Monday, February 15, 2016

ASSALAMUALAIKUM ABANG DRESSAR.

Assalamualaikum… 

*ini siaran tertunda* ditaip beberapa hari sebelum saya masuk wad di Htar.


Awal pagi hari ini – 2 Februari 2016 agak mendung di luar sana. Yang penting dalam hati ada matahari, angin bertiup mesra, perut dah beralas sarapan, tak gitu? Membuka tirai tahun 2016 ini di blog saya yang secomel tuannya… rupa-rupanya cerita tentang Abang Dressar. Amboi tajuk, ada elemen jiwang tak berkarat yer. Lalalalala….kita biasa dengar perkataan doctor dan nurse, tapi Dressar? Jom kita selidik, jom. Oleh kerana yang menaip cerita ini wanita, so saya sengaja letak tajuk sebegitu, hehehe…jangan marah na, kita gurau dan santai jap. (Dressar/PPP perempuan pun ada juga)



Ok, kita mulakan cerita. Demam? Demam batuk selsema di bulan Januari 2016, ianya agak ganjil bagi saya. ‘Jadual’ demam saya kebiasaannya pada bulan puasa atau selepas raya. Ketika mood perayaan dan balik kampung. Faktor perubahan cuaca serta perjalanan ke tempat-tempat berlainan – corak makan minum tidur saya berubah ketika itu.


Secara peribadi, saya kurang gemar klinik, hospital. Benci tu tidaklah, saya tak suka sakit sebenarnya, penat berlingkar di katil melayan sakit tu. Saya respect mereka yang boleh bekerja di tempat-tempat sebegitu. Tak semua orang boleh bekerja menghadap karenah manusia yang macam-macam ‘stail dan warna’ ni, saya sendiri berada di tempat keramaian sudah cukup rimas. Saya selesa berada dalam persekitaran yang sunyi sepi – seperti library.

****************************************************************************************************


@Demam batuk dan selsema@



Mula-mula sakit tekak, rasa tak sedap badan, membawa ke batuk seterusnya selsema. Saya dan suami terus ke klinik swasta. Ok, doctor periksa suhu, tekak, tekanan darah, tanya itu ini dan bagi ubat. Done. Makan ubat tapi rasa macam tambah teruk. Entah itu proses nak baik atau entahlah. Tiba-tiba saya teringat saya pernah ternampak papan tanda Klinik 1 Malaysia. Gerak hati saya mengatakan klinik ni dekat dengan rumah kami. Ditambah sedikit rasa ingin tahu, saya bawa suami ke sana.

*************************************************************************************************



@Klinik 1 Malaysia, Batu Belah, Klang@



Cari dan cari dan jumpa. Tak jauh manapun, inilah klinik yang paling dekat dengan rumah kami. +- 5 minit. Kalau kemaruk sangat nak jalan kaki pun… memang sampailah juga, lagi jauh ‘perjalanan’ ke  sana sini kalau kita shopping dalam pasaraya. Ibaratnya gitulah, nak menunjuk betapa dekatnya jarak rumah kami dengan Klinik 1 Malaysia dekat Batu Belah ni. Cara mudah nak ingat -  Restoran Nasi Kukus Sotong Besar, Klang. Kawasan Kristal Klang Commercial Centre.


Di kaunter – nurse tanya pernah datang ke tidak, then mintak IC, tanya saya sakit apa. Nurse beri kita nombor giliran. Kemudian kita bayar RM 1.Masuk dalam jumpa Dressar. Cek suhu, tekak dan bagi ubat. Done. Balik rumah. Masa ni saya seorang saja patient, ruang menunggu hanya ada suami saya.

(hish kenapa macam hambar jer ayat-ayat aku nih?)


Warganegara – RM 1, Bukan warganegara – RM 15. Waktu operasi 10 am - 10 pm.  Tiada sijil cuti sakit di klinik ini. Kalau nak MC, pergi tempat lain.  Saya dapat ubat panadol, selsema, batuk, tekak. Dressar yang periksa kita, dan dia yang bagi kita ubat masa tu juga. Beza dengan klinik-klinik swasta yang saya pernah pergi.

Di klinik swasta, dekat kaunter register tu, staf cuma tanya pernah datang ke tidak dan minta IC kita. Dia tak tanya kita sakit apa. Kemudian kita tunggu giliran, masuk dalam bilik jumpa doctor, keluar bilik dan tunggu sekejap lagi staf panggil kita untuk ambik ubat.


Pencarian saya tentang Klinik 1 Malaysia membawa kepada banyak maklumat berangkai. Ada banyak benda yang saya tak tahu atau tak perasan sangat selama ini, nampak tapi tak nampak, melalui dapatan di laman maya – facebook, mr. google dan yang segaris dengannya.

Antara yang menarik di facebook – page I AM Paramedic dan Penolong Pegawai Perubatan. Korang bacalah page ini, dari sisi pandang dan pembacaan  saya sebagai ‘orang luar’ bidang ini, banyak dapatan menarik. Membaca isu-isu semasa berkaitan kesihatan sekali pakej membaca ruangan komen – aneka warna rasa ada lucu, sedih, marah, gembira etc. Saya mengambil masa +- 3 hari, menekuni, ’membedah’ kedua-dua page ini.


Pendapat saya – page I AM Paramedic medium perkongsian pengalaman pahit manis suka duka, gelap terang pekerjaan mereka. Sayang sungguh, page ini ‘terhenti’ pada tarikh May 3, 2014, saya suka part status yang ada elemen lucu, santai tapi sentap. Page Penolong Pegawai Perubatan masih aktif sehingga sekarang, mood bahasanya lebih ‘serius’ dan terarah, ada banyak Q & A, ada sikit beza mood bahasa berbanding page I AM Paramedic.  Ibarat page I AM Paramedic seperti kita melihat seekor semut di atas kertas putih, page Penolong Pegawai Perubatan bilangan semut tu dah banyak, membentuk kesatuan. Kalau susah sangat nak faham kita tamsilkan begini – page I AM Paramedik mewakili sebatang lidi vs page Penolong Pegawai Perubatan ibarat seberkas lidi/penyapu lidi.



PPP/MA/AMO/Dressar/HA – siapa mereka? Tak mau cakap lebih-lebih, korang ‘serbu’ jer page di atas tu, untuk pencerahan. Kita sama-sama ada capaian internet, amat mudah menggali, menapis, membersih,menggilap maklumat. Taip saja di ruangan ‘search’ di fb tu – I AM Paramedic, Penolong Pegawai Perubatan.

***********************

@Dresser & memori zaman kanak-kanak@


Mengimbas, tahun-tahun 80-an sehingga awal 90-an…iaitu zaman kanak-kanak saya, saya lebih mengenali dressar dan klinik berbanding doctor dan hospital. Satu-satunya klinik kesihatan yang terdekat dengan kampung kami – Klinik Kesihatan Sungai Manila, Sandakan. Saya masih ingat lagi, peranan dresser sangat penting, ketika itu kemudahan asas elektrik, air dan jalan raya di kampung kami – peringkat Enam memang sedih, pedih, sayu, layu. Tiba-tiba kau sakit tengah malam dan keadaan semakin teruk, dresser inilah yang di cari. Orang harapan beb!.



Kampung, kita pun tahu sikap prihatin, mengambil berat antara satu sama lain beza dengan masyarakat bandar. Dressar, nurse dan semua staf kesihatan di klinik Sungai Manila serta penduduk kampung kita saling kenal, macam satu family gitu. Saya pernah keracunan makanan, waktu itu mood hari raya, saya muntah dan cirit birit, klinik tutup masa tu, arwah bapa bawa saya ke klinik dan kami ke rumah dressar, (rumah dressar dan klinik dekat jer) dressar dengan senyum dan ramah membawa kami ke klinik, ok, dia periksa dan bagi ubat.

Waktu itu kalau kita cirit birit kita mesti dapat ‘air garam’ (entah saya tak tahu nama sepatutnya), banyak pula tu +- satu beg plastik yang saiz kecik tu. ‘Air garam’ itu pek-pek seperti minuman 3 in 1 saiznya. Ada perisa original, oren. Dari kaca mata saya ketika itu sebagai seorang kanak-kanak kampung yang naïf dan miskin…layanan dressar itu ibarat antara ayah dan anak. 


Sekarang semua kemudahan asas air, elektrik dan jalan raya jauh lebih baik, malah ada beberapa anak kampung saya memilih pekerjaan nurse dan dapat  berkhidmat di Klinik Kesihatan Sungai Manila. Tahun lepas kebetulan saya demam sewaktu balik kampung, datang ke sini, beza memang berbeza. Penambahbaikan itu ada dan kita nampak hasilnya.

Di sini, tempat kami duduk sekarang – Batu 3 Jalan Kapar, Klang, ada banyak pilihan klinik dan hospital, swasta atau kerajaan. Terkini, Hospital Shah Alam yang dekat pusat komersial Seksyen 7 tu. Saya dan suami kalau nak cepat kita terus ke klinik swasta, bawa duit lebih, kita mengejar masa ke tempat kerja, sekiranya tak terikat masa kerja kami ke klinik kerajaan.

****************



@Bismillah, Assalamualaikum, salam@



Seterusnya, ini bahagian terbaik yang ingin saya kongsikan. Alhamdulillah, setakat ini saya tiada pengalaman buruk mendapatkan rawatan sama ada di klinik/hospital kerajaan atau swasta sepanjang bermastautin di daerah Klang, Selangor ini.  Semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan.


Di klinik 1 (nama samaran, klinik swasta) – saya ketuk bilik dan masuk bilik doctor. Doctor senyum mesra, menyapa saya duduk. Dia senyum dan saya pun senyum. Hilang debar beb! Pergh!!! Raut wajahnya terserlah sifat keibuan. Kemudian setelah saya duduk, dia pandang saya, kemudian doctor wanita ini senyum sambil berkata Assalamualaikum, dia hulur tangan bersalam, apa khabar Monalizah, bertanya serba sedikit tentang saya, tentang Sabah, kemudian barulah dia bertanya apa sakit saya. Selesai rawatan, tentulah saya ucap terima kasih, dalam hati nak salam ke tidak, alahai debar datang balik. Nak keluar macam tu jer rasa tak sedap hati you!. Sudahnya kita ucaplah terima kasih dan salam dia, hihihiii…dia siap doakan kita supaya cepat sembuh. (rasa macam jumpa ustazah + doctor = 2 in 1 gitu).



Klinik 2 (swasta, doctor lelaki)

Doktor lelaki, bukan bangsa Melayu, lingkungan 50 – 60 tahun usianya. Layanan terbaik juga, ada satu ketika saya berulang alik ke kliniknya beberapa kali, banyak juga nasihat kesihatan yang diberi. Ini doktor, setiap kali saya ke kliniknya, selesai rawatan, sambil-sambil dia tulis preskripsi ubat tu, saya perasan dia akan perhati beg yang saya bawa dan dia tanya begini – “awak kerja apa, kerja di mana?”. Dan kebetulan pula, saya memakai handbag berlainan setiap kali ke kliniknya. (adakah handbag saya itu mempengaruhi caj rawatan?)



Klinik 3 (swasta, doktor lelaki)

Sebelum beri rawatan, dia tanya saya kenapa nama saya Monalizah. Siapa beri nama itu, katanya nama Monalizah (tapi dia sebut Monalisa) sedap didengar, kemudian dia bercerita tentang potret Monalisa, ala.. yang lukisan tu… pelukisnya Leonardo de Vinci dan bla bla bla…saya sudah lupa dia cakap apa, barulah dia tanya apa sakit saya.

Satu ketika yang lain, masih klinik sama, doktor wanita. Yang ini nampak ‘ganas’ sikit. Dia tanya saya sakit apa, lepas tu ayat dia jenis teka teki gitu. “Ni mesti awak ni kurang minum air, kena banyak minum air baru cepat sembuh”. Lepas tu dia tak percaya apa yang saya cakap aduh!  Jom tepuk dahi sama-sama.



Klinik 4 (kerajaan, lelaki)


PPP lelaki Melayu, Islam. Sangat friendly, mesra. Sebelum cek suhu badan, kita dengar dia sebut Bismillah, pergh! ‘Imam’ siapakah ini? Kemudian dah dapat ubat + sedikit nasihat kesihatan… rutin harian seperti biasa, saya makan minum ubat diberi sehingga habis. Saya rasa ada sedikit perubahan tentang sakit yang dialami, tapi ubat dah habis. Terpaksalah saya datang semula ke klinik  ini dan kebetulan berjumpa orang yang sama. Pun masih friendly, mesra. Ayat yang sedap didengar “dah kurang dah”. Sambil saya berharap tak perlu datang lagi dan cepat-cepat sembuh sepenuhnya. Alhamdulillah, dah baik pun.

*************************************



@Debar tak?@


Saya tak pasti kalau anda mengalami perasaan yang sama. Adakah hanya saya seorang atau kalau ada yang sama pengalaman – kita geng! Sebelum ke klinik, sakitnya bukan main, rasa macam dunia ini kita yang punya, ibarat hanya kita seorang yang sakit amat, orang lain kononnya tak faham apa yang kita rasa. Tetapi, melangkah masuk jer dalam bilik doktor boleh pula rasa cool rasa macam ‘sihat’ sekejap.


Di rumah batuk macam nak rak, sakit kepala melantun-lantun, hidung macam nak tercabut disebabkan tersumbat. Sampai klinik, semua part sakit-sakit yang ‘mengganas ribut taufan’ kat rumah tadi seolah-olah ‘tidur’ sekejap. Hairan, hairan, poning kepala den memikirnya. Bukankah sepatutnya dah depan doktor tu, semua sakit tu keluar sekejap, tak payah explain bagai kita sakit itu ini. Hehe…


Kita kalau interview kerja, kita duduk berhadapan/setentang dengan penemuduga. Tapi kalau jumpa doktor/PPP kita duduk sisi meja bukan? Debar tak?Kadang-kadang rasa macam blur, speechless, hahaaa….



Stetoskop (betulkan saya kalau ejaan ini salah) – kita pakai rantai, mafla, tapi doktor/PPP letak benda ni kat tengkuk/leher dia. Pandang muka dia jer sekali pakej dengan stetoskop. Agak-agak kalau kita sihat tapi buat-buat sakit sebab dah gila bayang  nak minta MC – can you imagine, apa yang ada dalam kotak fikirnya? Mungkin riak wajahnya cool saja, tapi bila dia dah cek suhu badan kita, bila stetoskop dia tu dah singgah kat badan kita… korang sambunglah sendiri.



*************

@Syukur@


Sedikit pengalaman demam batuk selsema di negara orang, huhuhu… sedih pedih nak! Rasa nak terbang jer balik Malaysia. Haha… manja. Kebetulan masa tu isu demam MERS tengah hangat. Dari dalam flight lagi kami disuruh isi borang pengesahan kesihatan. Sampai di imigresen bersoal jawab tentang borang tu.


 Saya dan suami pergi ke sebuah perkampungan tradisional, tiada  kemudahan asas bekalan air, ada sedikit bekalan elektrik dan jalan raya kampung ada yang berturap ada yang tidak. Saya diberi semacam panadol cuma namanya lain – ‘snowball’, lagi satu ubat saya dah lupa namanya. Ubat yang dibeli di kedai. Alhamdulillah kebah juga demam saya.


Di negara X, my ipar dan biras pesakit kencing manis dan darah tinggi, mendapatkan rawatan doktor di klinik, kemudian beli ubat dekat ‘Drug House’, ya, Drug House, di sini di Malaysia semacam farmasi lah cuma di negara X namanya ‘ganas dan berterus terang’ gitu. Ubat yang dibeli ada caj VAT 11% a.k.a GST kalau di Malaysia. Ubat kita ada caj GST tak?


Dapatan terkini melalui page seorang pembekam, dia berkongsi cerita seorang patient yang bekerja dengan syarikat pengeluar ubat terkemuka dunia…menurut patient si tukang bekam ini, apabila TPPA dilaksanakan sepenuhnya, automatic harga ubat lebih mahal daripada biasa. Contoh, sebelum TPPA… ubat-ubatan berpaten dan generik agak murah, masih mampu beli lagi, setelah TPPA, apabila HANYA ubat-ubatan berpaten dibenarkan untuk diguna, ubat generik tidak lagi boleh dihasilkan, ini bermakna kita tiada pilihan, membeli ubat-ubatan yang berpaten sahaja. Ubat-ubatan dalam skala kecil mungkin boleh hadap lagi, bayangkan dalam skala besar? Allahhu’alam. Ingatan saya terus ‘terbang’ teringat joke di laman sosial – ‘ORANG MISKIN DILARANG SAKIT’.



Oklah, tata…setakat ini sahaja untuk cerita abang dressar, cerita seterusnya saya akan berkongsi pengalaman masuk wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.







 love,
monalizahrais
Bt.3 Jln Kapar,
15 Februari 2016 - Isnin.




















Saturday, October 24, 2015

TIADA TAJUK

Assalamualaikum...
Di luar rumah jerebu, dalam hati jerebu tak? Semalam baru tengok Bajet 2016, agak-agak jerebu tak rasa? 
Petang ini tajuk cerita - tiada tajuk. Reason? Disengajakan tiada tajuk, cuma tulis apa yang terlintas di kepala. Buat warming up dulu, sudah lama tidak tulis cerita baru di blog. Tahun ini 2015 - baru 6 entri aduiii... sibuk sangatkah?

Satu - cerita nasi bujang.
Di facebook saya terbaca nasi bujang. Katanya cara-cara nak jimat untuk student senang saja. Lunch RM2, petang -tidur. Malam RM2, so total RM4 sehari. Bermacam komen lucu dapat dibaca sebaik ianya viral.
Mengimbas, zaman saya bergelar student UM dan duduk menyewa di luar - saya beli barang dapur dan masak sendiri. Sekitar tahun 2001-2004. Saya duduk Vista Angkasa, tingkat 14, Blok 8. Sewa sebulan RM1200. Duduk 10 orang, bil api + bil air + sewa rumah kami sepakat seorang RM150 setiap bulan. Deposit kami mula-mula duduk situ RM 3000.

Selalunya RM150 itu berbaki purata RM5 -RM10 seorang, cukup untuk keperluan rumah sewa kami - penyapu, mop, sabun cuci pinggan, sabun untuk bersihkan bilik air, plastik sampah.
Setiap hujung minggu kami cari kerja part time di Mid Valley. Tambang sehala RM 0.50, sehari cuma seringgit
Seronok dan rindu mengimbas kisah lalu. 
Pasar malam setiap Jumaat dan Isnin. Tapak pasar malam berdekatan Flat PKNS 17 tingkat, seberang jalan Vista Angkasa. Deretan warung pun sudah tiada, berganti laluan beratap + banyak tempat duduk sambil tunggu bas kat situ sekarang).
Sekarang tapak pasar malam itu sudah tiada, flat yang berdekatan dengan Flat PKNS itu juga sudah dirobohkan diganti bangunan yang sedang dalam pembinaan, setelah siap nanti bersebelahan laluan antara LRT stesen Universiti ke stesen Kerinchi. 

Kalau saya tak silap ada signboard besar kat tepi jalan tu - KL gateway. Info lanjut just taip KL Gateway (Kerinchi Redevelopments) I Kuala Lumpur (Kerinchi). 

Saya hanya ingin mengimbas kisah lalu. Sebelum berdirinya bangunan megah itu. Dari sisi pandang survival sebagai student yang menyewa di luar kampus.
Sambil diiringi rasa rindu, manisnya mengenang suka duka zaman belajar.

Ok, di pasar malam Kerinchi ketika itu (2001-2004) harga telur mengikut saiz bermula 20 sen - 30 sen. Telur harga 30 sen pun dah cukup besar gred A atau B.
Nasi ayam RM2 - ada ayam seketul + sehiris tomato + sup + kicap + sambal merah, nasi penuh. heaven tak? 

Nasi lemak SERINGGIT - telur rebus SEPARUH, timun, ikan bilis, kacang, sambal.
Nasi kerabu biru berlauk daging bakar, telur masin, solok lada,ada kerabu, sambal tumis, sambal ikan +kelapa parut berharga di bawah RM 5. Nasi kerabunya banyak, kalau kita bahagi untuk makan 2 orang, cukup kenyang perut kita. Saya syak penjual nasi kerabu tu memang sengaja melebihkan nasi sebabnya dia faham kot keadaan student yang selalu ikat perut ni (terpakai untuk student yang asal keluarga miskin saja, yang kaya tak faham sangat benda-benda begini, ops..)

Saya bawa RM10 beli lauk seminggu pun cukup. Dada ayam 2 ketul free hati ayam tak sampai RM5. Selebihnya beli sayur, telur dan ikan bilis. Tapi dalam jumlah kecik lah. Yang saya kira jika sebanyak itu saya membeli pada tahun ini 2015 - paling cikai RM20.
Ikan bilis kita request RM5 maunya 4 genggam banyaknya, ikan bilis kita tahu banyak kategori, tapi sekarang kalau request RM5  +- 2 genggam ikan bilis yang jenis gred bawah2 tu.

Beza memang berbeza. Masa tu roti canai 50 sen sekeping, kuah dadar + sambal. Dan seringgit untuk roti telur.
Segala aneka nasi goreng ayam, pataya, kampung dan yang segaris dengannya semuanya di bawah RM5. Bawang putih bawang merah dapat beli seringgit sebungkus setiap satu, banyak pula tu. Harga sayur sen-sen pun ada, 50sen, 70 sen ikut berapa cekak kita ambil yang jika sekarang paling cikai seringgit ke atas harganya.

Memang tidak wajar membandingkan harga dulu dan sekarang, sesekali mengingat masa lalu. Cuba bayangkan di masa hadapan, 10 tahun ke hadapan 2025, agaknya macam mana harga makan minum ketika itu?
Sekarang roti canai RM1.50 dan roti telur RM2.40 di kedai keling berhampiran rumah kami ini. Nescafe tarik RM2.50.
Hari ini ada pasar malam di Klang, tapi semangat ke pasar malam semakin pudar. Sebabnya banyak harga tak logik dek akal kita. Tambah lagi esok hari minggu, adalah rutin kami ke pasar besar, tunggu esok sajalah beli stok lauk seminggu purata RM50 dihabiskan, berbaloi-baloi.
Minggu lepas mendengar cerita adik saya tentang harga makanan yang kena hadap setiap hari...jauh berbeza di zaman saya belajar. Lucu tapi terjadi - kuah  kena charge sampai seringgit. Sekarang zaman belajar adik saya di City University itu jauh beza dengan zaman saya di Universiti Malaya 15 tahun lepas.

Char kuay teow, kuay teow kerang zaman saya menjadi student berharga purata RM 2-RM3, kerang banyak, udang pun banyak. Burger yang dekat LRT University itupun murah-murah juga, sesuai bajet pelajar.


Smartphone/telefon pintar.
 Mula-mula dengar monopod dan selfie di facebook, rasa pelik sangat, ada pro dan kontra di fb. Lama-lama jadi biasa, kita dah tak rasa apa. Seterusnya bermula telefon picit-picit siap taip sambil tutup mata yang nokia 3310 yang glamour tu sehingga lah sekarang touch screen sampai tak reti menulis guna pen/pensil. Minggu lepas adik saya bercerita lecturer nya sudah pakai I Watch.  Yang hologram tu, siap tunjuk bangga dalam kelas lagi, katanya.Wow! selama ini tengok dalam movie saja, tak sangka ada dalam realiti bukan. Tapi belum masuk pasaran Malaysia katanya. Cuba bayangkan kita duduk makan di fastfood restoran KFC, McD, Kenny Rogers ... makan sambil layan internet ala-ala skrin hologram. Touch screen tak main dah, sudah ketinggalan zaman. Ha! dapat bayangkan macam mana? Untuk carian buka saja youtube bertimbun video I watch, teknologi untuk masa hadapan, katanya.

Drone.
Bab drone ini saya ada keinginan untuk memilkinya di masa hadapan, InsyaAllah. Itu jer nak cakap.

Cerita tiada tajuk berhenti di sini, nanti sambung lain kali. Cerita ke Pulau Palawan, KL - Sandakan - Kota Kinabalu - Manila - Palawan (Puerto Princessa City - OringOring),  saya bercadang membuatnya dalam bentuk buku. INSYAALLAH ada rezeki terbit, Alhamdulillah. Bila? Tak tahu, sedang diusahakan, semoga dipermudahkan, amin...

love,
monalizahrais
24 Oktober 2015 Sabtu
Kapar, Selangor
 

 









Monday, August 24, 2015

KOTA KINABALU - MANILA - PUERTO PRINCESSA, PALAWAN - ORING-ORING,BROOKE'S POINT (BAB 1)

Assalamualaikum,

13 Julai 2015 - 24 Julai 2015 saya dan suami berpeluang jalan-jalan ke negara luar, Filipina. Jom dengar cerita,  pengalaman saya dan suami +- 10 hari berada di sana.
Pertama kali saya mendengar Palawan Island, lima tahun lepas. Akhirnya, siapa sangka tahun ini jejak kaki ke sana. Semuanya di luar jangkaan, saya dan suami cepat-cepat beli tiket Kota Kinabalu - Manila - Puerto Princessa, Palawan seterusnya ke  Oring-Oring, Brooke's Point.

Hendak mulakan cerita macam mana ya? Bukan main lagi idea dalam kepala melompat-lompat, semuanya tak sabar nak masuk blog, hehehe...Ok, satu demi satu, tulis ikut giliran.

*************************

13 Julai 2015 - Isnin
Kota Kinabalu International Airport (Terminal 2)

Kami sepatutnya menaiki penerbangan Airasia Z2 502 yang dijadualkan berlepas jam 11.30 pagi dan tiba di Manila jam 1.40 petang. Tapi delay lah pula, alahai, delay sehingga jam 2.30 petang baru pesawat berlepas. Kami sampai di Manila +- jam 4 petang, penerbangan kami seterusnya pada jam 5.40 petang ke Puerto Princessa, Palawan. 

Tuan-tuan dan puan-puan... meh sini saya nak cerita hal kami di airport. Disebabkan flight delay, hati kami kemain runsing, berdebar tak sudah. Maklum, kali pertama datang Filipina, tak dapat nak bayang macam mana situasi sebenar berbanding carian maklumat di rumah pakcik Google.
Sebelum itu, saya agak bimbang sebabnya melalui dapatan di internet... Ninoy Aquino International Airport ini dilabel sebagai 'the bad worst airport' di dunia. Maaf cakap, tapi saya rasa ada betulnya juga, kami sampai di Terminal 3 (NIA) khusus untuk penerbangan antarabangsa, seterusnya kami perlu ke Terminal 4 untuk penerbangan domestik - Manila ke Puerto Princessa (PPS), Palawan. Jangkaan tiba di PPS jam 7.05 petang/malam. Terminal 3 dan Terminal 4 rupa-rupanya bangunan yang berasingan, kita perlu ambik shuttle bas atau teksi.

Dari dalam flight KK ke Manila, pramugari memberi kertas survey, kertas kecik kaler kuning - pengesahan kesihatan. Agaknya ada kaitan isu MERS di Korea yang tengah hangat diwarwarkan di berita. Saya sangka kertas tu saja-saja jer, kita cuma tanda YES/NO. Dah si pramugari cakap Tagalog, bahasa dia, saya buat tak tau, memang tak faham pun, hahaaa...
Pramugari dia cantik, ada ciri-ciri pelakon yang selalu kita nampak dalam tv, sebenarnya mirip pelakon telenovela La Usurpadora yang famous di kaca tv kita sekitar tahun 2002 kalau tak silap ingat, kalah Marian Rivera, sungguh tuan-tuan dan puan-puan, saya tak tipu, haha...Ada beberapa penumpang lelaki asyik mengusik dia saja, macam-macam yang di tanya, di tambah lagi dengan lenggok manja ala-ala gedik gitu alahai... kita jadi penonton slot drama petang yer, siaran langsung.

 13 Julai 2015 tengah bulan puasa tuan-tuan dan puan-puan, dugaan sungguh. Sampai sahaja di Terminal 3, pelancong asing termasuklah kami ini setelah melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam, selain scan bagasi (banyak kali scan aduiii)... serah borang pengesahan kesihatan itu (saya siap kena tanya lagi macam-macam disebabkan apa yang saya tanda) nasib baik husband boleh berbahasa Tagalog, senang sikit urusan. Saya mengalami kesukaran berbahasa Inggeris dengan pekerja di airport, sebabnya cara sebutan mereka berbeza daripada kita di Malaysia. Malah penggunaan ayat-ayat mereka juga banyak beza dengan 'stail' bahasa Inggeris yang sering kita gunakan.

Dari Terminal 3 kami buru-buru ke Terminal 4 dengan sesatnya, lapar, dahaga, tercungap-cungap memang cukup pakej. Berpeluh-peluh kami lari sana sini dengan bagasi yang ala-ala backpacker tu. (Saya suka bab backpacker tu... rasa macam pelancong sangattt). Tanya sana sini semuanya maklumat bercanggah. Akhirnya kami keluar bangunan direct ke pondok pak guard. Tanya punya tanya (husband cakap Tagalog) mujur ada seorang pengawal keselamatan tolong hantar kami ke Terminal 4. Keretanya Vios pergh!!! stereng belah kiri. Dia pandu kereta siap pasang bunyi siren lagi, cilok sana sini, masa semakin singkat ketika itu jam menghampiri 5.00 petang. Kami bagi dia tips 500 pesos /P500. 

Standard price untuk tambang taxi antara terminal P200 ke P300. Tak jauh manapun, tapi dengan trafik sesak, hon sana sini, sekali dengan wayar elektrik berterabur/serabut kat atas jalan raya, bertambahlah sesak perasaan kami dibuatnya. Sampai sahaja di Terminal 4, sambung lari lagi, jam menunjukkan tepat 5 petang, kebetulan staff Air Asia tengah jerit-jerit di kaunter - "Last call! to Puerto Princessa". Beg tak boleh masuk kabin, kena masuk kargo, lebih muatan katanya, alih-alih kami bayar 300 pesos / P300.

Pengajaran sungguh tuan-tuan dan puan-puan... jangan jadi macam kami. Beli tiket pastikan 'gap' masa mencukupi untuk 'tempoh bertenang'. Airport NIA beza banyak dari KLIA. Nak tukar flight antarabangsa ke domestik senang jer di tempat kita semuanya satu bangunan, tapi di Manila ada 4 Terminal berbeza, dan setiap Terminal kena shuttle bas atau taxi. Ada juga shuttle bas percuma, cuma dalam kes kami yang flight delay ... memang haru kejadiannya.

Eh, dari tadi saya asyik membebel tak sudah, mana gambarnya? Jom layan gambar.


 Kami tukar duit awal, supaya tak kelam kabut. RM1760 dapatlah 20 ribu pesos/PHP 20,000. Kayo mokcik yo! Ni kalau tukar rupiah dah jutawan dah.







 Menarik nafas lega, setelah menjadi atlet mee segera sekejap, kaki saya sakit sangat, suami pula saya risau asmanya berulang. Alhamdulillah semuanya baik-baik saja, setakat berpeluh, terkapus-kapus bilang orang Sabah. Ketika ini, menunggu flight berlepas menuju Puerto Princessa, Palawan.





 Antara pemandangan Metro Manila ketika kapal terbang berlepas. Bangunan tinggi tak sempat snap.





Total - P600. Terkejut pramugari tu kami minta macam-macam menu, siap tanya kami lagi kalau-kalau kami mampu bayar. Ok, P600 = RM48, +-

 




Menghampiri Puerto Princessa, awan dia tebal-tebal belaka, macam-macam bentuk. Melihat air laut di bawah, langsung tiada kapal atau perahu di dada laut. Amazing!




Sekejap lagi mendarat di airport Puerto Princessa, Palawan.
Menghampiri waktu Maghrib.
Ketika ini hujan turun.
Hujan gerimis.

 
Jom bergambar sementara tunggu beg keluar.





Ok,abaikan muka tak ready tu, fokus kepada tulisan Welcome To Palawan, Every Island an Adventure!

 
Sampai sahaja di airport Puerto Princessa, berkumandang lagu seakan lagu kebangsaan/patriotik, melalui muzik dan lirik yang saya faham hanyalah Puerto Princessa yang diulang berkali-kali.
Sementara menunggu kakak ipar dan abang ipar menjemput kami, suami berlegar-legar mencari simcard Filipina.
Hampir setengah jam menunggu, sampailah mereka.
 
Ada yang memegang signboard/placard, menunggu orang penting kot.

 
Hujan turun,riuh rendah suara orang ramai dan kenderaan - tricycle (roda tiga), van pelancongan, kebanyakannya tricycle. Saya perhatikan, banyak pelancong Barat yang bergerak sendiri tanpa melalui agensi pelancongan, lepas ambik bagasi dengan selambanya memanggil tricycle menuju destinasi mereka. Saya dengar El Nido, Underground River antara yang disebut-sebut oleh pemandu tricycle. Palawan Island terkenal melalui pantai-pantainya yang cantik, bersih serta lokasi menyelam  yang jernih, belum tercemar oleh arus moden. Kamu taip saja Palawan Island di Google, semua info ada di situ. Saya nak cakap lebih-lebih pun tak reti, hehe...
Dekat youtube pun ada banyak video tentang Pulau Palawan. Cari, jangan tak cari. Dan datanglah ke sini, ianya berbaloi-baloi, sekiranya kamu seorang pencinta alam sekitar atau jenis suka menyelam... sesuai sangat.
  
Episod seterusnya, kami menaiki trooper menuju Puerto Princessa City, Palawan. Deretan gambar dan video di bawah, tempat kami menjamu selera. Layan, jangan tak layan. 













Di seluruh kawasan ini menempatkan aneka hotel dan restoran, terserah kita pilih ikut citarasa kita nak menginap di mana. Memang kawasan pelancong sungguh, elemen alam semulajadi diserap di segenap sudut binaan restoran dan hotel. Cantik, memang cantik, mendamaikan. Kreatif. Arak bebas dihidang mengikut permintaan customer, faham-faham jer lah, ini Filipina bukan Malaysia. Kena pula tu kawasan pelancongan.

Restoran Malaysia? Kotak fikir saya tak henti-henti berfikir tentang ini, selain isu makanan halal. Hendak juga saya bertanya tentang restoran Malaysia,mana tau ada kat sini, tapi tersekat di fikiran, di hati, tak terluah langsung! 

Ok lah saya lompat sekejap di penghujung cerita, hari terakhir saya dan suami di sini dalam perjalanan menuju airport Puerto Princessa... kami ternampak restoran Malaysia, alangkah indahnya rasa, yahoooo!!! Tapi kami tak sempat singgah, ketika itu kami buru-buru menuju airport. Cerita selanjutnya akan saya nyatakan pada bab terakhir.

Info lanjut ada di facebook : Seri Pal-Malaysia Hotel and Restaurant.
Dia punya tagline - In the Heart of Palawan.
Siap ada cop halal lagi.
 



Selesai makan di Haim Chicken Inato, kami menikmati waktu malam di bandar Puerto Princessa. Bandarnya kecik,  pi mai pi mai tang tu saja.
Mengikut pandangan saya, ianya seperti bandar terbiar, serabut dan sesak mata memandang. Bertentangan sungguh dengan kawasan tadi. 
Gambar di atas dan di bawah antara pemandangan di kawasan pasar malam. Ala-ala waterfront. Tepi laut. Orang minum arak merata tempat, sambil makan-makan dan lepak. Anak-anak remaja dating, berpeluk cium, duduk di tembok tepi laut.
Tak sanggup saya tangkap gambar suasana tu.
 
Tu  dia! Ini kalilah. Sanggup tak?
Saya sanggup ambik gambar saja untuk kenang-kenangan.

 
Basikal untuk disewa, banyak kanak-kanak dan remaja menyewa basikal ini, mereka kayuh pusing-pusing di sekitar pasar malam dan tembok tepi laut.

 
Leganya... waktu yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba jua. Apalagi kalau bukan rehat - tidur - mandi. Makan sudah, jalan-jalan pun sudah. Itu kunci pention house, semacam chalet/homestay. P800/day, sebilik 2 pax sahaja dibenarkan. Mereka sangat tegas tentang ini, untuk bilik 2 pax tapi sekiranya kita 3 pax, akan dikenakan harga lain atau disuruh tukar bilik. Katil sebiji + bilik air + tv + aircond + almari kayu saiz kecik dengan beberapa hanger disediakan. Nak solat pun ada ruang taklah sempit sangat bilik. Musim perayaan seperti Krismas, kena tempah bilik awal-awal, cepat penuh oleh tourist, mengikut cerita biras saya. 
 

Pagi-pagi lagi suami saya keluar cari sarapan, melucukan apabila tidak ada makanan bungkus/take away. Sudahnya inilah kejadiannya. Usai sarapan, gelas hantar semula ke restoran. Yang macam bihun goreng tu, sebenarnya suhun kalau di Malaysia. Sebelum beli, suami tanya dulu ada babi tak makanan tu, nasib baik tak ada. Huhuhu... berhuhu lah kita yer...itu saja yang disahkan halal.
 Menghampiri waktu tengah hari, sambil kemas-kemas barang untuk check out sekejap lagi, kakak ipar datang membawa sarapan roti dan kuih muih. 14 Julai 2015 kami gerak dari Puerto Princessa City menuju Brooke's Point. Perjalanan mengambil masa +- 4 ke 5 jam. Seperti perjalanan Sandakan - Kota Kinabalu.

Pastikan kamu ada travel adaptor. Saya ternampak ada dijual di kedai D.I.Y, di tempat kita. Satu malam di pention house - smartphone, kamera, powerbank, langsung tak dapat charge. Lain sikit dorang punya extension. Ini kami beli dekat NCCC Mall, Palawan. Di kedai hardware.

Sebelum gerak menuju Brooke's Point, kami ronda-ronda dulu sekitar bandar Puerto Princessa. Sekarang gambar-gambar mood siang hari. Ok, gambar time 0_*.
 Gambar-gambar di hadapan pention house.





 Cuba teka, ini apa?
Saya amati betul-betul... sabut kelapa, dia buat sampai jadi macam tu? 
Kreatif sungguh.



 Tengah renovation. 

Anjing bebas berkeliaran di sekeliling kita. Kat luar rumah, bukan dalam rumah, huhuhu...Saya rasa pelik sangat, kurang selesa sebenarnya. Tapi nak buat macam mana, itulah realitinya. Sebelum kami bergambar kenangan, kami halau anjing dulu. Sudah 'line clear' baru senang hati. Ok, stop sini sekejap, episod seterusnya bersambung pada entri akan datang, tungguuuu....

 

love,
monalizahrais
Selangor
24 Ogos 2015, Isnin. 






 











Friday, August 21, 2015

FACEBOOK, WHATSAPP - PRIVACY, PRINTSCREEN, SCREENSHOT

Assalamualaikum...

Asyik rindu saja dengan blog ini tapi jarang-jarang sangat ada kat rumah, huhuhu.. Sibuk sangat kat rumah lain - facebook, instagram dan whatsapp. Kaya rumah kita rupanya. 'Rumah' laman sosial gitu, tamu pun banyak, kan? Tak habis-habis bersembang siang malam, sembang zaman gadget gitu. 

Ni nak cerita kat korang, kongsi-kongsi cerita apa yang menarik kat facebook, menarik fantastik kebabooommmm!!!!!... dari sudut pandangan saya untuk 'storage' di blog ini. 
Ok, begini ceritanya, semalam tiba-tiba facebook suami online dan upload banyak gambar. Kebanyakannya gambar semasa kami bercuti ke Filipina baru-baru ini. Tentang percutian ke Filipina itu... akan saya cerita pada lain hari, InsyaAllah secepat mungkin, sebabnya mood kenangan semasa berada di sana masih fresh lagi.

Kembali kepada facebook suami saya yang tiba-tiba online dan upload gambar tu. Sudah tentu kami terkejut, kouta internet smartphone suami sudah habis, malah husband ketika itu ada bersama saya di sebelah. So? Siapa yang online ni? Jeng jeng jeng... suspen.
Meneliti setiap gambar yang diupload itu... kami perasan ianya gambar-gambar yang terdapat pada smartphone suami yang sudah bertukar pemilik. Sebelum pulang semula ke Malaysia, anak buah minta telefon tersebut, dan suami pun bagilah 

Silapnya kami sebagai pemilik asal telefon, kami tidak sempat 'line clear' gambar, data, malah akaun e-mail husband yang passwordnya sudah diset automatic. Tu pasal facebook husband saya dapat dibuka dan online oleh tangan-tangan ghaib. Bayangkan sekiranya e- mail suami  bersambung terus dengan akaun bank? Nauzubillahiminzalik. Mohon dijauhkan. Mujur smartphone itu baru sekejap digunapakai oleh suami, jadi tak banyak sangat gambar atau data yang 'nakal-nakal' tersimpan di situ. 
Yalah kita ni suami isteri kekadang nak usik pasangan kita tangkap curi atau candid kan... untuk tatapan sendiri. Tentulah ada aurat yang terdedah misalnya isteri tak pakai tudung atau husband tak pakai baju, just seluar pendek saja. Then mesej yang nakal-nakal... yalah suami isteri.

Tindakan pantas kami terus ubah password facebook suami dan deactivated, untuk elak benda-benda tak elok. Harap-harap selepas ini tiada lagi benda sebegini terjadi, boleh jatuh fitnah tau!. Mohon dijauhkan fitnah akhir zaman. Semoga ALLAH melindungi kita daripada segala jenis kejahatan yang nyata atau tersembunyi, mudah-mudahan aib dan kelemahan kita dilindungi daripada tersebar kepada umum, amin...

Ok, yang itu dah siap story kat korang, next... app Whatsapp di smartphone saya sudah  remove/uninstall. Telefon asyik bunyi tak henti, hal penting dan tak penting semuanya bercampur baur, penuh telefon dengan bermacam gambar yang kadang-kadang menyemakkan mata memandang, maaf cakap tapi semua orang yang ada aplikasi whatsapp, saya pasti anda mengalami situasi ini. Ada sekali tu smartphone saya 'hang' sekejap sebab lama tak buka whatsapp akibatnya mesej masuk bertubi-tubi.

Selepas remove whatsapp rasa tenang jer, tercari-cari jugalah kebiasaan sebelum ini cuma awal-awal ini agak janggal lama kelamaan terbiasalah tu. Untuk orang berniaga, app whatsapp dan facebook ini penting, berbeza kalau tujuan kita untuk suka-suka sekadar mengikut peredaran zaman, mengikut adat ber gadget, tanpa sedar terlalu banyak masa kita terbuang sia-sia. Lagipun untuk hal-hal penting, pasti keluarga dan rakan-rakan sejati kita akan call kita, yang tak penting tak adanya nak call saja-saja buang kredit telefon kan. Sesetengah perkara saya agak kuno, tradisional. 

Lagipun  yang ada whatsapp sekarang ni banyak yang ada facebook dan aktif juga ber online nya. Pi mai pi mai tang tu juga. Ini mengikut pengamatan dan pendapat saya, mungkin berbeza pendapat dengan anda, it's ok masing-masing punya fikiran tersendiri. 

Bagus ada gadget ini, terserah kita hendak manfaat cara masing-masing. Untuk orang berniaga, seakan wajib kena ada facebook dan whatsapp. Jimat dan memudahkan berurusan.
Saya terfikir, mungkin saya akan kembali berwhatsapp menggunakan nombor baru, sebelum ini, tiba-tiba jer  kena add dalam group, payah juga kalau nombor sekarang sudah tersebar.

Seterusnya cerita beralih ke Facebook, yang menarik perhatian saya tentang isu 'share yang mengundang reaksi negatif' dan isu novel lucah. Sekarang sangat mudah menyimpan 'bukti', tersalah taip sikit pun boleh mengundang padah, dengan adanya kemudahan 'printscreen', 'screenshot', rakan maya kita boleh menyimpannya atau share dengan dunia di luar sana. 
Contohnya semalam viral screenshot pengantin solat sunat di masjid setelah nikah. Yang dipertikaikan pakaian pengantin kurang sesuai dibawa bersolat. Beribu komen negatif vs positif siap gaduh-gaduh lagi di ruangan komen, aneka warna komennya, kalah warna pelangi  :D

Entah siapalah yang memulakan gambar tersebut, memuatnaik ke laman sosial seterusnya viral. Sekejap saja dah jadi artis mee segera, padahal tak nampak pun muka pengantinnya, yang tukang gambar tu fokus gambar bahagian belakang pengantin terutama sekali punggung pengantin perempuan, alahai kenapa begitu jadinya, apa motif sebenar individu yang tangkap gambar tu.
 Kenapa tak tegur saja masa tu? Tunggu pasangan pengantin siap solat dan tegur secara berhemah. Kalau kita niat baik, InsyaAllah orang lain pun mudah terima. Itu lebih baik berbanding ambil gambar - upload kat fb - viral, seolah-olah baling batu sembunyi tangan. Apabila kita menjaga aib orang lain, aib kita pun terjaga juga InsyaAllah.

 Isu novel lucah yang dikatakan semakin menular penjualannya, best seller pula tu, turut mengundang kemarahan di fb, malah ada beberapa penulis terkenal turut highlight isu ini di laman fbnya. Dapat dilihat banyak komen-komen 'membaham' si penulis novel lucah tapi yang anehnya ada yang menyokong novel sebegini.

Saya sebagai pembaca novel tempatan (bukan novel lucah ya) mula-mula terkejut juga, saya sangkakan novel lucah ini sudah 'tenggelam' sebabnya dapat dilihat lambakan novel tempatan mudah didapati di kedai-kedai buku besar, kecik, malah buku-buku berkaitan agama juga banyak yang best seller. Walaupun banyak novel cinta di pasaran, tentunya berbeza dengan novel lucah kerana fokus lucah tu lebih detail, 'sulit dan persendirian', mendebarkan, menghanyutkan si pembaca, menjentik imaginasi.

Mengimbas ketika saya remaja sekitar tahun 90-an, setiap kali ke library bandar mencari rujukan assignment, ada satu 'port' - rak menempatkan novel lucah ini. Novel dari seberang, nama penulisnya saya sudah lupa tapi hampir semua bukunya memang jenis lucah. 'Port' novel lucah ini sentiasa penuh oleh pelajar lelaki. Kali terakhir beberapa tahun sudah saya berkesempatan ke library itu dan meminjam beberapa buku terjemahan, ada beberapa helai yang dikoyak? entahlah tapi halaman tersebut memang ada adegan berahi cumanya dinyatakan secara berlapik/tamsilan. Pun buku best seller juta-juta punya jualan malah sudah diadaptasi dalam bentuk filem pun... pulangannya juta-juta dolar juga. Datang dari Barat, tak hairan sangat kan. Yang menjadi isunya sekarang, novel lucah tempatan yang berlegar di sekeliling kita, berbahasa Melayu.

Saya tak nak komen lebih-lebih, cuma saya membayangkan dalam lingkungan terdekat kita ada adik beradik, anak buah, sepupu, anak sendiri tentu kita tak sedap hati sekiranya mereka terdedah, terbaca, membaca novel lucah ini. Menulis novel lucah untuk kaut untung cepat, pendapatan hasil jualan novel lucah mungkin lumayan tapi dari sisi ilmunya, impak jangka masa panjang dibimbangi tidak berkat, bayangkan duit itu diberi makan untuk keluarganya. 

Apa lagi ya nak tulis? Sebenarnya mata dah berat sangat, isyarat nak tido ni,ok lah tido dulu, nanti sambung story morry bercuti dekat Palawan Island, Filipina.



love,
MR,
Selangor
21/8/2015 Jumaat


 



 




Monday, April 20, 2015

KONGSI RESEPI KONGSI ILMU - JANGAN KEDEKUT

Assalamualaikum...

35`C, suhu hari ini, sekarang ini di Jalan  Kapar, Klang mengikut smartphone saya. Panas kan, baru 35`C tu.
Boleh rasa bahang panas matahari, jom minum lebih kerap untuk kesihatan kita yang lebih baik.
Terbayang-bayang pula air kelapa muda di seberang jalan tu, godaan...

Ok, terus kepada tajuk di atas. Di Facebook sahaja, bertimbun-timbun resepi, carilah apa sahaja resepi roti, nasi, kuih muih, kek, manisan dan yang segaris dengannya, semua ada. Suka hati kita nak pilih yang sesuai ikut citarasa masing-masing.

Malah ada rakan fb lelaki yang turut sama 'share' resepi di wall fbnya. Meriah memang meriah, sama naik meriahnya seperti isu semasa yang lain. Fb saya pun macam stor resepi sudah, 'share' saja lebih, buatnya entah bila hahaaa...
 Sebenarnya begini ceritanya... ada satu member group whatsapp dia kerja dengan orang perseorangan jual sayap ayam panggang.

Kami bertanya resepi, tapi katanya bos belum bagi resepi lagi, kecuali kalau kerja lama dan ikhlas. Bos cuma bagi bahan dan kawan saya itu hanya menjual sahaja.
Bukan sesuatu yang ganjil lebih-lebih lagi bagi seorang peniaga makanan untuk merahsiakan resepi makanan istimewa mereka. Alasannya untuk mengelakkan persaingan, dan itu juga salah satu cara supaya pelanggan tetap hanya membeli makanan daripada mereka, seterusnya keuntungan bisnes pun bertambah.

Di sekitar Klang, saya melihat sayap/kepak ayam panggang hanya dijual oleh Sabahan. Tapi sayangnya tidak semua kawasan perumahan ada peniaga sayap ayam panggang. Yang terdekat dengan kami hanya di Sungai Pinang itupun kena tunggu pasar malam hujung minggu, kalau teringin sangat memakannya. Yang lain ada di Bukit Tinggi. 

Kata kawan saya lagi, bos mereka itu memang monopoli bisnes sayap ayam panggang di beberapa tempat dan capaian keuntungan sehari ribu-ribu katanya. Seronok di dengar tapi dalam masa yang sama saya rasa terkilan juga (saya bukan peniaga).
Maksud terkilan yang saya nyatakan dari sudut WARISAN. Ya, warisan makanan itu. Resepi yang hebat, digemari ramai orang sekiranya dirahsiakan lama-kelamaan resepi itu akan pudar dan hilang ditelan arus masa. Ramuan itu akan berubah sedikit demi sedikit sehingga hilang ramuan yang asli yang asal yang dirahsiakan itu.

Zaman saya kanak-kanak, arwah bapa saya setiap kali terima gaji peneroka, dia akan membeli sayap ayam panggang untuk kami, dapatlah seorang satu. Sebulan sekali kami akan makan sayap ayam panggang. Harganya 50 sen satu, sekitar era 80-an sehingga 90-an. Sekarang standard price RM 1.50 ke RM 2 setiap satu. Rasa sayap ayam panggang itu masih saya ingat sehingga sekarang... tetapi belum pernah lagi saya jumpa rasa yang sama di mana-mana tempat saya beli sayap ayam panggang walaupun penjualnya warga Sabah.

Jadi, apa maksudnya itu? Ini menunjukkan ramuan sayap ayam panggang pakcik yang selalu arwah bapa saya beli itu sudah pupus atau tidak tersebar secara meluas resepinya atau... dirahsiakan. Mungkin diturunkan kepada generasi seterusnya, cuma lambat laun ianya akan berubah sedikit demi sedikit ramuan itu kerana sudah tentu si penerima resepi tadi akan dipengaruhi faktor sekeliling... kenaikan harga kos untuk ramuan vs untung yang diperolehi. Adakah berbaloi atau tidak mengekalkan ramuan yang sama atau perlu ubahsuai/tolak tepi sebahagian bahan yang digunakan.

Contoh lain, untuk menguatkan hujah saya. Ada satu program masakan di tv, misi pengacara itu menjejak resepi tradisional, mencari mereka yang pakar tentang makanan yang hampir pupus ditelan ombak dunia moden. Pengacara itu berjumpa dengan seorang pakcik membuat dan menjual mee 100% kaedah tradisional. Di situlah rumah pakcik itu berhampiran dengan kilang kecilnya dan kedai tempat dia berniaga mee. 

Usianya sudah lanjut, katanya hanya menunggu masa untuk 'pergi' bila-bila masa sahaja. Ditanya oleh pengacara itu kenapa pakcik itu sanggup memilih kaedah ini walaupun mesin membuat mee sudah dicipta. 
Jawab pakcik tu lebih kurang macam ni - dari usia kanak-kanak sehingga sekarang hanya tinggal dia seorang sahaja yang masih bertahan dengan kaedah tradisional yang rumit itu. Warisan dari orang tuanya. Proses membuat mee bermula jam 3 pagi sehingga lewat tengah hari. Tidak ada orang muda yang sanggup meneruskan pekerjaan ini malah anaknya sendiri pun tidak berminat. Dia hanya ingin membuat mee sehingga akhir nyawanya, itu sahaja.

Di dalam interview itu, ditanya rahsia ramuan mee yang dibuatnya. Pakcik itu mengatakan tidak ada apa-apa rahsia, mungkin kaedah tradisional yang digunakannya penyebab mee itu lebih segar dan sedap berbanding kaedah membuat mee menggunakan mesin. Dan yang menariknya... dulu-dulu ketika harga barang masih murah, dia menggunakan TELUR ITIK sebagai salah satu ramuan mengenyalkan mee namun begitu disebabkan sekarang semua barang naik harga, pakcik tu tiada pilihan terpaksa beralih menggunakan TELUR AYAM sebagai salah satu ramuan dalam pembuatan mee. 

Kan... faktor semasa menyebabkan ramuan asli itu berubah. Pengacara itu agak terkejut, tidak menyangka TELUR ITIK pernah digunakan sebelum digantikan dengan telur ayam. Saya sendiri pun baru tahu tentang TELUR ITIK  itu. 

Contoh lain yang dekat dengan kita - ketupat tradisional vs ketupat segera. Sekiranya tidak ada usaha dokumentasi ketupat tradisional (nasib baik ada, yang terpantas capaian di youtube berlambak cara-cara membuat ketupat tradisional guna daun kelapa) mungkin kita pun terkejut mendengar cerita tentang ketupat tradisional. Ok, cerita contoh sudah siap dan saya perlu U-turn ke dalam cerita sayap ayam panggang,  @_@

  Sayap ayam panggang Sabah ini kategori street food/makanan jalanan. Bukannya terhasil seperti KFC yang sentiasa berkembang maju dan terus melebar 'sayapnya' di seluruh dunia. Tidak semua yang menjual sayap ayam panggang sekarang sedap rasanya, malah ada yang keras dagingnya atau tak rasa pun ramuannya.

Ops! sorry, terlebih terus terang pula. Semalam, hari Ahad saya cuba buat resepi puding raja/royal puding yang asalnya adalah sajian istana. Melalui carian di blog-blog masakan... resepi asal dari istana itu sudah boleh dinikmati rakyat biasa dengan tersebarnya resepi, antaranya melalui buku masakan bertajuk Air Tangan Tengku Puan Pahang.

Sekarang sebaran ilmu/resepi puding raja mudah didapati di hujung jari sahaja. Malah ada yang bisnes jual puding raja dan hasilnya, laku keras.. Ilmu yang tersebar lebih berkat... dapat membuka pintu rezeki yang lain malah cuba bayangkan! Rangkaian pahala yang diperolehi sentiasa berpanjangan antara yang mengajar dan diajar, inilah contoh ilmu bermanfaat yang diamalkan.

Saya sendiri sudah terbayang-bayang INSYAALLAH balik raya nanti... saya hendak buat puding raja  bersama family saya di kampung.
Kita respect kepada blogger masakan di laman maya yang sudi berkongsi resepi mereka. Bukan mudah menulis resepi, upload gambar tetapi semuanya dikongsi percuma. Sesekali saya letak resepi bergambar di blog, hendak menyusun kata-kata pun adakalanya tunggang terbalik, maklumlah bukan chef.

Sekiranya kita ada ilmu bermanfaat, jangan kedekut berkongsi resepi. Rezeki Allah amatlah luas siapa tahu ilmu yang kita kongsikan menambahkan lagi rezeki yang kita ada sekarang. Rezeki tidak semestinya menjelma dalam bentuk wang ringgit sahaja, boleh jadi rezeki melalui kesihatan diri yang bebas penyakit, dijauhkan bencana dan dipermudahkan pelbagai urusan seharian.

Saya menunggu dan berharap satu hari nanti akan ada 'otai' sayap ayam panggang yang berpengalaman dalam bisnes ini sudi berkongsi rahsia resepi secara meluas contohnya muncul di program-program pagi di kaca televisyen kita. Reminder me atau beritahu saya sekiranya anda ternampak mereka di kaca tv, hehehe....

Di facebook, saya lihat mereka yang tayang gambar makanan sambil menyatakan resepi dan mempersilakan kita 'share' ramai sungguh peminat mereka, macam artis. Beza memang berbeza daripada yang sekadar tayang gambar makanan sahaja. Yang buat bisnes makanan tapi beritahu juga resepinya... saya lihat bisnes mereka semakin 'maju' semakin bertambah rakan online. Yang bisnes makanan tapi tak share resepi kurang sikit meriahnya berbanding yang share resepi tadi. 
Yalah bisnes online tentunya diukur melalui respon, komen, like yang diberikan dapat memberitahu gambaran kasar di mata kita bisnes mereka maju atau suam-suam kuku.

Semua di atas sekadar pendapat peribadi saya sahaja, di mana lagi hendak menyatakan pendapat panjang x lebar x tinggi x dalam mengikut acuan sendiri kalau bukan di blog sendiri. Kita bebas berbeza pendapat, kerana kita sememangnya berbeza antara satu sama lain, mencari musuh jauh sekali.

love,
monalizahrais
Klang,selangor
20 April 2015
Isnin