Tuesday, September 10, 2013

KAPAL TERBANG = IMPIAN

Assalamualaikum...


 by : adik jejengku


Gambar ini dilukis oleh adik saya pada tahun 2010. Saya bagi idea dan adik saya pelukisnya. Nasib baik saya simpan dalam fb, secara kebetulan adik saya itu sedang belajar di ADTEC, Shah Alam mengambil kursus penyelenggaraan kapal terbang, baru sahaja daftar masuk bulan Julai 2013, tahun ini. Kebetulan kan...

Tiba-tiba saya teringat tentang lukisan ini, walaupun ianya bukan lukisan profesional, tapi sentimental value itu, apabila diingat-ingat semula, rasa seronok dan penuh bermakna. Ditambah lagi lukisan ini menyimpan mesej yang amat mendalam.

Kata adik saya, dia tidak faham makna lukisan ini, balas saya... satu hari nanti kau akan faham maksudnya. Mungkin tafsirnya akan berbeza dengan saya, sebabnya sudah pasti pengalaman hidup kami tidak sama. Hanya sekeping gambar atau lukisan, mampu menerbitkan pelbagai makna kepada orang yang melihatnya.

love,
monalizahrais 

 

 



EXOTIC FOOD

Assalamualaikum...

Menjual telur penyu adalah satu kesalahan, begitu juga membelinya. Dendanya puluhan ribu, siap ada signboard lagi menunjukkan denda beli dan jual telur penyu, sayangnya gambar signboard tu saya letak mana entah, cari dalam fail tapi tak jumpa. Realitinya, aktiviti jual beli tetap berlangsung. Bagi warga Sandakan, Sabah, tentunya sudah lali dengan gelagat penjual telur penyu. 

Para penjual telur penyu ini sering berlegar bermula dari kawasan Harbour Mall sehinggalah sekitar Pasar Besar Sandakan.


 Telur penyu~macam bola ping pong



 sumber gambar : cari kat google


Penjual telur penyu akan menggunakan isyarat tangan ini sambil berkata "telur penyu, telur penyu". Harga sekitar RM1 ke RM2, kalau pandai tawar menawar dapatlah sebiji RM1. Masa saya budak sekolah dulu... harga sebiji hanya RM0.50 saja. Isyarat tangan 'ok' yang sering kita gunakan untuk menunjukkan ok, beres, good dan sebagainya itu ternyata menjadi 'trademark' abang-abang penjual telur penyu tersebut. 

Kebetulan seorang makcik saya dirapati oleh penjual penyu dan menunjukkan isyarat tangan ini. Makcik saya tersalah faham dan segera memarahi penjual itu kerana baginya isyarat ini berbentuk lucah. Lain orang lain cara pandangnya kan... nak kata lucu tak lucu juga... tapi itulah lain tempat lain juga budayanya.

Telur penyu oh telur penyu... sama seperti pasaran gelap, kita tahu ianya terlarang tapi yang terlarang itu tetap wujud kerana adanya permintaan dan penawaran antara penjual dan pembeli, realiti kan?

love,
monalizahrais 






 

Monday, September 9, 2013

FACEBOOK

Assalamualaikum...

Lamanya tidak update blog sendiri, fokus banyak kat facebook, dah jadi pengguna fb tegar saya sekarang maklum dah tukar gajet baharu, bila-bila masa sahaja online di fb, hendak upload gambar pun senang. Pun begitu... blog tetap di ingatan (yalah tu...). Semurah kurang RM400 untuk beli gajet Acer Z120 dan belanja internet pun tak sampai RM50, begitu mudah untuk melayari laman maya. Selama sebulan lepas iaitu bulan Ogos, bermula dari KL menuju Kota Kinabalu seterusnya Sandakan saya 'eksperimen' update macam-macam cerita termasuklah upload gambar di fb hanya menggunakan gajet jenama Acer model Z120. Sekali dengan jenama si Green (laptop kami). Mudah untuk connection line.

Sekarang pun saya online guna wifi dari Z120. Kesimpulannya... selamat tinggal broadband yang berharga RM100 tu, sebelum ini kami guna Celcom tapi kemudiannya banyak yang kurang berkenan di hati... kami STOP dan Alhamdulillah sejak sebulan lepas... kami puas hati dengan aplikasi internet Digi cuma RM48 sebulan untuk 2 GB, ok lah tu...

Paling koman pun aplikasi sosial seperti fb, tweeter, wechat, instagram, youtube dapatlah kami gunakan. Pada zaman serba pantas dan laju ini, kebanyakan info-info terkini keluar lebih dulu di laman-laman sesawang berbanding berita mutakhir di tv. Contoh, masa harga naik minggu sudah, sebelum buka tv tengok TV3 dah tahu dah harga minyak naik, dah kecohpun dekat fb, kan, kan...


Ok, inilah paparan terkini facebook saya...silakan add, jangan malu-malu yang penting niat yang baik-baik saja tau...



 

 love,
monalizahrais
 

Wednesday, July 31, 2013

SET NASI PUTIH

Assalamualaikum...
 
Set nasi putih untuk hari ini, sendiri masak bukan beli kat kedai...
 
 
 



Sambal belacan kaw2 pedas + sedikit manis, kerang rebus dan telur dadar.



Tomyam campur (ayam+sotong+udang+cauliflower), mood tomyam - light, kuah kurang pekat dan kurang pedas sebabnya sambal belacan tadi dah pedas kaw2.
 
Resepi? Saya rujuk kat internet jer... berlambak-lambak dan ada pelbagai versi.
 
cer try buat?...yang penting sodap...
 
 
love,
monalizahrais 

Wednesday, July 24, 2013

RAMA-RAMA TIN YANG CANTIK

Assalamualaikum...
 
 
 
 sumber gambar dari facebook
 
 
Pertama kali melihat rama-rama tin ini, ingatan saya segera terimbas kenangan di zaman kanak-kanak saya. Kreativiti yang dihasilkan daripada tin minuman ini seakan 'key' kepada momen tersebut. Ketika itu saya berumur lingkungan 5 atau 6 tahun, setiap kali orang tua kami pulang ke kampung halaman di Beluran terutama sekali di kampung halaman arwah bapa saya (Kg. Sg. Lidong), hiasan dinding di rumah arwah nenek sangat menarik perhatian saya.
 
Tapi bukan rama-rama, ianya berbentuk kelopak bunga, seakan bunga raya dan dicat dengan warna-warna bunga. Pada masa itu saya sangat hairan melihat perhiasan unik tersebut tergantung di dinding rumah arwah nenek. Saya sering tertanya-tanya ketika itu, siapa yang membuat 'bunga' tersebut? Dan tidak lukakah tangan si pembuatnya? Tapi tidak ada sebarang jawapan kepada persoalan saya itu disebabkan ianya hanya berlegar dalam ruang fikir.
 
Di usia dewasa ini, tentunya kita faham betapa kreativiti itu tidak mengenal medium tertentu untuk dibentuk. Bahan-bahan terbuang seperti ini yang selalunya dikutip dikumpul untuk dijual kitar semula, siapa sangka di mata mereka yang berjiwa seni ianya menjadi begitu indah sekali. Jimat kos, murah, hanya memerlukan sedikit tenaga untuk mengubah hiasan. Sekali pandang dari jarak jauh tentunya kita tidak menyangka ianya daripada tin minuman.
 
 Dan sekali lagi saya tertanya-tanya, siapakah orang yang kreatif itu? Yang membentuk kelopak bunga raya daripada tin minuman di dinding rumah arwah nenek saya? Apa hiasan itu masih ada sehingga sekarang atau sudah lama menjadi bahan buangan semula? Kali terakhir saya jejak kaki ke kampung halaman arwah bapa tahun lepas, itupun di luar perancangan kerana ipar kepada arwah bapa saya meninggal dunia. 
 
Banyak yang sudah berubah, adik-beradik arwah bapa yang dahulunya tinggal menetap dalam hanya satu rumah besar walaupun sudah beranak pinak, kini masing-masing sudah punya rumah sendiri. Sepupu-sepupu saya banyak yang sudah besar panjang, sama macam kami juga. Seakan kenangan itu baru berlalu semalaman. Seakan terngiang di telinga saya suara jerit pekik kami bermain berkejaran, bergaduh kemudian berbaik semula, alangkah indahnya kenangan.
 
 
# Agaknya lepas ni, siapa tahu mungkin saya yang akan membentuk hiasan daripada tin minuman untuk hiasan dinding di rumah kami? Siapa tahu kan?
 
love,
monalizahrais 
 
 
 

Friday, July 19, 2013

SUP TULANG

Assalamualaikum...
 
 Malam tadi punya juadah, teringin nak makan sup tulang, sesekali ok laa kan... masak ikut selera sendiri.

 
 Set # nasi putih, sambal belacan, sup tulang dan telur dadar.



Sup tulang
 


Sambal belacan - mesti pedas baru sodap!
 


Sirap limau ais
 


Sup tulang tengah dimasak
 
 
Resepi sup tulang (lembu)
 
Bawang putih dan bawang merah dihiris halus dan ditumis sehingga naik bau dan berwarna perang. Masukkan juga kayu manis, buah pelaga dan cengkih. (atau rempah sup tulang adabi).
 
Masukkan air, tulang lembu, halia dan serai yang diketuk. Juga perahan air asam jawa.
 
Tunggu sehingga mendidih dan masak sehingga daging empuk.
 
Saya tambah sedikit rempah briyani, kentang yang didadu.
 
Boleh tambah perahan limau kasturi dan kicap (pilihan).
 
 
 
 love,
monalizahrais
 
 
 
 

NOSTALGIA BERSAHUR DAN BERBUKA PUASA

Assalamualaikum...
 
Hari ini memasuki 10 Ramadhan 1434, dah 10 hari dah kita berpuasa bermakna kita bakal melepasi 1/3, lagi 2/3 menjelang Hari Raya. Yang tak seronoknya setiap kali memasuki ruangan pasaraya, lagu raya juga yang diputarnya, malas nak komen lebih-lebih nanti kurang markah puasa. Jujur, saya kurang selesa mendengar lagu-lagu raya dimainkan pada bulan mulia ini, ianya bercanggah dengan mood Ramadhan.
 
Nostalgia bersahur dan berbuka puasa, ingatan itu sentiasa bertandang setiap kali menjelang puasa. Teringat zaman kanak-kanak dan remaja di awal tahun 80-an sehingga akhir tahun 90-an... tentunya emak yang menyediakan juadah bersahur. Tidak pernah sekalipun emak culas menyediakan juadah bersahur dan berbuka.
 
Ketika itu keluarga kami lengkap dengan ayah dan emak. Mengantuk macam mana sekalipun, seingat saya, saya mesti bangun sahur bersama kedua orang tua dan adik-beradik. Puasa tak puasa... itu belakang cerita.
 Situasi yang sangat berbeza dengan sekarang, tapi itulah kehidupan. Setelah kita sambung belajar dan terpaksa merantau di tempat orang, bekerja dan berkahwin... sekarang saya yang memasak untuk sahur dan berbuka puasa - untuk kami suami isteri. Pilihan makanan berlambak di bazar Ramadhan, malas masak beli makanan siaplah jawabnya. Alhamdulillah, setakat ini, belum lagi saya membeli makanan luar untuk berbuka puasa bersama suami, semuanya dimasak sendiri.

Dulu-dulu jarang sekali kami membeli makanan luar untuk berbuka. Seingat saya, hanya sayap ayam panggang sahaja lauk yang paling istimewa yang sesekali dibeli arwah bapa, selepas terima gaji peneroka. Semalam, saya telefon emak di kampung bertanyakan juadah berbuka puasa mereka. Semuanya juga dimasak sendiri, maklum kawasan kampung bukannya ada bazar Ramadhan untuk dikunjungi.

Mengimbas, masih teringat lagi setiap kali sungkai/berbuka puasa, arwah bapa akan makan sedikit garam, sedikit sahaja kemudiannya barulah dia menjamah yang manis-manis dan menikmati juadah berbuka. Kebiasaannya kami berbuka dengan bubur dan kuih-muih yang dibuat sendiri oleh emak. Makan nasi berlauk itu kemudian, selepas usai solat terawih. Arwah bapa juga yang selesai makan berbanding kami semua, dia akan bersegera menunaikan solat Maghrib kemudian bergegas menuju masjid menunaikan solat Isyak dan solat terawih. 

Memandangkan waktu remaja saya dari tingkatan satu sehingga tingkatan enam banyak dihabiskan di asrama, saya sudah terbiasa berbuka puasa dengan hidangan nasi. Ketika bulan puasa, tray makanan kami sentiasa penuh, hidangan nasi berlauk, buah-buahan dan aneka kuih muih. Selalunya nasi berlauk itu akan habis dimakan, selebihnya buah-buahan dan kuih muih dibawa balik asrama. 
 
Setiap hari, seluruh dewan makan penuh dengan budak asrama dan ada seorang ketua yang membacakan doa berbuka puasa. Meriah memang meriah, rasa seronok pun ya dapat berbuka puasa beramai-ramai. Ketika waktu sahur sekitar jam 2 pagi sehingga sebelum Subuh, di pintu pagar asrama perempuan selalunya ada yang melaungkan "Bangun! Sahur!" berulangkali sambil menggoncang pagar asrama. Jarang sekali budak asrama perempuan atau aspuri pergi bersahur, ada tapi tak ramai. 
 
Saya sendiri seingat saya, tidak pernah bersahur di dewan makan, sekadar meneguk sedikit air dan sambung tidur sehingga tiba waktu Subuh baru saya bangun. Ketika itu saya memikirkan, betapa waktu tidur itu amat berharga, aktiviti persekolahan bermula seawal sebelum Subuh sehingga malamnya sekitar jam 10 malam... sukar sekali mencuri-curi masa untuk tidur, kalaupun tertidur hanyalah sekejap, kata orang tidur-tidur ayam, kira nasib baiklah tu dapat 'tidur nikmat' - tidur sekejap tapi nyenyak. Padat dengan bermacam aktiviti.


 Memang ada ketikanya kerinduan terhadap masa silam itu menjenguk pintu rasa kita. Nasib baiklah ada kenangan... itulah cara kita mengimbas kembali. Selain sahur dan berbuka puasa, tentu tidak lengkap dengan aktiviti berterawih di asrama. Kami diwajibkan berterawih setiap malam kecuali uzur, sesiapa yang culas, selalunya hukuman menanti. Kebetulan warden asrama kami berasal dari negeri Kelantan dan berlatarbelakang pendidikan agama  Islam pula tu. Kami berterawih di surau sekolah agama berdekatan dengan sekolah kami, hanya setelah SMK Elopura mempunyai surau sendiri barulah kami berterawih di surau sendiri. 

Berjalan beramai-ramai menuju surau sesekali mengusik sesama rakan, kami siap sedia dengan memakai telekung, perlu berjalan dari asrama menuju surau sekolah agama yang jarak jauhnya +- 500 meter. Kena pula tu bukannya semua lampu jalan berfungsi dengan baik. Bayangkan, kumpulan bertelekung putih berjalan beramai-ramai. 
Yang nakal-nakal tu sempat juga menjeling mengintai buah hati mereka. Alaa... maklum zaman remaja bukan.

Saya pernah kena denda sebab ponteng terawih, so dendanya cuci longkang asrama selama seminggu + kena mengaji di surau seawal pagi selepas Subuh dan sebelum masuk sekolah + kena ikut program kem bina semangat yang dikendalikan oleh askar. Teruk juga kami dikerjakan selama seminggu, kena jemur tengah panas di tengah padang, tidur di jalan raya di waktu tengah malam, berkawat tengah malam, lari tengah panas, bab kena marah dan jerit tak payah ceritalah, semuanya cukup, sampai berbelang muka ini yang terdedah hitam dan yang tertutup oleh tudung, putih. Perit memang perit. Ketika itu tahap prihatin ibu bapa tidak seperti sekarang. Ibu bapa menyerahkan sepenuhnya kepada guru-guru dalam proses mendidik anak-anak. 


Itu antara nostalgia bersahur dan berbuka puasa di zaman kanak-kanak dan remaja saya, nostalgia sungguh, rasa sedih pun ya apabila diingat kembali, sayangnya tetap sahaja ianya tidak dapat diputar kembali, hanya mampu dikenang...ketika itu kita tidak memikirkan banyak perkara seperti sewa rumah, bil-bil dan sebagainya, kita hanya memikirkan belajar, belajar dan terus belajar untuk masa hadapan yang lebih baik.


love,
monalizahrais