Thursday, February 21, 2013

MELAKA 3N4D 08 FEBRUARI 2013 - 11FEBRUARI 2013 BAHAGIAN TUJUH

Assalamualaikum...

 Gambar seterusnya sewaktu berada di kawasan gereja St. Paul.










Pokok besar seperti ini sukar untuk kita melihatnya di sekitar bandar, nasib baik tidak ditebang pokok ini, ada juga tempat berteduh setelah penat mendaki tangga tadi. Banyak penjual minuman dan cenderahati di sekitar kawasan ini, just sedia duit nak beli yang mana satu.








 Di dalam kawasan gereja, ada dijual lukisan yang memaparkan identiti dan sejarah Melaka. Gambar P. Ramlee pun ada, kita semua tahu, banyak juga filemnya yang berkaitan dengan Kesultanan Melayu Melaka.

Jenis lukisan yang dijual di sini - jenis oil painting, hitam putih lakaran pensil.




Bermacam jenis syiling yang dapat dilihat di dalam ini - ianya seakan perigi buta. Tidak ada description dan saya tidak tahu apa cerita di sebalik 'sangkar' ini.



Tiupan seruling menjengah di telinga sebaik memasuki kawasan dalam gereja. Dia asyik dengan serulingnya, sekurang-kurangnya dapat mengelakkan bosan barangkali sambil menunggu pembeli cenderahati.











Bahagian dalam gereja, saya menduga di atas bulatan itu sebenarnya ada tanda salib sewaktu bangunan ini masih kukuh dahulunya.




Melihat papan tanda ini, kami terus memasuki lorong menuju ke sana, kami pun hendak tahu juga macam mana bentuk kubur Belanda tu?


 Sepanjang perjalanan menuruni lorong kecil, kami nampak ini tapi tidak ada sebarang papan tanda penerangan. Saya pun tangkap gambar sajalah.
















 Besarnya akar pokok Tunjuk Langit yang berusia 120 tahun! Usia kita?



 Ketika ini kami sudah menuruni lorong kecil dan hendak turun tangga. Saya tangkap gambar sewaktu hendak turun tangga.




 Saya memasuki pintu utama ke kawasan ini dan ambil gambar dari jarak sedekat ini. Suami sudah jauh di hadapan, dia sekadar memandang sekilas kemudian terus beredar, dia sebenarnya lebih risau memikirkan kami sedang berada di kawasan mana dan sibuk mencari laluan menuju Istana Kesultanan Melayu Melaka, kalau-kalau ada shortcut di situ.

Dan nasib baik memang ada laluan, sebuah pagar dan kami pun memasuki pagar tersebut terus kepada halaman hadapan istana.


Ok,  seterusnya gambar-gambar di kawasan berhampiran... jom layan...




 RM 3 seorang untuk bergambar 



 Bye-bye...




 Yang naik bukan setakat orang dewasa, paling meriah kanak-kanak. Siap ambil giliran lagi semata-mata hendak bergambar di tepi tingkap, tak semua tingkapnya dapat dibuka, tu yang jadi macam tu...


 Jom naik keretapi... hehehe...


 Sungai Lukut  21111, wah sudah lama saya tidak membaca tulisan jawi...sejak tahun satu di sekolah rendah saya sudah tahu membaca tulisan jawi, pakcik saya yang ajar.



 Kononnya, tapi pintu tutup, hehehe...



 Pilihan aksesori dan pakaian  untuk bergambar.


















Pakcik beca tu minta RM 2 untuk bergambar, tapi memandangkan tiada duit pecah, kami bagi RM 5. Kami hanya ingin bergambar sahaja dengan beca, nasib baik pakcik beca tu setuju. Kadar yang terlihat di salah satu papan tanda berdekatan kawasan Menara Taming Sari mencecah RM 40 untuk sejam. Pun begitu, terdengar juga laungan pengayuh beca ada yang menyebut RM 25 tapi tak tahulah untuk berapa minit perjalanan.



Bergambar bersama 'Hang Tuah' dan 'Hang Jebat'.



Cantik terukir sisi bangunan Memorial Perisytiharan Kemerdekaan ini.

 




Pantang jumpa pokok besar, mesti nak bergambar, maklum bukan selalu jumpa pokok sebesar ini.









 Dataran Pahlawan. Walaupun panas menyengat, bergambar juga kan...




Dah nak habis dah cerita, bahagian seterusnya berkaitan cerita bergambar di tiga Muzium iaitu Samudera, Maritim dan Tentera Laut. Seterusnya cerita tentang ole-ole yang dibeli dari Melaka.
Teruskan pembacaan di bahagian lapan.


love,
monalizahrais 



MEMORI ZAMAN KANAK-KANAK

Sumber : Google.


Assalamualaikum...

Buah di atas kami panggil letup-letup, selalu makan buah ni masa sekolah rendah dulu. Dalam perjalanan menuju sekolah, atau semasa bermain dengan rakan-rakan satu sekolah, mesti singgah makan buah ni. Tumbuh meliar di mana-mana di kampung kami. Tapi sekarang, setiap kali saya balik kampung saya tidak jumpa lagi buah ini. 
Hanya orang kampung yang membesar dalam suasana kampung akan kenal buah ini. 
 Saya semasa kanak-kanak dahulu seringkali tidak sabar menikmati buah ini, kalau masih hijau tu tak sabar-sabar tunggu kuning. Tumbuhan ini jenis menjalar. Rasanya manis sekiranya cukup masaknya tapi terasa masam kalau masaknya tak sempurna.
Saya terinspirasi bercerita tentang buah ini setelah melihatnya di facebook. Jadi saya pun save gambar untuk dijadikan kenangan di blog ini. Memori zaman kanak-kanak terlalu indah untuk dikenang, jangan dibuang kenangan itu walaupun setelah dewasa ini mungkin kita dan rakan-rakan schoolmate dulu tidak begitu rapat seperti dahulu.
 Paling kurang ada yang dapat diceritakan kepada anak cucu kita.




Kami menyebutnya 'lakat-lakat'. Saya sendiri pada masa itu ada koleksi sehingga sebanyak satu plastik besar. Saya dahulu di zaman kanak-kanak sangat lasak, kadang-kadang mengalahkan kanak-kanak lelaki, saya termasuk dalam kategori pembuli. Tapi mangsa buli saya pelajar lelaki, dengan perempuan seingat saya, saya tidak pernah bergaduh sesama kami. 

Ketika itu siri Gaban, Miss Komet, Ninja Turtle, Kesatria Baja Hitam dan beberapa siri lain lagi sering ditonton di kaca tv kami. Jadi, permainan 'lakat-lakat' ini merupakan antara permainan kesukaan budak-budak lelaki. Saya mengumpul 'lakat-lakat' ini kerana gemar dengan gambar-gambarnya, biasalah kan budak-budak. Berdasarkan gambar di atas... gambar-gambar superhero ini perlu diterbalikkan menggunakan 'kuasa angin' tepukan tangan kita di permukaan lantai. Semakin tinggi susunan 'lakat-lakat' ini, semakin kuat 'kuasa angin' diperlukan. Pemenang yang dapat menterbalikkan gambar superhero dalam kuantiti paling banyak akan mendapat 'lakat-lakat' lawannya.

Setiap kedai runcit pada masa itu ada menjual 'lakat-lakat' ini, berharga cuma beberapa sen kalau tak silap saya semurah 20 sen sehingga 50 sen sahaja. Ianya seperti petak-petak gambar saiz kecil tapi dicantum dalam satu lukisan yang besar. Petak-petak berbentuk segiempat tepat inilah yang dapat dicarik dan dipisahkan antara satu sama lain supaya mudah kita menyusunnya.

Sekarang saya tak pasti kalau 'lakat-lakat' ini masih ada dijual. Ditambah lagi dengan kebanjiran gajet elektronik yang pelbagai, canggih dengan permainan dalam talian... kanak-kanak sekarang kebanyakannya lebih pandai bermain game online berbanding permainan kita dahulunya. Sekarang sudah banyak permainan yang sering kita mainkan sewaktu kecil dahulu perlahan-lahan semakin pupus. Tiba-tiba saya terbayang alangkah bagusnya kalau ada muzium atau galeri kecil yang memaparkan permainan tradisional kanak-kanak, tidak terhad kepada layang-layang, congkak, police sentry dan permainan lain yang berkaitan, tetapi meliputi setiap zaman sekurang-kurangnya bermula zaman sebelum kemerdekaan sehingga sekarang. Tentunya itu memerlukan banyak kerja dan bajet. Saya pernah terbaca dalam buku teks adik-adik saya, memang ada dinyatakan permainan tradisional seperti ting-ting, congkak dan yang berkaitan. Alangkah bagusnya kewujudan muzium itu memaparkan sekali replika kanak-kanak bermain sekali dengan suasana kampung serta maklumat berkaitan turut dipaparkan di papan tanda penerangan.


love,
monalizahrais

 

 

MENGHARGAI SEJARAH

Assalamualaikum...

Bermula pagi sehingga tengah hari ini cuaca asyik mendung, rasa macam tak bermaya pula kalau cuaca asyik mendung, tapi takkan hendak tidur saja sepanjang masa.  

Lebih baik saya menulis sesuatu yang mungkin sekadar cerita biasa bagi diri kita, tapi siapa tahu ianya luar biasa kepada orang lain yang membacanya. Contoh, ayam masak kicap itu sekadar cuma satu masakan dan kita selalu memasaknya sehingga kadang-kadang bosan hendak masak ayam masak kicap tapi di luar pengetahuan kita, ada ramai orang di luar sana yang masih tercari-cari resipi ayam masak kicap. Sekadar tamsilan.

Apa yang kita lakukan pada hari ini, peristiwa apa yang kita alami dan makan minum kita pada hari ini tentunya berbeza dengan orang lain. Kalaupun sama ianya sekadar kebetulan.  Waduh tajuk cerita menghargai sejarah tetapi mukadimahnya, ayam masak kicap pun disebut juga! Keh keh keh...

Terus kepada poin cerita... melihat stok gambar berlambak dalam fail 'picture' di badan si Green ( my laptop), membuatkan saya terfikir ada baiknya saya pilih gambar yang menyimpan pelbagai cerita. Setelah saya bertungkus lumus membuat cerita bergambar ke Melaka tempoh hari dan sehingga ke hari ini pun belum siap sepenuhnya, saya terfikir tempat-tempat lain yang pernah saya lawati... kenapa tidak saya ceritakan sahaja di blog, ada juga manfaatnya daripada terus terperap dalam fail yang entah bila akan dijenguk semula setelah disimpan. 

Walaupun line internet sentiasa sahaja turun naik, ada ketikanya laju dan memudahkan kerja memuat turun gambar. 
InsyaAllah esok saya akan ke library menyiapkan sepenuhnya beberapa bahagian cerita bergambar ke Melaka, malas hendak tunggu sehingga line clear di tempat kami ini. Kerap ditangguh jadinya tak siap pula. Rasa geram juga dengan line internet ini. Bayar RM 68 setiap bulan tapi servis kurang memuaskan.


Subjek Sejarah semasa saya sekolah menengah dahulu, merupakan antara subjek yang saya tidak suka, sangat membosankan dan ikutkan hati sekiranya diberi pilihan, mahu sahaja saya drop subjek tersebut daripada matapelajaran teras. Tapi ketika itu sudah ditentukan subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam wajib kami ambil dan beberapa subjek pilihan. 

Tingkatan 4 dan 5 saya berada di kelas terbaik iaitu aliran Sains Tulen. Tumpuan utama saya tentunya subjek sains tulin - Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. Yang paling saya gemari Biologi kerana saya merasakan ianya sangat dekat dengan diri. Contoh apabila kita memperkatakan tentang sistem tubuh badan dan fungsi tumbuhan-tumbuhan. 

Pada masa itu disebabkan kesusahan hidup kami sekeluarga, yang sering bermain di fikiran, sering juga dikatakan oleh orang tua saya malah guru-guru pada ketika itu - belajar rajin-rajin supaya lulus cemerlang dalam peperiksaan, sambung belajar sehingga peringkat tertinggi di universiti dan dapat kerja baik, gaji pun besar, ribu-ribu dan lumayan.

Diringkaskan cerita, tujuan belajar ketika itu semata-mata untuk lulus periksa. Ketika itu saya sangatsangatsangat bosan setiap kali tiba waktu pembelajaran Sejarah. Saya berpendapat pada masa itu buku teks Sejarah yang kami pelajari itu hanya kisah-kisah peperangan orang terdahulu, mereka asyik bergaduh, berperang sampaikan saya tertanya-tanya - diorang tiada kerja lainkah selain berperang? Bosannya! Yalah, ketika itu bukannya ada line internet seperti sekarang yang mudah didapati. Kebanyakan rakan sekelas saya, selesai peperiksaan SPM atau semasa cuti panjang sebulan itu biasanya akan merancang untuk belajar komputer di bandar, siap ada sijil penyertaan lagi dan cuma membayar beberapa ratus sahaja. Malah dipandang tinggi siapa yang ada sijil komputer.

Cara pemikiran pada masa itu pun jarang yang bersifat kreatif dan kritis, kebanyakannya hanya mengikut, mengulangi kata-kata guru. Bahan ilmu hanya terhad kepada buku semata-mata itupun tidak luas rangkaiannya. 

Yang melucukan saya, sebaik sahaja menerima keputusan peperiksaan SPM... subjek Sejarah yang sangat saya benci itu... grednya lebih baik berbanding subjek sains, ekonomi dan matematik. Tidak pernah saya meminati Sejarah malah saya sekadar target cukuplah sekadar kredit tapi tak sangka pula ianya jadi begitu. Selepas SPM, saya terpaksa memasuki tingkatan enam kerana masalah kewangan menghalang saya daripada memasuki mana-mana matrikulasi ataupun ITM (sekarang UiTM), walaupun layak.

Walaupun sedih kerana terpaksa memasuki aliran sastera, tetapi saya tiada pilihan ketika itu. Bertambahlah benci saya dengan subjek Sejarah, apatah lagi ketika itu sukatan pelajaran sastera memerlukan kita khatam banyak buku sastera antaranya novel Empangan, Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Saya mengambil masa sehingga tiga bulan menghabiskan bacaan buku Sulalatus Salatin, itupun saya tidak memahami jalan cerita sepenuhnya, sangat bosan dan saya sungguh tertekan pada masa itu. Rakan sekelas lain dengan bangganya mengatakan mereka hanya mengambil masa sebulan sahaja untuk menghabiskan bacaan.
Akhirnya saya buat dek, tak larat memikirkan benda-benda Sejarah ini, saya belajar seadanya, setakat yang saya faham, ikut acuan saya sendiri. Saya beli buku-buku rujukan tambahan yang menyediakan soalan dan jawapan sekaligus, dan cuba mengingat/menghafal sebanyak yang saya boleh.

Keputusan STPM saya menyaksikan, hanya subjek ekonomi lulus separuh atau R dan 4 subjek yang lain semuanya lulus penuh atau P termasuk subjek Kesusasteraan Melayu. Subjek ekonomi pada ketika itu saya tidak kisah lulus atau gagal kerana saya tidak suka dengan guru yang mengajar subjek tersebut, garang sangat pada pengamatan saya serta pilih kasih, dia hanya marah pelajar perempuan tetapi tidak pernah marah pelajar lelaki, tu yang saya tak suka tu... ( pada masa itulah, zaman dulu-dulu).

Tahun demi tahun berlalu... teknologi maklumat dan rangkaian alam maya mudah didapati malah banyak buku-buku berkualiti mudah didapati di pasaran. Akhirnya tanggapan saya tentang sejarah berubah kepada meminatinya, mungkin kerana pembacaan yang luas dan sering juga melayari lautan internet yang padat dengan pelbagai maklumat baik dan buruk.
Banyak perkara yang tidak kita fahami sewaktu remaja dahulu, dengan mudah difahami pada waktu dewasa ini. Setiap kali balik kampung halaman, saya suka memilih seat A atau F berhampiran tingkap kapal terbang, sering melihat sayap kapal terbang yang terbuka dan tertutup itu spontan mengingatkan saya kepada hukum fizik yang tidak pernah saya faham ketika sekolah dahulu, akhirnya dapat saya fahami setelah berulang alik menaiki flight.


Sama seperti sewaktu berada di Melaka tempoh hari walaupun setakat beberapa hari sahaja... banyak kisah sejarah yang tidak saya fahami di buku Sulalatus Salatin terutamanya... tapi semuanya seakan mudah difahami dan senang diingat selepas itu. Tidak pandai semasa di sekolah bukan kerana pelajar itu bodoh tetapi mungkin sedikit sebanyak ianya ada kaitan dengan pengalaman kehidupan. Kita sering mendengar pelajar Cina senang-senang score subjek Matematik... cuba kita lihat  kehidupan seharian mereka dan apa pekerjaan ibu bapa mereka. Tentunya berniaga dan asas mengira itu sudah sebati dalam kehidupan seharian. 

Sama seperti subjek kemahiran hidup. Ada masanya kita perlu belajar memasak dan bertukang. Ada di antara rakan-rakan kita yang terserlah kemahirannya kerana mereka di rumah rajin memasak menolong ibunya atau pandai bertukang disebabkan selalu membaiki rumah. Mengimbas... ketika sampai waktu subjek kemahiran hidup, saya mendapat markah rendah dalam masakan tetapi markah tinggi dalam bertukang, saya masih ingat lagi kami diajar menyiapkan tabung duit berbunyi dan menyala lampunya setiap kali memasukkan duit ke tabung. 

Mereka yang melupakan sejarah akan mengulanginya. Sejarah menyimpan pelbagai cerita untuk direnungi dan dapat mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya. Hargai sejarah kerana tanpa sejarah tiadalah masa hadapan.


 love,
monalizahrais



Tuesday, February 19, 2013

BERITA MENARIK

Assalamualaikum...

Sepanjang minggu ini, ada beberapa berita yang hangat di laman sosial, sebenarnya yang menarik perhatian saya. Rakan-rakan Facebook banyak yang berkongsi di wall mereka berita berkaitan pembantu rumah yang mendera anak majikannya begitu juga dengan pencerobohan sekumpulan askar yang mengaku mereka askar diraja kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Banyak wanita bekerja dan berpendidikan tinggi, malah yang tidak berpendidikan tinggi pun ramai juga yang bekerja untuk menampung perbelanjaan bulanan. Harapkan suami sahaja bekerja kalau setakat dua tiga ribu sebulan, ditambah dengan ansuran rumah atau sewa rumah, bil api air, astro, makan di luar sewaktu bekerja,  belanja dapur, pakaian... yuran anak-anak bersekolah, kereta (minyak dan maintenance) susu dan lampin pakai buang kepada mereka yang ada anak kecil.  Tak termasuk kecemasan dan tabungan ( itupun kalau ada RM yang berbaki untuk disimpan! ).

Tentunya di luar jangkaan ibu bayi itu, pembantu rumah bertindak demikian, saya sendiri rasa marah, geram juga membaca berita tersebut. Saya tertanya-tanya sendiri, apakah pembantu rumah itu tidak ada keluarga di Indonesia? Dia tidak ada adik-beradik, anak saudara atau anak sendiri? Kenapa dia sanggup menghempas bayi itu seperti menghempas barang mainan saja lagaknya. Orang yang bujang pun tahu sayangkan budak-budak. Apatah lagi yang sudah berumahtangga dan ada anak sendiri. Kejam sungguh dia tu, manusia yang entah hati apa yang ada dalam dadanya, sedangkan haiwan pun sayangkan anak.

 Dan sekarang pembantu rumah itu sudah ditahan reman dan proses dijatuhkan hukuman, semoga dicepatkan balasan setimpal untuk kejahatannya itu... selepas ini kerajaan Malaysia perlu mengkaji semula struktur gaji pembantu rumah dari Indonesia... bukan main lagi demand minta gaji RM 700 hanya untuk satu kerja tapi tengok apa yang jadi? Memang tidak semua maid Indon seperti itu dan ada juga kes di mana majikan mendera maid... tapi mengikut pendapat saya, lebih baik cari alternatif lain untuk menjaga anak-anak kecil ini misalnya diwujudkan nursery di setiap kawasan taman perumahan atau tempat kerja. Pekerjanya pula terdiri daripada orang tempatan, misalnya ibu tunggal atau mereka yang berminat dan suka dengan kanak-kanak. Diadakan sedikit kursus untuk pekerja yang khusus menjaga bayi dan kanak-kanak. Ada pemantauan berkala dari pihak berwajib dan ibu bapa. 

Hendak mengharap datuk nenek menjaga cucu mereka, sebagai anak atau anak menantu walaupun ibu bapa kita rela menjaga anak-anak kita yang masih kecil, kasihanilah mereka kerana usia tua mereka itu. Sebaiknya sediakan juga pembantu tapi dipantau oleh ibu bapa kita. Lagipun ibu bapa yang sudah usia senja itu sebaiknya kita dorong dengan menghantar mereka menunaikan haji misalnya atau beri mereka kesenangan mengikut kemampuan kita. Sudah dari kita bayi sehingga bercucu pun... takkan kerja mereka asyik jaga anak dan cucu saja sehingga ke akhir hayat? Orang tua mereka yang sudah pergi dulu tentunya memerlukan jagaan saudara atau orang lain untuk menjaga anak-anak kecil mereka.

Zaman sekarang sukar kita mengekang kaum wanita daripada menjadi suri rumah sepenuh masa, malah yang duduk di rumah sahaja pun banyak yang bekerja dari rumah, ada yang menjalankan perniagaan online, menjahit atau berniaga makanan. Zaman orang tua kita dengan zaman kita sekarang sangat berbeza. Keperluan hidup semakin meningkat harganya dari sehari ke sehari, tidak turun tapi terus naik! Malah lelaki berkualiti juga semakin berkurangan... dan ini  salah satu faktor kenapa ramai wanita bekerja walaupun sudah berumahtangga dan beranak pinak.

Tentang pencerobohan di daerah Lahad Datu, Sabah tu, melalui berita nasional dikhabarkan semuanya terkawal dan sudah selesai. Yalah, untuk mengelak berita-berita tambahan yang tidak berasas tersebar dan dapat menimbulkan rasa tidak selamat. Ramai juga penduduk kampung saya di Sandakan itu menjadi warga Felda berdekatan lokasi pencerobohan. Tidak mahu komen lebih-lebih cuma pendapat peribadi saya - tuntutan mereka ke atas beberapa kawasan di Sabah tidak berasas sama sekali dan jangan dilayan tuntutan itu! Keadaan mereka bergolak di tempat sendiri, mereka sebenarnya cuba mencari tempat baru untuk mewujudkan pusat pemerintahan mereka sendiri.


Masih lagi di takuk lama dengan pemikiran lama yang sudah jauh ketinggalan. Datang ke tempat orang, menceroboh pula tu, terang-terang sudah melanggar peraturan. Bayangkan kita sedang berada di tempat kerja, sampai waktu habis kerja kita pun pulanglah ke rumah. Tiba-tiba sampai depan rumah kita... pintu rumah terbuka dan setelah dilihat rupa-rupanya sanak saudara kita sudah memasuki rumah tanpa kebenaran kita. Siap menuntut sebuah bilik untuk didiami kononnya mereka ada hak untuk bilik itu disebabkan kita saudaranya. Tentunya kita rasa tidak selesa apabila diterjah begitu sahaja. Sekadar tamsilan.


Tak payah nak tuntut itu inilah. Hidup dengan asyik berperang merebut itu ini mengatakan itu haknya walaupun samar-samar tidak ada gunanya, tidak akan maju sampai bila-bila malah bertambah mundur dan semakin sempit pemikiran itu. Tentunya pasukan keselamatan kita bukannya calang-calang mudah dikalahkan, semoga penceroboh itu cepat-cepat diusir, walau dengan apa cara sekalipun. Bikin kacau ketenteraman orang awam sahaja.


love,
monalizahrais



 





 





 

 




 


Monday, February 18, 2013

WARNA WARNI DI MELAKA 08022013 - 11022013 3N4D

Assalamualaikum...

Salam Isnin, sekarang tempoh lunch kebanyakan pekerja, sama ada kerajaan atau swasta. Restoran, kantin, penjaja jalanan padat dan sendat sehingga jam +- 2 pm nanti barulah surut sedikit suasana meriah itu.

Sedar tak sedar, beberapa jam lagi menghampiri penghujung siang, giliran malam pula 'bertugas'. Tulisan bertajuk di atas sebenarnya saya hendak publish setelah semua bahagian cerita bergambar di Melaka selesai, tetapi memandangkan line internet lembap... 
lebih mudah menulis tanpa gambar. Line laju sekitar awal pagi sehingga sebelum 12 pm, di kawasan kami ini. Tempoh itu yang saya gunakan untuk upload gambar-gambar sewaktu di Melaka.

Pertama kali bagi saya bertandang ke Melaka, tapi bagi suami sudah beberapa kali. Begitupun suami mengatakan kali terakhir dia datang ke sana jika dibandingkan dengan suasana sekarang, banyak bezanya. Biasalah tu kan...

Warna warni sewaktu berada di sana... suka dan duka, ada yang seronok dan tidak kurang juga yang menyakitkan hati. Tetapi bab-bab seronok itu lebih banyak berbanding yang tak seronoknya. Ada peluang lain kali... InsyaAllah kami mahu datang ke Melaka lagi, mengunjungi tempat-tempat menarik yang tak sempat dilawati sebelum ini. Antaranya perkampungan Portugis, merasai masakan Baba Nyonya, duck tour (kami beratur untuk beli tiket tapi tiket hanya sah untuk hari esoknya kerana tour untuk hari itu sudah habis dijual, terpaksa cancel kerana esoknya kami sudah balik ke KL), ingin menaiki bas Panorama London yang warna merah tu dan banyak lagilah. Setakat tiga malam pun sudah beratus-ratus gambar kami tangkap untuk kenangan. Sampaikan perlu dipilih untuk dipaparkan di facebook dan blog saya ini. Yang penting ada ceritanya dan  info berguna kepada anda yang bercadang untuk melawat Melaka, apatah lagi kunjungan kali pertama.

Nasib baik Melaka River Cruise sempat kami naik, kerana pada waktu malam sebelum kami menaiki Melaka River Cruise... barisan pengunjung membeli tiket sangat panjang dan sesak, tak larat tunggu. Kami esok paginya sekitar jam 10 am sudah gerak menuju ke sana membeli tiket dan syukurlah barisan belum panjang lagi, itupun bot yang kami naiki penuh dengan cepatnya.

Begitu juga dengan Menara Taming Sari. Barisan panjang bermula dari membeli tiket sehingga menunggu giliran menaiki menara berputar. Kami menaiki Menara Taming Sari pada hari Sabtu, sehari sebelum perayaan CNY. Tak sesak sangat masa tu, lagipun kami datang seawal mungkin untuk mengelakkan barisan panjang. 

Rata-rata orang Melaka yang kami temui semuanya ramah dan apabila ditanya, mereka melayan kami dengan baik serta murah dengan senyuman. Sedikit perkara lucu, kami disangka pasangan yang belum berkahwin oleh salah seorang pekerja hotel. Seorang lagi pekerja hotel yang lainnya memberitahu suami tentang kemusykilan pekerja tersebut. Suami saya menjelaskan tentang status kami. Awal-awal lagi kami sudah sedia dengan sijil nikah di beg sandang sebelum menuju Melaka, maklumlahkan kami cuma berdua dan memang mudah disyak prasangka yang bukan-bukan. Kebanyakan yang datang bercuti satu rombongan sekali dengan anak-anak.

Yang menyakitkan hati... saya tidak suka bercerita tentang ini, tapi sekiranya peniaga makanan tersebut hanya mementingkan diri sahaja, bukan setakat kami sahaja, saya percaya akan ada orang lain yang akan menegur/memarahi dia. Ceritanya begini, saya dan suami makan di gerai XYZ (gelaran samar untuk menjaga air muka peniaga tersebut), sewaktu kami duduk mengambil tempat, meja di sebelah kanan saya kosong, dan tidak lama kemudian meja di belakang saya pun kosong setelah pengunjung tersebut selesai makan. 

Seperti biasa, datanglah bos bertanyakan order kami, ok, saya order nasi goreng ayam dan suami nasi paprik ayam. Minuman teh o ais limau dan nescafe ais. Sementara menunggu makanan sampai, biasanya minuman sampai dulu, biasalah tu. Kemudian meja di kanan saya didatangi sekumpulan anak muda lingkungan 20-an... seramai 6 orang dan order mereka pun diambil. Selepas itu meja di belakang saya pun didatangi beberapa pelanggan dan order mereka juga diambil.

Tunggu punya tunggu, nasi goreng ayam saya pun sampai dan apalagi ngap lah, perut sudah lapar. Makanan suami tak sampai lagi, tak apa tunggu sekejap lagi, kata kami kerana pada ketika itu orang mulai ramai. Terus kepada point cerita... pengunjung di meja belakang kami itu, makanan mereka sampai dulu berbanding suami dan 6 orang anak muda di meja sebelah kanan kami. Tentunya ini menimbulkan tanda tanya dan kami mula resah. Mana boleh macam tu bang oiii... siapa sampai dulu, makan minum dia kena uruskan, kena ikut giliran, tak boleh macam tu... nak berniaga buat cara berniaga.

Sebelum itu, memang saya dah nampak, di meja yang lain... pengunjung yang tiba lewat daripada kami tapi ordernya sampai dulu. Rasa pelik juga tapi malas mau berprasangka... Suami yang memang lapar, order tak sampai lagi sehingga saya selesai makan, macam mana tak marah. Bukan tentang cepat atau lambat tetapi setakat yang saya tahu, kena ikut giliranlah siapa yang sampai dulu dan datang kemudian. Peniaga tersebut perlu peka kepada situasi ini. 

Disebabkan rasa tidak puas hati, kami tak nak tunggu order yang nampak sangat berat sebelah tu. Saya terus terang dengan bos kedai (saya anggap dia ketua di situ sebab dia asyik mengarah pekerja yang lainnya, dia sekadar bertanya order dan duduk-duduk sahaja memerhati), kenapa order saya sampai dulu tapi order suami tak sampai-sampai...kenapa orang lain yang datang kemudian dari kami tapi makan minumnya sampai dulu? Jawapan yang diterima sangat-sangat tidak logik. KONONNYA STAIL DI SITU, TUKANG MASAKNYA AKAN MASAK SATU MENU SEKALIGUS SEBELUM BERALIH KEPADA MENU YANG LAINNYA. MISALNYA MASAK NASI GORENG AYAM SEKALIGUS LEPAS TU BARU MASAK NASI PAPRIK DAN SETERUSNYA.

Parahlah kalau macam tu peraturannya. Jadi, katakan kumpulan pertama order nasi ayam, nasi paprik, nasi goreng cina dan kumpulan kedua yang datang kemudian order nasi ayam misalnya... si tukang masak tengah masak nasi ayam, tentunya orang yang order nasi paprik dan nasi goreng cina itu terbelakang order mereka. Ada juga rupanya peniaga makanan macam ni. 

Apabila saya bidas kata-katanya, alasan lain mula muncul, kononnya banyak orang disebabkan mood perayaan, tukang masaknya begini begitu dan bermacam alasan lagi, saya malas hendak bertekak, just bayar dan sebelum beredar barulah nasi paprik ayam yang suami saya order siap, dia menyuruh pekerjanya bungkus dan saya ambil juga nasi paprik ayam itu kerana memikirkan suami yang kelaparan. Kesudahannya? Bungkusan nasi paprik ayam itu suami saya buang dalam tong sampah betul-betul di hadapan kedai makan tersebut! Ketika itu kedai tengah penuh dengan pengunjung...

Sungguh, seumur hidup saya setiap kali makan di restoran, kedai atau gerai tepi jalan pun, siapa yang sampai dulu dan telah diambil ordernya itu... itulah yang dapat makan minum dulu. Malah kalau kita hendak beli barang pun, barisan panjang itu bukannya disebabkan barang sikit atau banyak, tapi berdasarkan giliran yang datang kemudian berbaris di belakang walaupun barangnya cuma sedikit berbanding orang di hadapan. Apatah lagi order makan minum di restoran. Difikir logik, kalau yang datang kemudian tapi makan minumnya sampai dulu di mejanya, kena pula di sebelah meja kita, sudah tentu kita tertanya-tanya atau terfikir... eh aku sampai dulu tapi kenapa makan minum dia yang sampai lambat dari aku, tapi siap cepat?

Cepat atau lambat bukan masalahnya, kita pun faham juga orang ramai tapi yang menjadi isunya ialah... sekali lagi PENIAGA MAKANAN TERSEBUT KENA PEKA, SIAPKAN ORDER MAKAN MINUM MENGIKUT GILIRAN, INGAT TU... MENGIKUT GILIRAN! 

Sayang sekali, perkara sebegini terjadi di tempat pelancongan yang terkenal dengan gelaran bandar warisan dunia. Pengunjung terdiri bukan hanya dari dalam tapi juga dari luar negara, yang menghargai sejarah atau paling kurang pun sekadar melihat-lihat. Berniagalah mengikut cara berniaga yang sepatutnya, apatah lagi kalau bisnes itu melibatkan makanan. 

Saya teringat satu tempat kerja part time semasa masih belajar dulu. Ketika itu di kedai runcit tempat saya bekerja sambilan itu...  penyelia kedai berbangsa Cina dan penolongnya berbangsa Melayu. Ada dua syif dan mereka bertugas mengikut giliran masing-masing. Saya masih ingat lagi, faham-faham sajalah pelanggan kedai macam-macam karenah kan... pada satu hari terang nyata pembeli itu yang salah dan dia memarahi siap maki hamun lagi ketua kami yang orang Cina tu, dan walaupun begitu ketua kami itu tidak membalas malah dia pula yang meminta maaf. Sebaliknya penolong ketua kami itu pantang ditegur pelanggan kedai walaupun pelanggan itu bercakap benar, seringkali tercetus pergaduhan antara pelanggan kedai dan dirinya. Sampaikan ada pelanggan yang tidak mahu masuk kedai ketika gilirannya bertugas. 

Berbalik semula kepada cerita yang menyakitkan hati kami itu... jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Buatlah cara berniaga makanan betul-betul bang oiii... jangan fikir nak untung jer, hati pengunjung kena jaga juga supaya bisnes terus lancar!

Nasib baik kami ini menghargai sejarah, walaupun melalui pengalaman yang tak sedap didengar itu, kami masih berminat untuk datang semula ke Melaka mengunjungi tempat-tempat menarik yang tak sempat kami kunjungi sebelum ini. Tapi yang pastinya TIDAK akan jejak kaki lagi ke kedai makan dia tu.

Ok lah, yang lainnya warna warni di Melaka... sekadar sakit kaki dan badan sebab jalan kaki dari siang ke malam, tiga malam sajakan dan masa sesingkat ini perlu digunakan sepenuhnya untuk meneroka tempat-tempat bersejarah, lagipun entah bila lagi dapat bertandang ke sana semula. 

Kemudahan surau dan tandas juga mudah didapati, yuran memasuki muzium sangat murah dan berpatutan. Pendapat peribadi saya, sekiranya anda berkemampuan untuk datang ke Melaka, datanglah beramai-ramai, bawa sekali anak-anak, cucu yang masih bersekolah, mudah bagi mereka memahami sejarah kerana maklumat sejarah dalam bentuk tulisan atau bergambar  mudah difahami. Saya sendiri teruja melihat Hang Tuah, Hang Jebat, pelayar hebat seperti Laksamana Cheng Ho, Panglima Awang. Saya terfikir sendiri ketika melihat pameran item sejarah di muzium... bestnya kalau semasa sekolah menengah dahulu aku sampai ke sini, tentunya markah sejarah saya tinggi. Pengalaman bertandang ke tempat bersejarah berbanding sekadar membacanya di buku teks tentunya berbeza bukan.
 

Apapun keseluruhannya dapat saya simpulkan percutian kami kali ini sangat berbaloi dengan bajet yang dirancang...

InsyaAllah ada rezeki lebih, akan melancong lagi di tempat-tempat yang menarik.


love,
monalizahrais




 

 



 



 

 






 

MELAKA 3N4D 08 FEBRUARI 2013 - 11 FEBRUARI 2013 BAHAGIAN ENAM

Assalamualaikum,


Berikut gambar di Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka.





















Surau Warisan










Kincir angin Belanda



 Balai Seni Lukis Melaka. Di tingkat bawah Muzium Belia ( tiket RM2 sahaja) dan di tingkat atas menempatkan lukisan-lukisan menarik. Saya mengambil gambar ini berdekatan dengan gerai cendol yang diwar-warkan sedap itu.



Deretan beca yang cantik-cantik semuanya!









Pemandangan dari koridor Balai Seni Lukis Melaka. Dapat dilihat juga deretan gerai menjual pelbagai jenis souvenirs untuk kenang-kenangan pengunjung.




Ambil kesempatan bergambar dari koridor, kebetulan kibaran bendera itu menutup sebahagian pemandangan di bawah.



Hendak makan di gerai cendol tersebut, tapi full tempat duduk, orang berlapis-lapis berbaris menunggu giliran. Tak larat tunggu kami risau hujan turun, ketika itu cuaca sekejap panas sekejap mendung dan banyak lagi tempat yang belum kami kunjungi. InsyaAllah lain kali datang ke Melaka nak try cendol yang selalu disebut-sebut oleh blogger yang sudah berkunjung ke sini.

Orang ramai sangat, masa terasa cepat sangat berlalu. Sehari sebelumnya, kami cuma dapat bergambar di luar Istana Kesultanan Melaka kerana telah ditutup pada jam 5.30 pm. Jadi, hari ini setelah menaiki Melaka River Cruise... kami bergegas menuju ke istana sebelum bercadang memasuki Muzium Samudera, Muzium Maritim dan Muzium Tentera Laut.
 











Kita akan melintasi antaranya Muzium Setem, Muzium Umno, seterusnya kami menuju A Famosa dan kawasan sekitarnya untuk bergambar sepuas-puasnya.



Ketika ini cuaca redup, pun begitu meriah dengan kehadiran pengunjung, lintasan beca 'bernyanyi' macam-macam jenis lagu - tradisional, moden, hindi malah Gangnam Style pun ada! Semacam satu pesta di kawasan ini.



Ketika ini cuaca panas, dan belum ramai lagi pengunjung. Digagahkan juga bergambar di dalam suasana panas menyengat, berguna sungguh topi ini kan?







Rasa eksklusif pula saya tengok gambar ini - sebabnya kebetulan hanya saya dan bangunan bersejarah dan meriam ini sahaja yang 'bergambar bersama'.



Tiba giliran suami... terus ramai orang, hehehe... rezeki masing-masing.





















Sisi bangunan Kota Santiago



Memorial Perisytiharan Kemerdekaan












Sekarang hendak menaiki tangga menuju Gereja St. Paul sebelum tu bergambar sekejap.


Dan, kena sambung di bahagian TUJUH ada beberapa bahagian cerita bergambar lagi yang perlu dibereskan. Cerita ke Melaka ini merupakan cerita yang paling banyak pecahannya berbanding cerita lain di bulan ini. Tetapi saya cuba pecahkan kepada 10 bahagian (maksimum) supaya tidak terlalu meleret-leret.

Alang-alang datang kan... 


love,
monalizahrais