Thursday, February 7, 2013

YANG PENTING BERSIH DAN HALAL

Assalamualaikum...
 
Setiap kali saya pulang ke Sandakan, daerah kelahiran saya ini, satu yang mesti saya lakukan ialah menikmati makanan laut di salah satu deretan kedai makan yang terletak di tingkat dua di dalam bangunan Pasar Umum Sandakan ini.
Sesetengah orang apabila taraf kehidupannya berubah daripada seorang anak kampung kepada anak bandar, setelah belajar di universiti dan mendapat kerja yang bergaji lumayan... dia merasa jijik, geli untuk masuk pasar, padahal sebelumnya seringkali masuk ke sini kerana makanannya murah.
 
Bukan hendak memuji diri sendiri, tapi Alhamdulillah saya masih seperti dahulu tetap masuk ke pasar untuk membeli lauk pauk segar. Sekarang pun di daerah Klang ini, setiap hujung minggu saya dan suami akan shopping lauk pauk di Pasar Besar, Klang, Meru.
 
Kedai yang saya selalu pergi itu berdasarkan kepada pengamatan saya... pemilik dan pekerjanya berbangsa Bugis. Saya suka ke situ kerana masakannya fresh, dimasak untuk hari itu juga, bukannya masakan sehari sebelum yang dipanaskan. Menu nasi campur atau nasi kuning menjadi pilihan saya dilawan dengan lauk udang galah, sotong dan sayur-sayuran, dilengkapkan lagi dengan sedikit sambal belacan dan sup kosong panas.
 
Kita dapat melihat pekerjanya memasak makanan kerana dapur dengan tempat menghidangkan makanan sebesar lebih kurang standard bilik tidur bersaiz sederhana. Tidak timbul keraguan makanan itu disediakan bersih atau sebaliknya. Saya pernah ke kedai makan kegemaran ini seawal pagi, ketika itu saya melihat deretan jenis sayur yang sudah siap dipotong sedia untuk dimasak, begitu juga dengan lauk pauknya. 
 
Pekerjanya juga ramah, memakai tudung kepala dan apron. Jadi ini bermakna salah satu aspek penting dalam penyediaan makanan sudah dipatuhi. Bayangkan kalau tukang masak membiarkan rambutnya terhurai begitu sahaja atau kuku panjang, merokok... hilang selera makan kita dibuatnya.
 
Insya Allah semoga panjang umur dimurahkan rezeki balik nanti saya akan ambil gambar makanan di kedai kegemaran saya ini.
 
Gambar-gambar di bawah berkenaan dengan Pasar Umum Sandakan yang berwajah baharu menggantikan yang lama.
 










Entah siapa punya idea... dan saya percaya tidak ada yang jujur sepenuhnya sebaik sahaja terbaca notis ini. Malah secara peribadi, saya berpendapat tak payah letak notis yang mengelirukan ini. Setakat caj buang air dan tisu atau tuala wanita kira berbaloi jugalah.
 
 

Bayaran untuk air besar dan air kecil. Berbanding di sini di The Store, Klang misalnya, hanya caj buang air dan tisu sahaja dikenakan.


Berbaju biru dan berpeluk tubuh itu suami saya, dia sedang melihat lori mixer berdekatan bangunan yang sedang dalam pembinaan. Atap oren memanjang itu sebenarnya lif. Satu-satunya lif yang terdapat di Pasar Umum Sandakan. Tak tinggi manapun bangunan ini, cuma kemudahan ini berbaloi kepada warga tua, peniaga yang membawa turun naik barangan jualan mereka.
 


Jalan masuk ke pasar menuju ke ruangan parkir.
 
love,
monalizahrais 

BIARLAH GAMBAR BERCERITA 1

Assalamualaikum...

Gambar berikut diambil semasa shopping di Jusco Bukit Raja, perayaan Deepavali tahun lepas. Saya dan suami sering ke sana, kadang tu sekadar berjalan-jalan sahaja  Dekorasi khusus untuk mood perayaan tidak selalu kita nampak, malah sentiasa berubah setiap tahun, jadi saya pun ambil kesempatan menggambar dekorasi menarik ini sekadar tatapan dan kenangan di blog. 













Unik, beras warna warni.

love,
monalizahrais 

BANDAR @ KAMPUNG - MODEN ATAU TRADISIONAL

Assalamualaikum...
 
Hari ini Khamis, matahari bersinar cemerlang seawal pagi, sehingga sekarang ayam masih berkokok tidak henti dan burung-burung pun masih 'bersembang' sesama mereka. Saat tulisan ini ditaip, bagaikan ada satu latar suara di belakang saya - nyanyian alam semulajadi.
 
Sekarang di tempat tinggal kami suami isteri, nyaman memang nyaman, sunyi daripada kebisingan yang selalu sendat di ruangan bandar/kotaraya. Tersorok sedikit daripada kesibukan jalan raya, sesekali sahaja terdengar bunyi motosikal membingit di jalan raya. Waktu malam memang sunyi, mendamaikan sehingga bunyi tapak kaki pun kedengaran jelas. Tuan rumah di kawasan ini memang mengkhususkan rumah-rumah di sekitar kawasan perumahan sekecil ini hanya untuk disewa kepada mereka yang sudah berumahtangga. Bayangkan kalau anak-anak muda... faham-faham sajalah kan, bukannya ada rutin tetap untuk tidur malam awal atau bangun awal pagi. Walaupun anak-anak muda, bujang ini bekerja, tiba hujung minggu atau cuti umum tentunya mata cerah sentiasa, ada yang berjaga sepanjang malam atau membuta sepanjang waktu siang. Kena pula tu berkumpul bersama rakan-rakan, paling kurang bunyi bercakap gelak ketawa tentunya menganggu jiran sekeliling.
 
Sebenarnya saya hendak bercerita tentang budi bahasa orang kampung dengan orang bandar. Mereka yang dilahirkan di kampung, membesar dengan suasana kampung jika dibandingkan mereka yang lahir dan membesar di bandar, sangat berbeza dari segi perwatakannya - kecuali tidak kisahlah lahir di kampung atau bandar tapi diasuh ketat dengan ajaran agama Islam oleh orang tuanya / penjaga.
 
Ambil satu contoh, adat menerima tetamu dan menjadi tetamu. Di kampung, sebelum kita masuk ke rumah walaupun rumah tersebut sanak saudara kita, salam mesti diberi dan setelah dijemput masuk kita akan dilayan tuan rumah sebaik-baiknya. Duduk berhadapan, diberi minum, bercakap yang baik-baik. Hendak menjawab telefon yang berbunyi pun kadang-kadang kita maklumkan dulu kepada tuan rumah, misalnya kita cakap macam ni - "maaf, saya kena jawab call ini" atau  kita sekadar senyum kepada tuan rumah sebelum menjawab panggilan telefon. 
 
Apabila perlu bertamu untuk beberapa hari, makan minum kita terjaga bermula dari sarapan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam. Kadang-kadang sebagai tetamu kita hendak menolong kerja-kerja di dapur misalnya membasuh pinggan mangkuk setelah siap makan, tetapi ditegah oleh tuan rumah kerana mereka berniat hendak memuliakan tetamu. Turut disediakan keperluan tidur seperti tilam selimut bantal dan bilik selesa untuk tetamu, sampaikan tuan rumah ada yang sanggup tidur di ruang tamu kerana menghormati tetamu. Malah ada yang mendahulukan tetamunya makan terlebih dahulu barulah tuan rumah makan atau tuan rumah dan tetamu makan bersama. Selesai bertamu, kita dihantar dengan senyuman sehingga ke pintu rumah malah sehingga kita hilang dari pandangan barulah tuan rumah masuk ke dalam rumah. Siap suruh datang lagi lain kali, dan katanya jangan segan-segan, jangan malu.
 
Di bandar? Kadang-kadang kita kena tekan loceng dulu untuk memaklumkan kedatangan kita itupun kalau dilayan sebaik-baiknya. Beri salam belum tentu berjawab. Pengalaman saya... saya pernah memberi salam sebelum masuk rumah dan walaupun berhadapan dengan tuan rumah, salam tidak berjawab. Tuan rumah pula Islam. Aneh memang aneh, takkan jawab dalam hati kot!. Masuk dalam rumah pula makan minum kita disediakan oleh pembantu rumah, boleh tahan lagi tapi yang tak seronoknya ada tuan rumah yang tidak menghiraukan tetamu. Bercakap dengan kita tapi muka tengok tempat lain atau sibuk dengan smartphone. Lebih menyedihkan makan minum tetamu pun kadang-kadang 'layan diri'. Sibuk macam mana sekalipun, sekurang-kurangnya untuk kunjungan kali pertama tetamu kita itu layanlah seadanya. Sekurang-kurangnya berterus terang sekiranya kita sememangnya sibuk dengan tugas, nyatakan sebaik-baiknya kepada tetamu supaya tidak segan-segan untuk 'buat macam rumah sendiri'.
 
Beza memang berbeza, bukan menyindir golongan tertentu, tapi realitinya begitulah. Yang dibimbangkan adalah generasi akan datang, sekiranya kita sebagai orang tua mereka tidak mendidik anak-anak kita tentang cara melayani tetamu atau cara bertamu, akan berlaku banyak konflik antara pihak yang memuliakan tetamu dan sebaliknya.
 
Menjadi tetamu atau tuan rumah - yang paling tepat rujukannya bukanlah melalui adat resam kerana adat itu berbeza antara bangsa yang berlainan, tapi merujuk kepada Al-Quran dan Hadis. Sedikit rujukan di internet melalui pelbagai sumber menyatakan... hak tetamu selama tiga hari, setelah itu layanlah mereka seperti melayani ahli keluarga seperti biasa.
Tetamu pula sebaiknya jangan main serbu rumah yang hendak didatangi sekiranya tiada keperluan mendesak. Sebaiknya maklumkan kedatangan terlebih dahulu supaya tuan rumah lebih bersedia. Faham-faham sajalah kita kan, ada masanya rumah berselerak lintang pukang  macam kapal pecah, sekurang-kurangnya kita ada masa mengemas rumah untuk menerima tetamu. Keperluan tetamu selain makan minumnya, sediakan juga ruang dan keperluan untuk bersolat. Tetamu kita itu solat atau tidak, itu antara dia dengan Tuhan, yang penting kita sebagai tuan rumah menyediakan hak tetamu sebaiknya.
 
Menjadi tetamu bermakna kita perlu menjaga tutur kata dan budi bahasa kita. Jangan membandingkan kekurangan tuan rumah dengan kelebihan yang kita ada. Misalnya, tv tuan rumah biasa-biasa sahaja dan hanya ada siaran tv percuma, tapi kita dengan bangganya mengatakan tv kita jenis yang terkini, dapat harga promosi lagi dan ada siaran Astro. Bukan main bangga lagi bercerita. Mungkin niat kita sekadar berkongsi maklumat, tapi di pihak tuan rumah belum tentu lagi dia menyangka sedemikian. Boleh jadi dia rasa tersinggung dengan cerita kita itu. Begitu juga dengan hiasan rumah atau rasa makanan yang dihidangkan. Jangan terlalu cerewet kecuali menyatakan terus terang sekiranya kita memang tidak makan makanan tertentu, supaya tidak menyusahkan tuan rumah. Tuan rumah jemput makan, terimalah jemputannya itu walaupun kita hanya makan sedikit. Hargai usaha tuan rumah yang bersusah payah menyediakan makan minum kita. Siapa tahu kita sudah mengambil banyak masa darinya yang sepatutnya digunakannya untuk kerja lain yang lebih mustahak.
 
Ada beberapa tetamu di rumah saya apabila saya jemput makan siap berhidang lauk dan nasi lagi, tapi bolehnya tetamu buat dek sahaja, seolah-olah saya tidak wujud di hadapannya, kerana tetamu itu asyik dengan telefonnya. Seolah-olah saya bercakap dengan dinding, sabar sajalah kan. Selalunya sekiranya ada tetamu bertandang ke rumah kami, sarapan pagi saya sediakan seawal selepas Subuh, makan tengah hari sebelum waktu Zohor dan makan malam sebelum melepasi waktu Isyak. Saya tidak mengikut jadual makan tetamu, terpulang kepada tetamu hendak ikut jadual saya atau ikut jadualnya sendiri. Saya TEGAS tentang ini, saya sediakan makanan seperti yang saya nyatakan sebelum ini dan menjemput tetamu makan. 
 
Ikut pengalaman saya sebelum ini, selalunya tetamu yang latar belakangnya lahir/membesar dalam suasana bandar yang tidak solat, yang tidak ada jadual makan teratur  itulah yang biadap. Maaf, agak kasar sedikit tetapi itu realiti. Tetamu saya yang berasal dari kampung tidak ada masalah melayan mereka, kerana mereka bercakap sebaiknya, ringan tulang menolong kita di dapur walaupun sudah dilarang berbuat demikian kerana rasa empati mereka begitu kuat. 
 
Bukan tentang bandar atau moden cara hidup kita, tapi saya percaya  rujukan terbaik tentunya Al-Quran dan Hadis tentang apa sahaja panduan kehidupan kita.
 
(Renungan untuk diri sendiri)
 
love,
monalizahrais 
 




 
 
 
 

Wednesday, February 6, 2013

JUSCO BUKIT RAJA

Assalamualaikum,

berikut antara dekorasi yang sempat saya ambil gambar di Jusco Bukit Raja.saya dan suami shopping ke sana guna voucher RM 300 yang dimenangi suami menerusi cabutan bertuah. jom tengok gambar...


cantik pentas ini, tema utama red colour, bunga sakura, tanglung, bunga lainnya, meriah memang meriah.


 deretan kuih muih perayaan.


hamper perayaan CNY, pilih jangan tak pilih.


 hamper lagi! melihat hamper ini membuatkan saya rindu untuk menggubah hantaran perkahwinan, hehe...


dan hamper lagi!


ehem ehem... ambik kesempatan bergambarlah... tanglung di belakang tu bertukar warna sekejap merah sekejap pink.


my husband cakap - dia bergambar sambil tayang barang yang kami shopping, sikit saja kan barang yang dapat dibeli dengan voucher RM 300, pun begitu syukur jugalah rezeki tu...


love,
monalizahrais 

KERJA IV

Assalamualaikum...
 
sambungan cerita dinner suami, malam hujung minggu yang lepas, suami dapat cabutan bertuah, voucher AEON RM 300. ok lah tu, kira rezeki, lebih baik daripada tak dapat apa-apa.
tak banyak sangat setakat voucher RM 300 kalau kita shopping di Jusco, tentunya berbeza jika voucher itu daripada Mydin, banyak item yang dapat dibeli.
 
Saya dan suami beli kasut, masing-masing kasut kami berharga RM 90, beg RM 60 dan yang 'dalam-dalam' berharga RM60 dan beg kitar semula berharga RM 2.90. semuanya RM 300.80. just tambah .80 sen sahaja.
 
angpau RM 50 dan tiada limau seperti yang diharap-harapkan, hehe... cawangan tempat suami saya bekerja paling banyak mendapat cabutan bertuah berbanding cawangan lain. pun begitu, hadiah RM 3000 itu dimenangi oleh pekerja dari cawangan lain.
 
belum berkesempatan lagi untuk bercakap dengan adik Jejeng, bertanya tentang kerja sambilannya itu. tapi tadi di facebook dapat tengok gambar terkininya bersama abang angkatnya yang comel, yang sedang study di UIA itu...
sekejap lagi kena keluar, nak settle bil api, internet, kirim duit untuk mak di kampung dan SHOPPING!
beli sedikit barang untuk persediaan kami suami isteri menjadi traveller (InsyaAllah) ke salah satu destinasi pelancongan menarik di negara kita, sempena cuti seminggu suami sewaktu CNY nanti. semoga semuanya berjalan lancar, doakan kami ya, tentunya yang baik-baik saja...
 
 
love,
monalizahrais  
 

Saturday, February 2, 2013

IKAN MASIN + SAMBAL BELACAN

Assalamualaikum...
 
sesekali makan ringkas memang sedap, sampai bertambah nasi dibuatnya. selain ikan masin, pucuk ubi rebus, jantung pisang, ulam ulaman pun sedap juga cicah dengan sambal belacan ni, fuh! sehingga menjilat jari kan, bukan hanya KFC saja yang membuatkan kita menjilat jari, masakan tradisional kita pun tidak kurang hebatnya.

ikan masin talang digoreng dan lawannya sambal belacan. ikan ini dibeli di pasar besar Sandakan, Sabah, bikin stok lauk setiap kali pulang semula ke Semenanjung Malaysia. belacan yang digunakan ini dipanggil belacan Papar. belacan merah, padat dengan isi udang geragau, terasa kesegarannya.
 
untuk membuat sambal belacan ini caranya ialah :
 
belacan merah dibakar sekejap di atas tungku dapur, jangan sampai berbau hangit, sekadar mengeringkan isi belacan ini supaya mudah dihancurkan.
 
cili hijau dipotong serong, terpulang kepada citarasa masing-masing sama ada hendak buang atau masak sekali bijinya. saya sertakan sekali bijinya supaya rasa sambal belacan itu menyengat.
 
bawang merah dihiris.
 
air asam jawa.
 
cara-cara memasaknya :
 
bawang merah dan cili hijau yang dipotong serong ditumis sehingga layu.
 
kemudian masukkan air asam jawa yang sudah digaul sebati terlebih dahulu dengan belacan merah yang sudah dibakar sekejap sebelumnya.
 
masukkan garam, gula, ajinomoto (pilihan)
 
masak sehingga sambal belacan tadi pekat.
 
selamat mencuba!
 
love,
monalizahrais 
 
 
 

KETAM KUKUS

Assalamualaikum...


ketam kukus, membaca tajuk sahajapun sudah dapat diduga cara memasaknya - kukus.
ketam ini ditabur dengan garam di atasnya dan kukus sehingga masak.
sangat mudah, simple sahaja, setelah masak dimakan dengan nasi panas/jagung bakar/jagung rebus. sedikit sup cendawan.

isi ketam 'tidak lari' apabila dimasak menggunakan kaedah kukus, terutama sekali ketam yang sudah kurang sedikit segar. cicah dengan sambal belacan/sambal kicap/budu, sedapppp...


love,
monalizahrais