya bukan setakat tangan sahaja, lain-lain seperti towel kecik, sapu tangan atau tudung yang terkena kotoran misalnya terpercik kuah ketika makan, basuh sekejap part yang terkena kotoran itu dan dikeringkan menggunakan mesin ini, ok juga tu... kalau rambut pula boleh tak? hihihi...



Kalau 'rakyat' dah berderet tu, sementara menukar lampin untuk si comel, anak-anak yang lain bolehlah berehat dekat kerusi tadi tu...
 



Yang mana satu menjadi pilihan? Ingat, jangan salah masuk, bahaya tu...
 



1 BORNEO 


Puas hati tak? Saya sendiri puas hati, berbaloi dengan RM1 untuk dilaburkan, sesekali apa salahnya guna tandas sebegini. Rasa macam tandas hotel pun ya...

love,
monalizahrais 


Wednesday, March 13, 2013

BUNGA-BUNGA CINTA

Assalamualaikum...

Berikut 'bunga-bunga cinta' (bunga-bunga emak yang terdapat di sekitar rumah kami).
 Misi menggambar dimulakan seawal selepas solat Subuh. Sebabnya nak merakam embun di hujung daun. Orang kampung dan bangun awal pagi itu memang sinonim, sebelum persekitaran terang benderang dek cahaya matahari... sudah kedengaran bermacam bunyi - bunyi air, bunyi masakan sarapan pagi, bunyi motor kereta dan awal-awal lagi tingkap rumah sudah dibuka.

Jiran sebelah rumah kami memandang hairan gelagat saya yang awal-awal lagi sudah terbongkok, berdiri, duduk sambil menggambar bunga-bunga emak ini. Hahaha... buat dek sajalah...
Bab tanam bunga ni saya memang tak reti, tak pernah sekalipun saya menanam bunga, tapi seperti kebanyakan orang lain... sudah tentu kita suka melihat aneka bunga berkembang cantik. 
Orang tua saya jenis 'tangan hijau', tanam apa sahaja mesti menjadi, terutama sekali arwah bapa saya. Tidak pernah lagi saya melihat tanaman arwah bapa saya mati begitu sahaja, paling pun pokoknya terpaksa ditebang kerana terlalu besar dan dibimbangi patah dahannya menimpa rumah ketika cuaca buruk. Sehingga sekarang, 'air tangan' arwah bapa ini (pokok buah-buahan) terus hidup subur membuahkan hasil walaupun arwah bapa sudah tiada.

Arwah bapa kami gemar menanam pokok buah-buahan manakala emak suka berkebun bunga. Tapi yang sedikit peliknya bagi saya... emak saya lebih suka pokok hiasan yang tidak berbunga... lebih banyak daun dari bunga. Pelik kan? 
Saya pula gemar pokok hiasan yang bunganya lebih banyak berbanding daun.... masing-masing punya citarasa walaupun anak-beranak.

Setiap pagi selepas Subuh, emak akan menyiram bunga-bunganya ini, malah sekiranya dia ada urusan yang memerlukannya bergerak seawal pagi... awal-awal lagi dia memesan supaya kami jangan lupa menyiram bunga-bunganya ini. Malah sewaktu berkunjung ke KL tempoh hari, melalui telefon juga dia sempat mengingatkan adik-adik saya di kampung tu supaya menyiram bunga-bunga 'permata hati, penghibur dirinya' itu.
 
Jom layan gambar-gambar di bawah.
 

 

Antara rumah jiran seberang, terdekat dengan rumah kami.
 











Jom tengok embun...
 


Rumah kami bertiang tinggi siap ada jambatan dan tangga, so sekitarnya padat dengan bunga-bunga yang ditanam dalam pasu.
 






Embun lagi...



Embun dan lalat? Kau buat apa kat situ lalat?




Indahnya ciptaan Allah, hijau ke kaler pink...






Embun di hujung-hujung daun...

 


Aneka bunga emak - ada yang ditanam di pasu, botol plastik, plastik beras, tayar atau ditanam di lantai bumi.






Bunga-bunga yang lain kalau tak silap saya seri pagi... jadi 'pak guard' di tepi halaman yang merupakan laluan motor dan kereta yang diparkir di bawah rumah kami. Rumah bertiang tinggi kan, senang saja hendak parkir kat bawah kolong rumah.



Ampun maaf nama saintifik tak tahu... tapi kami memanggil bunga ini bunga kupu-kupu ungu. Ketika ini masih gelap lagi dan bunganya masih 'tidur'.



Yang ini kami gelar bunga kupu-kupu hijau. Pun bunganya masih 'tidur' lagi.
 


Yes! Hari sudah siang terang benderang dan bunganya yang berwarna putih itu sudah kembang sepenuhnya. 'Sayap-sayap' daun itu pun nampak segar jer kembangnya kan...



Cantiknya... 'kupu-kupu hijau' pun bunganya putih juga, sama dengan gambar di atas.






Di rumah disebut lidah jin, nama formal/saintifiknya saya tak tahu, hihihi...
 


Aloe vera, lidah buaya, yang ini saya kenal. Semasa remaja dahulu, saya sering membawa beberapa batang aloe vera ini ke asrama, untuk di sapu di muka untuk menghaluskan kulit dan mematikan jerawat. Bagus untuk kulit, cubalah hari ini!.
 Plastik beras dan botol minyak tu tempat tinggal sementara aloe vera ini, sebelum dipindahkan di tempat lain.
Tumbuhan lain dalam gambar ini yang dapat dilihat antaranya daun keladi, sejenis daun sup dan yang bahagian kiri sekali sebelah atas tu... saya tak tahu... hihihi.



Yang bergantung di pokok rambutan itu daun pegaga.



Di celah-celah kelapa yang paling dekat dengan tiang tu pokok lada/cili.



Aik, buah terap pun nak interframe...

 


Pisang tembaga pun nak interframe juga. Sedap pisang ni, kulitnya memang special jenis kaler tembaga, isinya pun ala-ala tembaga juga, padat dan penuh berisi. Jantung pisang ni apalagi sudah tentu kami ngap masak lemak. Campur dengan ikan masin/udang kering... sodapppp! Tak pandang keliling dah, nasi pun bertambah-tambah, lepas makan baru fikir pasal diet, hehehe...
 



Yang ni pun nak glamour juga...isk isk isk...



Ini... bunga pun bukan, buah pun bukan. Opps! Ini 'kumbang' lah anak buah kami dia nak telefon awek dia yang cun melecun bernama 'bunga citra BESTARI'. Telefon tu sesuai dengan usianya tak payah nak canggih sangat, cukuplah NO KI A jer.. jatuh kat lantai pun still ok lagi, tak gitu tuan-tuan dan puan-puan ?.


Ok, dah siap telefon berjanji temu dengan 'bunga citra BESTARI', so rambut kena power maa... ini stail rambut, pakcik dan makcik saudara dia yang buat, hohoho...



Ok, iklan dah habis, ini pokok mengkudu, actually jiran sebelah rumah yang punya tapi daun, buah dan pokoknya cenderung tumbuh ke arah kawasan rumah kami. Dan jiran sebelah rumah ni pun tak kisah sangat kalau kami nak ambik buah ni buat ubat ker... ambik jer...



Grrrr.... tamat sudah riwayatnya, setia hingga ke akhir hayat...

 



'Garangnya' bunga ini... dan gambar seterusnya...




Cukup matang untuk berkembang cantik tapi bukan sekarang... tungggguuuu...


Masa untuk kembang sepenuhnya. Bunga ini kami gelar bunga raja, bunga bakawali. Bunga ini hanya kembang sepenuhnya pada waktu tengah malam sahaja. Dan yang menariknya, ketika bunga ini kembang sepenuhnya... ia juga harum semerbak mewangi sama kuat harumnya seperti bunga melur, harum sangatsangat, sungguh... 

Ingat tu... hanya kembang pada waktu TENGAH MALAM sahaja dan berbau harum wangi ke serata tempat. Seram tak seram?
Gambar ini diambil oleh suami saya dan arwah bapa kami, mereka berdua bangun tengah malam, turun tangga dan snap gambar bunga ini...
Bila siang menjelma, kembangnya sudah layu...
Seterusnya gambar di bawah pada sisi lainnya.



Cantik kan, putih melepak gebu...
 


Sedikit cerita mitos tentang bunga ini... kononnya hanya mereka yang bertuah sahaja yang dapat melihat bunga ini berkembang.
Itu tandanya rezeki kekayaan akan melimpah ruah tidak lama lagi kepada mereka yang menanamnya.
Dan yang menarik lagi...bunga ini hanya akan kembang kepada penanamnya yang terpilih dan bertuah, jadi maknanya tidak semua yang menanam bunga ini akan dapat melihat ia berkembang, sesetengahnya tidak pernah berbunga pun..

Alahai... namanya pun cerita mitos tapi seronok juga mendengarnya...

 









Sekali lagi Encik Kelapa nak interframe... sebenarnya standby untuk dikupas.



Ulam-ulaman, kunyit, selasih, bunga dan lain-lain...
 


Bunga lagi...dan rumput...



Pokok kelapa,serai,sedikit pucuk ubi, paku pakis dan bunga entah apa namanya.



Sejenis daun keladi... sebenarnya terlalu banyak daun keladi di belakang rumah kami, beranak pinak bercampur dengan daun pandan... ada di antara daun keladi itu dijadikan hiasan oleh orang tua kami disebabkan daunnya yang unik dan cantik, seperti yang terlihat pada gambar-gambar di atas.
 


Ianya seperti daun sup, cuma rasanya agak kuat dan tentunya asing kepada mereka yang tidak mengenalinya dengan lebih rapat lagi... selamba jer tumbuh di lantai tanah halaman rumah kami.


Sejenis pokok kaktus tapi nama khususnya saya tak tahu...
 


Tu dia... bunga-bunga cinta Puan Rambutan... dapat dilihat juga Puan Jambu di sebelahnya.



Himpunan 'kepala' kelapa yang sudah siap melalui proses 'grooming', membotakkan diri. Hanya tunggu dibelah dua sebelum dimesin untuk mendapatkan santan asli. Jangan lupa airnya dan 'tumbung'.
Buah-buah terap yang masih bergetah tangkainya  itu baru siap 'dituai' dari pokok untuk dibuat sayur masak lemak sama macam cara memasak lemak nangka muda.

Untuk memastikan hayat bunga-bunga emak 'panjang umur', segar, cantik selalu... emak cuma guna tanah sawit jer... tak payah susah-susah beli baja itu ini. Just sedia pasu yang dibeli di tamu dan botol minyak, plastik beras, tayar lama. Kebiasaannya adik-adik lelaki saya yang akan mengambil sedikit tanah di ladang kelapa sawit. Pernah sekali tu emak menanam daun pudina menggunakan medium tanah dari ladang kelapa sawit... waduh saiz daun pudina itu SEBESAR TELAPAK TANGAN ORANG DEWASA! Sampaikan saya confuse... boleh makan ke tidak daun ni, besarlah sangat, hohoho...

Gambar-gambar di atas saya snap ketika kami sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan salah seorang adik lelaki saya, pada tahun 2011 yang lalu. 
 Di kampung halaman saya, bergotong royong secara tradisional itu masih lagi diamalkan. 

Walaupun penat, tapi seronok bukan?


love,
monalizahrais