Saturday, January 12, 2013

BERSEDEKAH MEMURAHKAN REZEKI

Assalamualaikum, kurang sejam lagi kita akan memasuki fasa awal malam. Hari ini sepanjang hari laptop saya online, sebabnya saya mengikuti perkembangan terkini perhimpunan kebangkitan rakyat, anjuran pembangkang di stadium merdeka. Tidak terjadi sebarang peristiwa yang tidak diingini, semuanya berjalan lancar, berdasarkan maklumat di facebook rasmi PDRM. Adik saya turut terlibat mengawal kelancaran traffik dan keselamatan - berada di pihak polis. Semalam dia call saya, ketika itu adik saya bersiap sedia di PULAPOL, Jalan Semarak untuk membuat persiapan bertugas hari ini.
 
 
Bersedekah memurahkan rezeki - rezeki bukan hanya dalam bentuk wang ringgit, tetapi dalam pelbagai cara antaranya nikmat kesihatan, kebahagiaan ataupun dipermudahkan kesusahan kita. 
 
Jika hari ini kita menolong meringankan beban orang lain atau keluarga kita sendiri, lain hari kita tidak tahu akan ada yang menolong kita ketika kita dalam kesusahan. Ceritanya begini, seperti biasa kami suami isteri akan berbelanja barang dapur dan keperluan rumah setiap dua minggu sekali. Tetapi hari itu kami berbelanja keluar dari kebiasaan. Setelah berpindah kerja ke tempat baru, suami saya menerima gajinya hanya sebulan sekali, berbanding tempat kerja lama, dua kali dalam sebulan.
 
Ok, barang yang hendak dibeli pun disenaraikan. Dan kami pun shoppinglah, sampai waktu hendak balik rumah, melihat plastik barang yang lebih banyak berbanding biasa kerana itu kali pertama kami berbelanja untuk sebulan sekali, kami sama-sama ketawa, macamlah kami datang ke sana guna kereta, padahal setakat naik motor sahaja. Dan ligatlah fikiran kami memikir macam mana hendak membawa timbunan barang tersebut. Saya katakan kepada suami, jangan bawa motor laju-laju, perlahan-lahan sahaja, lagipun bukannya jauh dengan rumah, berjarak hanya +- 15 minit perjalanan dan bukannnya jalan sesak pun.
 
Sedang kami mengatur barang untuk disimpan di bakul dan dipegang oleh saya sendiri di belakang, kami disapa oleh seseorang yang tidak dikenali. Dia menawarkan untuk membantu kami membawakan barang-barang, dia ketika itu juga berbelanja di kedai yang sama bersama isteri dan seorang anaknya lingkungan  usia 3 tahun.
 
Dia bertanya kami tinggal di mana dan kami memberitahunya. Sambungnya lagi, dia juga melalui jalan yang sama, apa salahnya sebahagian barang kami ditumpangkan di keretanya untuk meringankan beban. Kami menolak secara baik, dengan beralasan tidak ingin menyusahkannya. Akhirnya dia terpaksa mengalah, itupun sebaik sahaja kami menaiki motosikal, dia masih belum bergerak lagi, masih lagi memandang kami kalau-kalau kami berubah fikiran. Ketika motor kami mula mengarah ke jalan raya, barulah dia menghidupkan enjin keretanya, bergerak tidak jauh dari kami. Hanya setelah beberapa ketika, barulah orang yang baik hati itu menghala menuju haluannya sendiri.
 
Kenal tidak, tak pernah jumpa pun, tanpa dipinta bermurah hati menghulurkan bantuan kepada kami. Di bandar besar yang kebanyakkannya hanya memikirkan diri sendiri dan keluarga sahaja, jarang sekali kita terjumpa orang seperti itu. Entah-entah tanpa kita sedari, mungkin kita juga termasuk kategori yang mementingkan diri sendiri. Mohon dijauhkan daripada perilaku yang tidak baik. 
 
 Sebelum kami berbelanja hari itu, sebenarnya kami ada mengirim sedikit wang kepada emak, dan tidak lama selepas itu, peristiwa inilah yang terjadi. Kami suami isteri terfikir, sejak kami mengirim wang kepada emak ( ibu dan bapa mertua saya sudah lama meninggal dunia, sejak kami suami isteri belum berjumpa dan berkahwin lagi, sekarang tinggal emak saya, arwah bapa pergi Oktober 2011 ), banyak urusan kami yang dipermudahkan, berulangkali kami mengatakan mungkin ianya berkat bersedekah wang ringgit selain saya sendiri secara peribadi tersembunyi menghantarkan doa berterusan kepada orang tua kami setiap kali selesai solat fardhu.
 
Kita tidak tahu perbuatan mana yang menghasilkan timbangan pahala yang berat, yang pasti perbuatan baik mendapat balasan baik dan begitulah sebaliknya. Bulan lepas, motosikal suami 'buat hal' sehingga terpaksa ditolak ke bengkel motor yang berdekatan. Dekat tak dekat, menolak motor rosak payah juga tu kan memerlukan banyak tenaga, berjarak +- setengah jam berjalan kaki. Risaunya saya ketika itu, memikirkan keselamatan suami.

Di luar jangkaan, ada seorang anak muda tiba-tiba mendekati suami, menghulurkan bantuan menolak motor kami sehingga sampai ke bengkel. Sudah tentu suami menolak tetapi anak muda itu bersungguh-sungguh hendak membantu. Ringan sedikit bebankan. Menurut cerita suami saya lagi, melihat anak muda yang menolongnya itu serta merta mengimbas kenangan bahawa suami saya pernah menolong orang yang tidak dikenali juga, motornya sedang rosak di tepi jalan, dan dia menolong orang tersebut. 
 
Sekarang azan Maghrib sedang berkumandang, stop kat sini dulu, saya nak mandi dan solat...
 
 
 
 
  
 
 
 

NOSTALGIA TINGGAL DI ASRAMA

Assalamualaikum... hari ini Sabtu, hujan sekejap di hujung malam, sekejap mendung berselang seli cerah pada pagi ini. Cuaca seperti tengah 'moody'.
 
Pengalaman tujuh tahun tinggal di asrama semasa bersekolah di SMK. Elopura (Bestari) Sandakan terlalu banyak, semuanya manis-manis belaka, maksud saya suka dukanya menjadi sesuatu kenangan yang sangatlah indah untuk diingati sekali-sekala. Saya membayangkan, sekiranya saya menulis setiap kenangan itu di dalam bentuk sebuah buku... tebalnya bukan main lagi kan. Tujuh tahun! Alhamdulillah...
 
Lain orang lain pengalamannya...memang itulah lumrahnya. Malam tadi, sebenarnya sekitar jam 2 pagi saya dan suami tiba-tiba mengimbas kenangan masing-masing semasa tinggal di asrama sewaktu sekolah menengah. Sekolah dan daerah serta tahun yang berlainan. Beza usia saya dan suami, 8 tahun.
 
Semuanya bermula ketika saya bercerita kepada suami satu status rakan fb yang berkongsi tentang soalan berkaitan penakut kepada seorang ustaz. Dia menyatakan masalahnya ialah setiap kali dia hendak tidur di atas katilnya itu, dia mesti terbayang seolah-olah ada orang atau hantu di bawah katilnya dan sukar sekali dia membuang imaginasi itu. Kemudian  dia meminta petua daripada ustaz berkenaan. Ustaz itu bergurau mengatakan senang saja caranya iaitu jangan tidur di katil yang ada tiang/berkaki! Kemudian barulah dia memberi doa-doa yang patut diamalkan untuk membuang rasa takut yang tidak berasas itu.
 
Asrama kami dan cerita-cerita hantu tidak dapat dipisahkan. Walaupun nampak sangat tidak logik malah ada yang ketara dibuat-buat ceritanya... tetap sahaja menakutkan kami sehinggakan tidur malam terbawa-bawa ketakutan itu. Maklum, zaman saya pada masa itu bukannya seperti sekarang, zaman facebook, twitter, instagram dll. Sekarang, apa sahaja maklumat ada di hujung jari dan rujukan senang didapati, bermula dari gosip sehingga ke ilmu agama.
 
Katil di asrama kami dua tingkat, tilam pula jenis single, muat untuk seorang. Penghuni bilik seramai 8 ke 10 orang biasanya, katil 4 atau 5 buah, bergantung kepada saiz bilik. Bantal, satu untuk seorang. Hendak bantal lebih? Beli sendiri. Ketika cerita-cerita seram hangat tersebar di asrama, katil ini kami tolak rapat-rapat sehingga menjadi seperti katil jenis 'king size'. Kemudian masing-masing berebut mengelak daripada menjadi orang yang paling tepi, kononnya posisi sebegitu mudah diganggu. Dan kemudian sekiranya 5 orang baring di katil yang sudah dirapatkan itu... orang yang ketiga, orang di posisi tengah itu pun kononnya menjadi perhatian 'dia'.
 
Yang paling menggemparkan... sekiranya cerita tentang penceroboh mengambil alih. Cerita ini memang ada benarnya, kerana ketua warden kami pada masa itu mempunyai 'teropong canggih', setiap malam dia akan 'mengintai' di asrama perempuan menjaga kami semua. Nasib baik dia mengajar sesi petang, kalau sesi pagi parah juga tak cukup tidur dibuatnya.  Awal-awal lagi dia mengingatkan, jangan buka langsir tingkap bilik... nanti dia ternampak kami tengah seksi dan sebagainya.
Ketika cerita penceroboh berleluasa, kebimbangan kami memuncak. Yang baiknya, walaupun ada di antara kami yang berselisih faham disebabkan banyak perkara, situasi genting ini membuatkan kami bersatu hati. Yang selalu kami lakukan, selalunya menggabungkan penghuni dari dua bilik berkumpul di satu bilik ketika tidur malam...  takut macam mana pun... suasana ramai itu seperti penyapu lidi bukan, satu lidi mudah dipatahkan kerana rapuh, tetapi banyak lidi yang dikumpulkan tidak mudah dipatahkan.
  Dan, tiba-tiba juga kami ada pengawal peribadi sementara- terdiri daripada pelajar asrama senior lelaki yang 'bertugas' meronda keliling asrama bergilir-gilir. 
 
Saya tidak pernah terserempak dengan penceroboh atau 'bayang-bayangnya' seperti yang selalu digembur-gemburkan. Difikirkan secara logik, kawasan asrama kami ini berhampiran hutan dan tidak jauh dari situ ada penempatan yang didiami oleh pekerja luar. Menguatkan lagi asas cerita. Pencuri? Menghampiri cuti sekolah, selalunya cuti yang seminggu dua lamanya, kejadian kecurian biasa terjadi, malah seluar dalam pun kena curi! Baju sekolah dan tudung sekolah saya dulu semuanya dibuat sendiri, cuma beli kain sahaja, emak saya yang menjahitnya. Malah baju kurung saya pun emak juga yang jahit. Ketika remaja, saya tidak pernah membeli baju kurung yang sudah siap dijahit.
 
Jadi, setiap kali pakaian sekolah saya hilang dicuri walaupun sudah ditulis nama malah kadang-kadang dijahit tanda untuk mengelakkan daripada tertukar dengan kawan lain... emaklah yang paling sedih dan susah hati. Mana tak sedihnya, kalau baju hilang maknanya kena jahit baju baru, beli kain lagi. Tidakkah itu menyusahkan dan perlu keluar RM yang sepatutnya digunakan untuk membeli barang dapur dan keperluan sekolah..  Emak saya cekap menjahit, sepasang baju kurung sekejap sahaja disiapkan tetapi tentunya tidak berbaloi disebabkan dicuri begitu sahaja oleh si panjang tangan.
 
Tudung saya gunting dan jahit sendiri (jahit tangan). Di tepi kain sekeliling tudung itu, untuk mengelakkan benang terhurai, kami 'matikan' lebihan benang menggunakan lilin. Malah untuk mengeraskan tudung, kami sapu kain licin itu dengan lilin kemudian digosok dengan seterika. 
Kami diwajibkan memakai tudung dalam dan labuh tudung mesti menutupi dada.
Bercinta? Juga satu isu yang sukar dielakkan, setakat minat dalam diam, kira ok lagi tapi yang parahnya sering sahaja mereka yang bercinta ini mencari peluang 'dating' sama ada di kawasan sekolah atau di luar waktu sekolah. Melakukan yang 'ringan-ringan'. Alhamdulillah, saya terhindar daripada terjebak gejala ini. Emak sangat tegas, melarang saya daripada bercinta semasa di zaman sekolah, malah selalu mengingatkan saya sehingga jemu kedengaran ditelinga, hahaha...
 
Histeria? Semua orang pun tahu, tidak perlu diulas panjang-panjang. Ketika situasi tegang ini memuncak, selalunya saya akan curi-curi keluar balik rumah, kiranya mengambil kesempatan dalam kesempitan, warden tidak ada masa memikirkan siapa yang keluar curi-curi kerana dia terlalu sibuk menenangkan keadaan asrama. Bukannya warden tidak tahu, tapi dia tak cukup tangan untuk handle semuanya.
 
Bermacam-macam cerita, tak dapat semuanya diluahkan di sini, akan saya ceritakan berperingkat-peringkat di lain kali. Seterusnya saya ingin berkongsi secebis kenangan kisah suami saya ketika bergelar pelajar.
 
Di hujung minggu, suami saya meminta kebenaran keluar asrama kerana dia perlu bekerja untuk mendapatkan duit poket, membayar yuran sekolah, membeli buku dan keperluan diri. Dia bekerja sebagai pemotong rumput, sehari diberi gaji RM 30, Sabtu dan Ahad, dapatlah dia duit sebanyak RM 60, lebih dari cukup untuk belanja seminggu. Dulu-dulu kan nilai wang sepuluh ringgit sahaja pun sudah cukup besar nilainya, boleh beli macam-macam. 
 Kadang-kadang dia ikut dengan pakciknya, menjadi pemotong daging lembu, agak lumayan, sehari RM 50 jadi untuk dua hari dapatlah dia RM 100.
Sambung suami saya lagi, kakaknya pada masa itu berniaga udang di pasar, tetapi kalau dia membantu kakaknya berniaga, dia cuma diberi RM10! Kedekut kakak ipar saya ini, opps jangan marah ya kakak ipar, tapi realitinya dia memang terlalu berkira dan cerewet tentang apa saja perkara  yang berkaitan dengan RM. Pendapat saya macam tu lah, berdasarkan sudah beberapa tahun kami berkahwin dan mengenali kakak ipar saya ini.
 
Kesalahan yang sering saya lakukan - keluar tanpa kebenaran, nasib baik setakat itu sahaja, itupun sekadar balik rumah atau keluar sekejap melihat-lihat Tamu hujung minggu di bandar Sandakan.  Emak yang paling risau setiap kali saya keluar curi-curi, sebabnya dia bimbang saya dibuang asrama. Kehidupan kami ketika itu sangat susah, lauk ayam yang dianggap mewah hanya dapat dinikmati hanya pada waktu perayaan, itupun daripada jiran-jiran. Baju saya hanya beberapa helai, tidak sampai pun 10 helai dan diulang-ulang pakai. Jarang sekali membeli baju baru. Kalaupun perlu membeli yang baru... kena betul-betul pastikan harganya dahulu supaya tidak membazir dan tahan lama. Minuman seharian hanya kopi, sebab kopi harganya murah, ada yang dibeli secara timbang dari pasar payung-payung. Sekarang pasar itu sudah tiada, sudah digantikan dengan bangunan pasar yang berwajah moden. Saya perlu kekal tinggal di asrama, sama ada suka atau tidak, kecuali asrama itu hancur dibom dan tidak dapat didiami lagi. (Sungguh, bukan main-main punya, maksud saya, itu sahaja pilihan yang ada ketika itu).
 
Orang tua saya menegaskan, apa juga perasaan yang saya alami ketika tinggal di asrama, saya perlu kuatkan semangat untuk kekal tinggal di sana, atau tidak dapat meneruskan persekolahan kerana faktor kemiskinan ditambah lagi jalan rosak dan masalah pengangkutan.
Panjang pula bebelan saya hari ini, apa pun kena stop dulu di sini, InsyaAllah disambung di lain hari.